Selesai sudah Perhimpunan Agung Umno 2023.
Menurut penganalisa politik Joceline Tan dari akhbar The Star, walaupun ia berjalan lancar namun ia seakan kehilangan ‘mood’, hambar dan kosong.
Kalau dulu lobi dan serambi Bangunan Umno di WTC sesak dan dikerumuni ramai tiap kali berlangsung PAU, kini tidak lagi katanya.
Menurut pandangan Joceline lagi, mesej yang cuba disampaikan pimpinan Umno kepada ahli dan akar-umbinya seakan tidak kesampaian, tidak mampu tembus dan turun ke bawah.
Ramai di kalangan perwakilannya bimbang kerana ahli dan penyokong mereka seolah telah membuat keputusan tidak dapat menerima kerjasama dengan Pakatan Harapan lantaran kehadiran DAP.
Tiada apa hujah pun dari pimpinan yang mampu mengubah keputusan mereka itu.
Seorang perwakilan Pemuda memberitahu Joceline, ianya isyarat bahawa rakyat keliru, kecewa dan enggan menerima keputusan kerjasama itu.
Umno katanya terpaksa membuat perubahan menjadi pemain kelas kedua dalam kerajaan akibat kedudukan mereka hari ini.
Memang ramai yang keliru dan kecewa dengan pendirian Umno hari ini.
Bila diberi peluang bekerjasama dengan PN membentuk kerajaan Melayu Islam yang kukuh didukung rakan-rakan Bumiputera dari Sabah dan Sarawak, Presiden Umno tolak mentah-mentah dan arahkan ahli-ahli Parlimennya tarik balik sokongan pada PN di saat-saat genting.
Rupanya beliau lebih cenderung dan telah pun berjanji awal-awal dengan Anwar Ibrahim dan PH untuk bersama membantu Anwar menjadi Perdana Menteri ke-10, menidakkan apa sahaja tuntutan dan keperluan untuk memperkasa politik Penyatuan Ummah sebagaimana yang dinanti-nantikan oleh majoriti rakyat dalam negara.
Beliau sedar di belakang PH ada 40 Ahli Parlimen DAP, anasir yang selama ini menggugat usaha mendaulatkan politik Penyatuan Ummah, namun beliau tunduk juga pada PH kerana janji dan habuan yang menanti, jawatan Timbalan Perdana Menteri dan besar kemungkinan 47 kes yang dipikulnya bagai biawak hidup di atas belakangnya, mungkin terlepas.
Yang selesai masalah peribadinya, yang puas hati batang tubuhnya, tapi rakyat jelata khasnyanya ahli dan penyokong Umno yang impikan melihat umat Melayu Islam bersatu dengan kekuatan politik yang ampuh dan utuh tertinggal terkulat-kulat dan terkelip-kelip biji mata melihat tindakan dan aksinya.
Lihatlah kenyataan Timbalan Presiden Umno dalam PAU, Datuk Seri Muhammad Hassan. Katanya:
“Kita harus terima dan hidup dengan kenyataan bahawa kita telah tewas dengan dahsyat.
“Kerana itulah kita tidak dapat mendabik dada bercakap dan berhujah dalam penafian lagi.
“Berlagak seolah-olah Umno ini keramat dan tersangat kukuh.
“Sedangkan kita ditolak oleh rakyat Malaysia.
“Dengan kekalahan yang sangat mengesankan kita.
“Kerana tewaslah pimpinan Umno melakukan ijtihad politik untuk bersama PH dalam kerajaan perpaduan.
“Untuk survival kita mesti cari jalan untuk menjadi sebahagian dari kerajaan.”
Soalnya kenapa Umno tewas dengan dahsyat?
Kenapa Umno ditolak rakyat Malaysia?
Sebelum mahu memberi justifikasi ijtihad politiknya, Tok Mat patut jelaskan mengapa Umno kalah dan ditolak rakyat.
