Sesi pertama kertas kerja pada Seminar Pemikiran Dakwah Tok Guru Nik Aziz yang diadakan di Pusat Tarbiah Islam Kelantan pada 8 Jun lalu dibentang oleh Ustaz Zulkarnain Hassan.
Sedikit catatan ringkas yang sempat saya buat:
Tok Guru Nik Aziz mentadbir Kelantan selama 23 tahun, sama tempoh Nabi SAW memerintah Madinah.
Ia disambung dengan tema Merakyat Membangun Bersama Islam oleh Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yaakob.
Konsep fiqh awlawiyat diterap oleh Tok Guru dalam pentadbiran Kerajaan Kelantan.
Tok Guru Nik Aziz pernah sebut: Ilmu secupak berhajat kepada hikmah segantang.
Kata-kata ini kelihatan ringkas tetapi mempunyai makna yang sangat mendalam.
Ustaz Fadzil Noor, Presiden PAS pernah menyebut:
العلم بلا وعي جمود والوعي بلاعلم فجور
“Ilmu tanpa kesedaran adalah jumud/statik. Kesedaran tanpa ilmu adalah fujur/jadi jahat.”
Tok Guru mempraktikkan fiqh awlawiyat dalam pemerintahannya.
Kita melihat sekali lalu iaitu selama empat dekad: Tahun 1990-2000, 2000-2010, 2010-2020, 2020-2030.
Secara ringkasnya:
1990-2000: Dekad pembaharuan berdasarkan Islam
2000-2010: Dekad mengukuhkan dasar Islam
2010-2020: Dekad merakyatkan dasar kerajaan
2020-2030: Dekad mewujudkan model negeri yang ideal
Aplikasi fiqh awlawiyat dalam pentadbiran Kerajaan Kelantan:
1) Utamakan perintah agama – kemukakan konsep dan tema ubudiyah/mas’uliyyah/itqan, membebaskan kerajaan dari unsur riba, pinjaman tanpa riba, mewujudkan dasar rumah tiga bilik, menggubal Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2, mengawal hiburan, mengharamkan arak dan judi. Dari sudut pembangunan insan, mengukuhkan dasar Membangun Bersama Islam.
2) Membina Maahad Dakwah wal-Imamah, beralih kepada KIAS, menjadi universiti, memperkasa sektor pendidikan, memfokus kepada pendidikan rabbani, mewujudkan komuniti rabbani. Ini merujuk kaedah fiqh awlawiyat iaitu mendahulukan perkara paling penting untuk membina insan dan ummah.
3) Mengukuhkan dasar Membangun Bersama Islam. Telah dikumpulkan dalam e-book semua dasar kerajaan Kelantan yang dibuat seperti dasar kesejahteraan rakyat, dasar wanita, dasar belia, dasar lelaki qawwam, dasar OKU dan lain-lain. Menurut fiqh awlawiyat, ini mendahulukan maslahah ammah/kepentingan umum dari maslahah khassah/kepentingan peribadi.
4) Mendahulukan kebajikan rakyat. Contohnya, membangunkan bandar baru, membina lebuh raya rakyat, memberi cuti kerja dua hari seminggu, cuti bersalin, cuti ihdad/berkabung, rumah ad-duafaa dan lain-lain. Menurut fiqh awlawiyat, ia termasuk dalam kaedah:
تصرف الامام بالرعية منوط بالمصلحة
“Tindakan pemerintah berkaitan rakyat tertakluk kepada kepentingan rakyat.”
5) Mengutamakan hubungan dengan Allah. Kerajaan Kelantan jadikan Rejab bulan solat. Tok Guru sendiri tidak pernah lekang menyebut tentang halal haram, dosa pahala dalam ucapannya dalam pelbagai majlis. Kesannya ialah tiada wakil rakyat Kelantan yang disabitkan rasuah. Ini satu kejayaan besar buat kerajaan PAS Kelantan.
6) Menolak kemudaratan. Dalam isu kanun jenayah syariah, kita cuba laksanakan tetapi kerajaan pusat ketika itu menahan dan cuba menghalang kerajaan negeri Kelantan dari meneruskan usaha menegakkan syariat. Tok Guru buat perbandingan seperti kereta berhenti di lampu merah. Enjin tidak dimatikan, tetapi brek ditekan. Apabila lampu hijau, kereta boleh berjalan. Menurut kaedah fiqh:
دَرْء المفاسدِ مُقدَّمٌ على جلْبِ المصالحِ.
“Menolak kemudaratan didahulukan dari menarik kebaikan.”
Ini dibuat supaya tidak berlaku Mageran di mana kerajaan boleh jatuh.
Oleh itu Kerajaan Negeri Kelantan fokus dengan membuat perkara yang lain dahulu.
Pembentangan di atas dikupas oleh Dato’ Hassan Mahamood.
Di antara isi kandungan ucapan beliau ialah seperti berikut:
Dasar Membangun Bersama Islam digagaskan oleh Tok Guru pada tahun 1990.
Pada tahun 1959, kerajaan PAS berusaha membasmi maksiat yang banyak di Kelantan sebelum itu.
PAS kalah pada tahun 1978.
Kemudian kembali mentadbir Kelantan pada tahun 1990.
Kita mengurus, menjaga, mentadbir Kelantan berdasarkan al-Quran, sunnah, ijmak dan qias.
Antaranya Tok Guru menarik duit kerajaan dari bank berasaskan riba.
Dari sudut kebudayaan misalnya, dibuang unsur khurafat dalam pelbagai persembahan kebudayaan.
Tok Guru pernah sebut:
Jangan serabut dengan kaum dan bangsa yang ramai dalam Malaysia.
Tok Guru membaca ayat:
يٰٓاَيُّهَا النَّاسُ اِنَّا خَلَقْنٰكُمْ مِّنْ ذَكَرٍ وَّاُنْثٰى وَجَعَلْنٰكُمْ شُعُوْبًا وَّقَبَاۤىِٕلَ لِتَعَارَفُوْا ۚ اِنَّ اَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللّٰهِ اَتْقٰىكُمْ ۗاِنَّ اللّٰهَ عَلِيْمٌ خَبِيْرٌ
Maksudnya: Wahai manusia! Sesungguhnya Kami (Allah) telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti.
(Al-Hujurat: 13)
Non-Muslim terutama di Kelantan menerima baik dasar Membangun Bersama Islam Kelantan.
Mereka hidup rukun dan aman di Kelantan yang menunjukkan PAS tidak bertembung dan menindas kaum selain Melayu.
NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu
AJK Dewan Ulamak PAS Terengganu