Sebelum menulis status ini, saya telah membuat sedikit penelitian dan membaca beberapa ulasan dari Netizen tertentu, khususnya Tuan Zabidi Mohamed, Tuan Mahmud Jumaat dan juga kenyataan-kenyataan dari pihak pengarah dan penerbit filem Mentega terbang (Butterfly).
Satu komen awal saya: Penerbit dan pengarah filem BUKAN otoriti untuk mengajar penonton dan masyarakat tentang agama.
Kebebasan berkarya dan menghasilkan filem bukan tiket atau alasan untuk mencaci (blaspheme) agama Islam secara berniat jahat.
Saya ada menyentuh tentang isu ini secara umum melalui satu status terdahulu: https://www.facebook.com/mohd.luttfi/posts/pfbid02MDbESWm1t4bkJc68BFCtu6dVH6X9DfEYMhf7rYeKGNasLumV8ihJqTEgmc2UaKtJl di mana saya sifatkan pihak-pihak yang sengaja bermain dengan sensitiviti agama Islam dan umat Islam sebagai diserang penyakit “minda terjajah dan jiwa memberontak”.
Bagaimanapun, filem Mentega Terbang ini agak lain sikit kesan dan impaknya.
Dr Ugi Suharto Sudiyono, seorang cendikiawan dari Indonesia melalui buku pentingnya “Pemikiran Islam Liberal: Pembahasan Isu-isu Sentral (Dewan Pustaka Fajar, 1 Januari 2007) telah memberi peringatan dan pesanan supaya umat Islam Malaysia berhati-hati dan berwaspada degan ancaman pemikiran Islam Liberal ini.
Negara Indonesia sudah parah dengan serangan ideologi ini oleh kerana di sana urusan agama tidak dikawal oleh pemerintah (seolah-olah diswastakan), jadi tidak ada undang-undang untuk menangani tindakan, perbuatan, penerbitan atau sebarang karya yang menyentuh isu-isu agama, termasuk agama Islam.
Beliau turut menzahirkan pemerhatian beliau tentang negara kita bahawa umat Islam di Malaysia bertuah dan agak terselamat oleh kerana pihak pemerintah masih bertanggungjawab di dalam urusan pentadbiran agama Islam.
Meskipun agama Islam seolah-olah kelihatan ‘dikawal’ melalui kementerian, institusi-institusi dan jabatan-jabatan, ia jauh lebih baik jika dibandingkan dengan Indonesia.
Namun, kebimbangan Dr Ugi Suharto seolah-olah semakin menjadi kenyataan.
Mentega Terbang sudah mempunyai ciri-ciri yang menjurus ke arah itu.
Kalau dahulunya ancaman pemikiran Islam Liberal hanya boleh disaksikan melalui penulisan, wacana, penerbitan, forum dan persidangan dan seumpamanya, kali ini mereka menggunakan strategi dan platform yang jauh lebih berkesan dan sangat luas jangkauannya, iaitu melalui platform seni/filem dan media sosial.
Sebelum ini pemikiran Islam Liberal diwarwarkan oleh para aktivis, gerakan sivil dan juga institut-institut kajian dan juga segelintis intelektual.
Peranan mereka kini telah disambung oleh penggiat seni, penerbit dan juga pengarah filem.
Sebagai sedikit tambahan kepada beberapa tokoh yang mengulas dan menganalisa tentang filem Mentega terbang itu, saya cuma ingin menambah sedikit sahaja kepada perbahasan ini seperti berikut:
Filem ini dibuat/ditayangkan pada tahun 2021.
Saya difahamkan ia telah dihantar ke LPF untuk kelulusan tetapi telah ditolak.
Jadi satu-satunya cara untuk memasarkan filem tersebut ialah melalui platform media sosial.
Semuanya berjalan lancar sehinggalah isu tentang filem ini mula tersebar di media sosial baru-baru ini (Mac 2023), barangkali kerana ada trailernya dan mungkin juga kerana ia telah di”tayang”kan secara online dan berbayar (atau melalui langganan).
Saya ingin mengutip satu rencana yang diterbitkan pada bulan Disember 2021 yang memuatkan wawancara dengan pengarah dan penerbit – https://www.getaran.my/…/mentega-terbang-ketengah-isu…:
Pengarah filem bebas tempatan, Khairi Anwar mendapat inspirasi menghasilkan karya tulisan dan arahannya, Mentega Terbang melalui filem-filem arahan Allahyarham Yasmin Ahmad sepanjang berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal tahun lalu.’
“Sepanjang PKP itu, saya banyak menonton filem menerusi platform OTT, antaranya karya sentuhan Allahyarham Yasmin Ahmad.
