Sembang Kari merupakan bahasa slanga atau bahasa pasar yang biasa digunakan oleh anak muda sekarang kepada calon pilihanraya yang tidak menunaikan janji setelah memperoleh kemenangan.
Kerana “cakap tidak serupa bikin” inilah menyebabkan generasi millenia kini amat sukar mempercayai ahli politik.
Persepsi mereka, daripada 10 yang ahli politik perkatakan, 11 tak boleh percaya!
Percayalah, masih ada pemimpin politik yang berusaha bekerja mengotakan apa yang ditawarkan oleh parti yang mereka wakili.
Contoh terbaik ialah PAS Negeri Terengganu.
Sebaik mengambil alih Negeri Terengganu selepas memenangi Pilihan Raya Umum 2018, ucapan sulung YAB Menteri Besar Terengganu pada 11 Mei 2018 di Rusila mengenai manifesto :
“Ada beberapa perkara yang ingin kita laksanakan dan kita akan mencari jalan dengan bersungguh-sungguhnya cara untuk melaksanakan manifesto PAS Negeri Terengganu yang kita rangkakan.
“Semuanya ada jalan, ada acara dan boleh dicapai sekiranya semua kita ini boleh bekerja sama-sama untuk menjayakan manifesto yang telah dirangkakan di peringkat Negeri Terengganu”.
Apa yang dikatakan dikotakan, bukan sembang gajah pun boleh terbang.
Dan langkah pertama yang diambil oleh YAB MB Terengganu ialah menyatukan pemikiran dan tindakan antara rakyat dari peringkat ATAS hingga ke bawah.
Tindakan yang tidak mudah, malah masih “struggle” hingga sekarang kerana masih ada perangai totok parti hingga mengenepikan kepentingan rakyat.
Di Negeri Terengganu, Jawatankuasa Pelaksana Manifesto dipengerusikan sendiri oleh YBM Dato’ Seri Bijaya Diraja yang merupakan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu dan dilaksanakan oleh setiap portfolio Exco Kerajaan Negeri Terengganu.
Dikongsikan serba sedikit informasi setiap manifesto PRU 14 PAS Terengganu:
1. Memberi cuti bergaji penuh 30 hari bagi isteri kematian suami
Dilaksanakan di peringkat penjawat awam Negeri Terengganu bermula 28 Julai 2019.
Kemudahan ini sebagai tanda keprihatinan kepada golongan penjawat awam yang kematian suami untuk menempuhi tempoh iddah mereka dan proses menenangkan diri selari dengan tuntutan Islam.
2. Membuka Pusat Nurseri di setiap jabatan Kerajaan Negeri
Objektif manifesto ini adalah untuk menyediakan kemudahan asuhan anak kepada para penjawat awam.
Diletakkan di bawah TASKA PERMATA Keluarga dan sehingga Julai 2022, sebanyak 10 taska telah dibuka dan beroperasi.
3. Mengembalikan tanah-tanah yang dirampas oleh Barisan Nasional selepas pemerintahan 2004 dan membuka permohonan tanah baru dengan terus memberi geran kekal
Sehingga Julai 2022, sebanyak 6,785 daripada 8,834 permohonan peserta terkilan telah diselesaikan dan sebenarnya saya tiada data tahun 2023 namun jumlahnya sudah tentu telah bertambah.
4. Setiap rakyat Terengganu berumur 21 tahun ke atas yang layak berhak mendapatkan lot tapak rumah kediaman atau 1 unit rumah kediaman
Permohonan tanah untuk tapak rumah sentiasa dibuka dan permohonan tersebut adalah melalui sistem e-mohon dan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) tapak rumah.
Sehingga Mei 2022, sebanyak 1,381 telah diluluskan dan masih berbaki hampir 11 ribu permohonan untuk diselesaikan.
5. Peruntukan caj wad kelas 3 percuma di semua hospital kerajaan
Usaha YB Dato’ Dr Haji Alias Razak dan pasukannya bagi merealisasikan manifesto ini tidak mudah kerana Kerajaan Persekutuan yang berbeza parti memerintah.
Akhirnya ia berjaya dilaksanakan pada April 2019 dan rakyat Terengganu dengan nombor IC di tengah 11, 45 dan 46 layak menikmati kemudahan ini.
Sebanyak RM 4 juta setahun diperuntukkan untuk pembiayaan pesakit di wad kelas 3 di seluruh hospital kerajaan dalam Negeri Terengganu.
6. Bantuan RM 300 untuk lesen motosikal
Kemudahan untuk mereka yang berusia 16 hingga 40 tahun mendapatkan lesen motosikal dan perhatian diberikan kepada golongan awal belia bagi mendisiplinkan mereka.
Sehingga Julai 2022, seramai 1,570 orang telah lulus mendapatkan lesen ini.
7. Karnival kahwin kali pertama percuma
Kerajaan Negeri memberi peluang kepada belia dan beliawanis yang ingin berkahwin dengan membantu membiayai beberapa kos perkahwinan antaranya menyediakan majlis jamuan perdana, goodies, set kelengkapan perkahwinan, jurugambar, kad jemputan dan sebagainya.
8. Menyediakan 20,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 4 tahun
Bagi merealisasikan usaha ini, sebuah agensi ditubuhkan iaitu Terengganu Human Resource Development Center (THRDC).
Agensi ini bukan sahaja membina pengkalan data bagi majikan dan pencari kerja, malah turut giat mempromosikan peluang pekerjaan hingga ke setiap daerah dan bagi membantu mewujudkan kesedaran “Kerja Itu Adalah Fardhu”, elaun selepas pengesahan diterima bekerja turut disediakan.