Rakyat mahu melihat Umno mempelopori usaha ke arah politik Penyatuan Ummah.
Rakyat mahu Umno bekerjasama dengan PAS.
Berpaut dan bersatulah semua parti politik Melayu PAS, Umno, BERSATU, biar kukuh kekuatan kita.
Tapi Presiden Umno enggan menyambutnya.
Sebelum PRU lalu, beliau kenakan pelbagai syarat yang hampir mustahil boleh dipenuhi PAS, akhirnya beliau tuduh PAS yang enggan bekerjasama sedang PAS mahu menjadi jambatan menyatupadukan semua parti politik Melayu Islam ketika itu.
Kerana itulah rakyat marah, lalu hilang keyakinan pada Umno dan menolak Umno sehingga tinggal cuma segenggam 26 kerusi sahaja berbanding PAS 43 dan DAP 40.
Ijtihad politik sepatutnya dibuat sejurus tangan dihulur pada Umno untuk bersatu pra PRU ke-15 lagi.
Tok Mat tidak pula memberitahu bahawa tangan itu ditepis Presidennya kerana beliau sedang ada perjanjian dengan Anwar.
Itulah sebenar puncanya, lantas bila Umno kecundang, ijtihad politik menyelamatkan diri terpaksa digunakan sebagai alasan, walaupun sebenarnya PN sudah mempelawa menyelamatkan Umno tetapi Zahid memilih PH kerana terikat dengan janji dan persahabatannya dengan Anwar.
Tak mengapalah barang yang lepas jangan dikenang.
Masalahnya mampukah Umno bangkit, sedang kini ia berada dalam kandang musuh yang buas dan ganas.
PKR, DAP dan PAN masing-masing tidak sabar melihat Umno terkubur.
Cuba kita lihat kehadiran Anwar semasa majlis perasmian PAU baru-baru ini.
Berbaju Melayu warna PKR, Anwar berdiri dipentas utama Dewan Merdeka dikelilingi pimpinan tertinggi Umno termasuklah sahabat karib, anak muridnya, Zahid.
Anwar kelihatan turut sama menyanyikan lagu Umno, apakah mesejnya?
Saya yakin di dalam benak kepala Anwar ketika itu adalah perasaan yang cukup berpuas hati.
Klimaks perjuangan peribadinya tercetus hari itu di Dewan Merdeka.
Inilah parti yang telah aibkan, tendang dan pecat aku dahulu.
Hari ini aku berdiri di depan mereka.
Mereka sudah tidak segagah sewaktu mereka tendang aku dulu.
Hari ini aku berdiri sebagai Perdana Menteri mereka, dan mereka dengan 26 kerusi kelihatan tunduk terketar-ketar sekadar melukut di tepi gantang menggarapkan ehsan dan bantuan aku.
Ijtihad politik Umno sesungguhnya bakal menjadi bala terbesar buatnya yang terpaksa ia telan dan akhirnya menyaksikan Umno rebah tersembam ke bumi.
PAS, BERSATU dan PN tidak terlibat.
Tetapi Umno lantaran taksub pada kehendak Presidennya bakal melihat di tangan PH ia akhirnya layu dan padam dari persada politik tanah air.
Kita bakal berhadapan dengan PRN di enam buah negeri, dan PRN inilah yang akan menjadi pusara buat Umno bersemadi memandangkan ia bakal menyertainya dengan PH dan DAP dalam pelukan.
Pehatikanlah bait-bait puisi keramat Allahyarham Usman Awang ‘Melayu’, jadikan pedoman:
Watak Melayu menolak permusuhan.
Setia dan sabar tiada sempadan.
Tapi jika marah tak nampak telinga.
Musuh di cari ke lubang cacing.
Tak dapat tanduk telinga dijinjing.
Angkara marah Melayu, sama-samalah kita saksikan kesuduhan Umno nanti.
ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR