PN Terengganu Tidak Rebut Kerusi Kata PAS

PN Terengganu Tidak Rebut Kerusi Kata PAS

Tidak berlaku sebarang perebutan kerusi atau budaya ‘cah keting’ dalam kalangan kalangan parti Perikatan Nasional (PN) di Terengganu.

Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ariffin Deraman berkata proses agihan kerusi sudah selesai sepenuhnya yang dilakukan secara adil dan mencapai kata sepakat.

“Proses agihan kerusi PN di Terengganu telah selesai, tiada masalah. Cuma jumlah berapa itu adalah rahsia. Saya tiada hak untuk cerita dulu.

“Tidak sebagaimana pihak sana (BN, PH). Mereka bergaduh, kami sudah selesai dan terima dengan istilah kalau Bersatu mereka terima dengan seadanya.

“Kalau banding dengan negeri lain. Bersatu mereka tiada asas lagi di sini (Terengganu) jadi kita timbang semua sekali insya-Allah, ada kerusi-kerusi untuk mereka,” katanya, lapor Sinar Harian.

Ariffin ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok Kediaman (RTB) Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat di Marang, hari ini.

Katanya, jentera PAS turut akan membantu dalam memberikan kemenangan kepada calon-calon Bersatu.

“Dalam PN langsung tiada budaya ‘cah keting’. Setakat ini, saya sudah berikrar untuk membantu rakan-rakan kita daripada Bersatu untuk membawa kemenangan kepada mereka.

“Insya-Allah (ini ikrar) saya selaku pengarah pilihan raya. Mereka pun gembira. Kita akan bantu sehingga mereka menang dalam PRN nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Ariffin berkata titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang baru-baru ini mahu kesemua parti yang bertanding berkempen secara berhemah akan dijadikan keutamaan.

“Strategi kempen kita berpandukan fakta. Itu disiplin kita dari dulu dan kita tak boleh berkempen jika tiada fakta. Kalau ada penceramah kita yang bawah-bawah itu, kalau ada kesilapan fakta kita akan tegur.

“Sama juga dengan budaya caci-mencaci. Kalau lihat dari mula kita jadi kerajaan, kita hampir-hampir tidak menyerang BN. Cuma, bila dah ada sikit-sikit itu, adalah…dekat pilihan raya ia sesuatu yang biasa,” katanya.

Sebelum ini, parti kerajaan campuran berbalas kenyataan antara Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berhubung proses agihan kerusi yang masih belum selesai.

Ia susulan tindakan Ahmad mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Terengganu dan Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad yang secara terbuka melahirkan keyakinan PKR boleh menang di beberapa kerusi yang sudah dikenal pasti di Terengganu.

Pilihanraya