Kakitangan THRDC juga bersikap pro-aktif dengan menjejaki belia lepasan SPM yang tidak mampu atau tidak ingin menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Sehingga Jun 2022, seramai 2,553 orang telah ditempatkan di sektor awam dan 13,455 orang dalam sektor swasta.
9. Mewujudkan semula Institusi Pengajian Islam milik Kerajaan Negeri
PLAN Malaysia Negeri Terengganu telah menyediakan Pelan Induk bagi Cadangan Pembangunan Bandar Lestari Durian Mentangau, Dungun dengan memasukkan sebuah tapak kolej universiti sebagai salah satu komponen utama.
10. Memberi bekalan air percuma 20 meter padu kepada golongan berpendapatan rendah
Manifesto ini selesai sepenuhnya pada 30 Julai 2018 bagi fasa 1 yang melibatkan penerima daripada e-Kasih, PPRT dan MAIDAM.
Sehingga Januari 2022 sebanyak 12,179 akaun telah menerima bantuan ini.
11. Menyediakan Tabung Usahwan RM 10 juta setahun
Sehingga Jun 2022, seramau 2,232 orang usahawan telah menerima manfaat ini.
12. Menubuhkan Pusat Pemulihan Dadah secara holistik
Pusat pemulihan ini dikenali sebagai Perkampungan Darul Barakah ditempatkan di Kem PLKN Cador, Marang dan mula beroperasi pada 15 Jun 2021.
Bimbingan diberikan bagi membolehkan pelatih merawat ketagihan secara sukarela dan memastikan mereka mempunyai kemahiran bagi pembentukan ekonomi diri.
13. Memperuntukkan RM 50 juta setahun untuk Tabung Pinjaman Perumahan Rakyat
Tabung ini mensasarkan golongan berpendapatan rendah kategori B40 yang memiliki tanah sendiri dan pendapatan kasar isi rumah RM 2,000 hingga RM 4,000.
Objektif ialah bagi memberi tumpuan kepada rakyat Terengganu yang memiliki tanah sendiri namun tidak layak mendapatkan pinjaman dari institusi kewangan swasta bagi membina rumah kediaman sendiri.
Sehingga 2022, sebanyak 1,859 permohonan telah diterima melalui sistem e-Perumahan.
14. Menyediakan Kad Sejahtera bernilai RM 500 setahun untuk golongan berpendapatan rendah serta keluarga
Manifesto ini bertujuan meringankan beban rakyat berpendapatan rendah dan meningkatkan tahap kesihatan rakyat.
Syarat penerima ialah rakyat Negeri Terengganu atau yang telah menetap di negeri ini melebihi 10 tahun serta telah berdaftar dengan sistem e-Kasih dan pendapatan perkapita RM280 sebulan.
Sehingga Jun 2022, jumlah penerima Kad Sejahtera adalah seramai 18,991 orang manakala bagi klinik panel terlibat dengan program ini adalah sebanyak 77 buah.
Jenis rawatan atau perubatan yang boleh digunakan hanya melibatkan penyakit asas sahaja seperti demam, batuk, lelah, gastrik, selsema dan lain-lain.
15. Mewujudkan bandar baru lestari di setiap daerah
Antara manifesto yang pastinya mengambil masa yang panjang untuk direalisasikan dan objektif manifesto ini adalah untuk membina bandar baharu yang memenuhi kriteria bandar lestari.
Setakan 2022, majlis pecah tanah bandar baru lestari ialah di Durian Mentangau, Dungun.
16. Menambah Sekolah Menengah Agama (SMA) di setiap parlimen dan Sekolah Agama Rakyat (SRA)
Sehingga 2022, sebanyak 11 SRIDI dan 1 SIMIDI telah beroperasi.
Jumlah keseluruhan guru ialah seramai 152 orang dan seramai 1658 orang pelajar.
Sebanyak 155 buah institusi pendidikan Islam telah berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
17. Mengecualikan cukai pintu rumah kediaman
Manifesto ini dilaksanakan bagi mengurangkan beban pembayar cukai.
Ia telah dilaksanakan sepenuhnya berkuatkuasa 1 Januari 2019.
Dimulakan dengan pengecualian kepada pegangan kediaman milik individu kecuali pegangan agensi dan yang digunakan bagi tujuan selain kediaman.
Pengecualian ini telah ditanggung oleh Kerajaan Negeri Terengganu dengan peruntukan hampir RM 15,000 setahun.
18. Mengurniakan pencen rakyat RM 50 sebulan bagi warga emas yang layak
Ia dikemukakan sebagai bantuan kepada warga emas yang memerlukan dengan jumlah setahun adalah sebanyak RM 600 seorang.
Kelayakan penerimaan diperluaskan kepada warga emas yang layak selain dari penerima Bantuan Bulanan JKM.
19. Menambah keluasan Tanah Rezab Melayu dari 118 hektar kepada 1000 hektar
Manifesto ini adalah untuk memberi peluang kepada semua rakyat Negeri Terengganu bagi meningkatkan taraf hidup.
Sehingga Jun 2022, 1,864.1114 hektar telah dipersetujui oleh Pihak Berkuasa Negeri untuk diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu.
20. Mengadakan Tabung Siswa Pelajar sebanyak RM 5 juta setahun untuk anak Terengganu melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama
Manifesto ini dilaksanakan bagi memastikan anak Terengganu yang cemerlang dapat melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara.
80% peruntukan ditawarkan untuk biasiswa ke luar negara dan 20% untuk dalam negara.
Tumpuan diberikan kepada bidang pengajian kritikal.
Sesungguhnya, pemimpin PAS Terengganu telah membuktikan yang mereka TIDAK SEMBANG KARI.
Bandingkan dan fikirkan!
DSN CikTy