“Saya peminat Yasmin. Mungkin kerana itu orang samakan sentuhan filem saya dengan Yasmin.
“Namun, apa yang pasti subjek dalam Mentega Terbang ini tercetus daripada isu agama dan kepercayaan yang berlaku sebelum PKP.
“Saya sendiri pernah belajar di sekolah menengah agama. Kalau diimbas kembali, saya tidak mahu menjadi diri saya ketika itu kerana mudah berprasangka buruk dan menjatuhkan hukum terhadap seseorang atau sesuatu perkara,” katanya kepada Portal Getaran.
Menurut Khairi lagi, subjek yang diketengahkan dalam Mentega Terbang yang dipindahkan tajuk secara langsung daripada perkataan Inggeris, Butterfly sememangnya topik sensitif dalam kalangan masyarakat Malaysia.
“Ia juga tercetus daripada pelbagai persoalan yang bermain di fikiran saya serta pemerhatian terhadap terhadap rakan-rakan bukan Islam yang sewaktu PKP memeluk Islam.
“Mereka lebih berasakan Islam agama yang benar malah iman dan pegangan mereka lebih kuat berbanding kita yang dilahirkan sebagai Islam.
“Sebab itulah, Aisyah yang memegang watak utama dalam filem ini banyak bertanya soalan serta cuba mendalami agama lain sedangkan dia dilahirkan sebagai Islam.
“Berbalik kepada Yasmin, saya lihat banyak filem-filemnya berani mengetengahkan subjek dan persoalan sebegini.
“Jika dia boleh, mengapa tidak saya? Saya juga rasa persoalan ini ada pada semua orang dan kerana itulah saya cuba ketengahkan dalam Mentega Terbang,” katanya.
Bahkan ia telah pun terpilih untuk ditayangkan di Jogja-NETPAC Asian Film Festival ke-16 di Indonesia pada 28 November lalu.
“Saya sangat teruja melihat bagaimana penonton di Indonesia sangat menghargai filem ini. Mereka juga akui semakin dapat memahami budaya dan cara hidup masyarakat Malaysia selepas menonton filem ini.
“Kalau Mentega Terbang dapat menyentuh hati rakyat Indonesia, saya rasa pasti ia juga mampu menyentuh hati penonton Malaysia. Kami tak sabar untuk mempersembahkan filem ini kepada rakyat Malaysia,” kata Khairi.
Selaku penerbit filem ini, Tan Meng Kheng berkata, pada mulanya mereka berasakan akan menerima kritikan keras berikutan pembikinan filem ini.
“Bagaimanapun, kami lega dan gembira apabila karya ini diterima dengan biak dan mendapat komen yang membina. Ramai penonton juga ada keinginan untuk berbincang tentang perkara sama seperti yang diketengahkan dalam filem ini.
“Disebabkan kekangan dan isu sensitif yang terdapat dalam Mentega Terbang, kami akan cuba tayangan ia secara kecil-kecilan dalam sesi yang intim.
“Sudah tentu kami punya keinginan untuk melihat filem ini ditayangkan di panggung awam tetapi mungkin kita harus berdepan dengan pihak LPF dahulu.
“Selepas filem ini ditayangkan secara tertutup buat kali terakhir di Lembah Klang, kita akan membawa ia menjelajah ke negeri-negeri lain diikuti dengan festival filem di luar negara,’ katanya.
Komen saya: Dorongan untuk menghasilkan filem tersebut lahir dari kekaguman pengarah terhadap seorang individu yang kontroversial semasa hidupnya dan juga dari interaksi dan pemerhatian terbatas dengan beberapa orang sahaja.
Tidak ada persediaan atau kajian atau penelitian mendalam terhadap sabjek dan isu yang hendak disampaikan, sedangkan semua orang tahu (kecuali dia seorang jahil totok yang tidak boleh diajar atau enggan belajar) bahawa persoalan agama Islam, pemilihan agama atau keluar agama (murtad), halal haram dan seumpamanya adalah isu-isu yang sangat sensitif, bukan sahaja kepada umat Islam, malah kepada yang bukan-Islam juga dalam konteks masyarakat Malaysia berbilang agama, bangsa, budaya dan kepercayaan.
Fakta bahawa mereka tidak merujuk kepada tokoh, jabatan atau institusi Islam negara ini untuk mendapatkan garispanduan atau pandangan demi mengelakkan sebarang kontroversi ketika ditayangkan nanti sudah memadai untuk kita berspekulasi tentang motif atau objektif sebenar mereka.
Mereka juga sangat menyedari tentang sensitiviti filem mereka yang pastinya akan menghadapi masalah dengan Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk tujuan tayangan kepada umum.
Mungkin kerana tema, skrip dan jalan ceritanya terlalu sensitif dan secara terang-terang menyentuh isu-isu yang fundamental kepada umat Islam, ia menjadi viral di kalangan Netizen.
Dan kemuncaknya mungkin akan berakhir di mahkamah kerana pihak penerbit dan pengarahnya telah memulakan prosiding undang-undang terhadap Tuan Zabidi Mohamed yang mengkritiknya dengan berani dan lantang.
Barangkali pihak penerbit dan pengarah tidak menjangkakan isu ini dan filem mereka akan “meletup” dengan cara yang mereka tidak ingini.
Publisiti buruk sebegini sebenarnya tidak menguntungkan mereka, yakni sudah menjadi ‘senjata makan tuan’.
Saya berpendapat yang pihak yang disaman (sekiranya kes ini benar-benar masuk mahkamah) sudah lebih dari bersedia untuk mempertahankan tindakannya.
Seperti yang dikomen oleh ramai Netizen, pihak penerbit dan pengarah (termasuk juga penulis skrip) sudah tentu mempunyai agenda atau mesej yang ingin disampaikan.
Melihat kepada skrip/jalan cerita dan juga dialog dalam Bahasa Inggeris, pemilihan umur watak utama dan banyak lagi poin-poin yang tidak perlu disenaraikan di sini, saya berpendapat bahawa filem ini tidak ditujukan kepada masyarakat awam (baca Melayu Muslim) secara bersahaja.
Sasaran mereka mungkin dari golongan atau keluarga Melayu/Muslim pertengahan/professional, tinggal di bandar (urbanised), fasih dan selesa berbahasa Inggeris, berfikiran agak liberal and agak prasangka terhadap agama dan khususnya dari peringkat umur remaja hingga belia (sekolah menengah ke IPT).
Sebab golongan ini senang diberi impression dan disogokkan dengan idea-idea atau pemikiran luar skema tradisional dan mungkin juga sedikit rebellious.
Kita juga ingin bertanya: Kenapa dialognya tidak dibuat dalam bahasa Melayu?
Dan kenapa ditayangkan secara tertutup?
Filem Pulau misalnya akan kelihatan sangat jinak bila dibandingkan dengan mesej-mesej halus dan tersirat di sebalik filem Mentega Terbang ini, kerana filem kontrversi ini terlalu “preaching” secara halus sampai jadi “overkill” untuk disampaikan dalam tempoh tidak sampai 2 jam.
Seperkara lagi, saya suka mengkaji dan melihat filem ini dari konteks sebenar isu-isu besar yang berlaku secara nyata dalam realiti kemasyarakatan negara kita – yang sering berfokus kepada politik, etnik, agama dan budaya.
Fahaman liberal, hak asasi, identiti gender, generasi woke, kawalan ke atas agama pilihan dan pelbagai agenda yang sedang gigih untuk menguasai pandangan masyarakat … semuanya saling kait mengait dan boleh diperhatikan unsur-unsurnya pada filem Mentega Terbang ini.
Filem ini memang wajar dibenamkan, tetapi hanya setelah kita bongkarkan agenda dan pemegang-pemegang pertaruhan di belakangnya dan bagaimana mereka menjadi satu ancaman kepada masa depan generasi muda umat Islam dan juga kepada keharmonian rakyat Malaysia yang telah dipupuk sejak sekian lama.
Dan kita sudah tentu tidak menolak untuk mengadakan dialog atau percambahan ilmu perbandingan agama secara berhemah dan objektif dalam batas-batas yang dibenarkan oleh undang-undang.
Laporan-laporan polis yang dibuat oleh beberapa pihak terhadap penerbit dan pengarah filem ini memang satu tindakan yang tepat dan perlu disokong.
Ini kerana tidak ada sesiapa yang sepatutnya dibiarkan untuk mencaci atau memomokkan agama Islam secara membabi buta, berniat jahat dan tidak bertanggungjawab.
Isyarat dan amaran perlu diberikan supaya para pengarah, penerbit, penulis skrip dan penggiat seni tidak boleh sesuka hati dan sewenang-wenangnya menulis atau menghasilkan sesuatu karya untuk ‘menghentam’ Islam atau meracuni pemikiran umatnya atas alasan ‘kebebasan berkarya dan mengeluarkan pendapat melalui seni’ tanpa sebarang tindakbalas atau perlawanan dari umat Islam.
Biarkan saman yang difailkan terhadap Tuan Zabidi Mohamed diteruskan sampai ke Mahkamah.
Tapi biarkan juga pihak polis menyiasat laporan-laporan polis yang dibuat terhadap penerbit dan pengarah filem berkenaan.
Hanya satu pihak sahaja yang akan menang – sama ada agama Islam atau ideologi liberal.
Mohd Luttfi