Seorang pemimpin PAS yang lantang mengkritik dan menegur kepimpinan tertinggi UMNO, membayangkan kesediaan parti yang kononnya ‘keramat Melayu’ itu bekerjasama dengan DAP ibarat ‘Mat Kilau melutut pada Kapten Harry Syers’
Sedangkan, kata Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Sahir, sejarah mencatatkan pendekar Melayu sanggup dikorbankan kerana mempertahan maruah dan prinsip, tidak sesekali rebah menyembah kaki musuh.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahli Parlimen DAP Jelutong, RSN Rayer yang menurut BH mengatakan “Dulu UMNO dan DAP kita lawan, sekarang kita jadi kawan.”
Rayer dilaporkan berkata demikian ketika membahas Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, kelmarin (Selasa, 21 Februari 2023).
“Jelutong kata dulu UMNO dan DAP lawan, sekarang kawan. Dulu maki hamun, hina dan perlekeh pimpinan UMNO, penyamun lah, perompak lah.
“Maruah UMNO diludah dan dipijak-pijaknya. Hari ini demi kuasa dia sanggup dakwa UMNO kawannya.
“Pimpinan tertinggi UMNO (pula) mungkin berselera berkawan, tapi yang lain?,” kata Roslan Shahir dalam satu kenyataan.
Roslan yakin rakan-rakan yang dikenalinya dengan sebahagian besar akar umbi dan penyokong UMNI tidak sesekali boleh memaafkan parti rasis DAP, yang biadab dan tegar membenci UMNO.
Katanya beliau pernah berjumpa bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak beberapa kali sebelum bekas Perdana Menteri itu dihantar ke penjara.
“Masih segar diingatan saya kata Najib beliau sesekali tidak akan memaafkan DAP. Beliau dalam perjuangan saya hormat kerana tidak pernah tunduk kerana terdesak.
“Sekarang beliau di penjara, pimpinan di luar mudah-mudah peluk dan terima DAP. Apakah sahabat-sahabat dalam UMNO boleh terima langkah terdesak ini?,” soal beliau lagi.
Roslan Shahir mengingatkan bahawa sesungguhnya maruah dan harga diri bangsa Melayu lebih wajar dipertahan dan didaulatkan berbanding bersekongkol dengan musuh kerana laparkan kuasa.
“Bayangkan Mat Kilau tunduk pada Captain Harry Syers, Datuk Maharajalela melutut pada JWW Birch, sejarah mencatatkan pendekar Melayu sanggup dikorbankan kerana pertahan maruah dan prinsip, tidak sesekali rebah menyembah kaki musuh.
“Kembalikan maruah agama dan bangsa, bangkitlah sahabat-sahabatku. Tak Melayu hilang di dunia,” katanya.