BN-PH Bakal Hilang N. Sembilan Gara-Gara Konflik Dalaman UMNO

BN-PH Bakal Hilang N. Sembilan Gara-Gara Konflik Dalaman UMNO

Kerajaan campuran BN-PH dijangka bakal hilang Negeri Sembilan pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi susulan krisis dalaman antara dua pemimpin tertinggi UMNO.

Dakwaan itu dibuat Ketua Pengarang Suara Merdeka, Borhan Abu Samah dalam analisisnya bertajuk ‘Krisis dalaman UMNO jadi punca kekalahan di Negeri Sembilan’, hari ini.

Menurutnya, meskipun tiada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi UMNO namun Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan giat melakukan gerakan untuk mengukuhkan kedudukan masing-masing.

“Zahid memang tidak percaya kepada Mohamad kerana ketika beliau bercuti dan pemimpin Negeri Sembilan itu memangku jawatan presiden, beliau cuba memancung orang-orang Zahid di dalam UMNO.

“Mohamad atau Tok Mat orang yang paling awal bertemu dengan pemimpin Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin selepas keputusan pilihan raya tempoh hari memberi kejayaan besar kepada PN.

“Baru-baru ini juga dikhabarkan Tok Mat juga mengadakan pertemuan sulit dengan beberapa pemimpin UMNO bak kata orang Negeri Sembilan Tok Mat sering berunding di dalam gelap,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau melihat Zahid terang-terangan melemahkan Tok Mat di Negeri Sembilan dengan melantik Datuk Seri Jalaluddin Alias sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang sepatutnya dipegang oleh Tok Mat.

“Mengapa Tok Mat selaku Timbalan Presiden UMNO tidak memegang jawatan berkenaan.

“Mungkin alasan yang diberi ialah Tok Mat sudah mempunyai jawatan di peringkat persekutuan lebih baik jawatan itu diserahkan kepada Jalaluddin yang baharu sahaja dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

“Tidak cukup itu, (Tan Sri) Isa Samad yang selama ini sudah hilang dari radar politik dan merupakan musuh utama Tok Mat, tiba-tiba diberi peranan besar untuk menghadapi pilihan raya kali ini, seolah-olah presiden tidak yakin dengan kemampuan Tok Mat.

“Mustahillah jika Isa tidak berdendam dengan Tok Mat.

“Sudahlah dijatuhkan dari jawatan menteri besar, Isa juga dibenam oleh Tok Mat sekian lama.

Presiden sudah menghidu gerakan Tok Mat yang mahu mengambil-alih jawatan presiden jika Zahid gagal mengetepikan pertuduhan kes mahkamahnya, atau Zahid didesak meletakkan jawatan apabila keputusan pilihan raya negeri tidak memihak kepada UMNO,” katanya.

Tambahnya, “menambah lagi duri dalam daging di Negeri Sembilan anak Isa, Najib juga menang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Port Dickson, sudah pastinya atas perkenan presiden”.

Katanya, krisis dalaman itu akan mengheret UMNO kepada kehancuran apatah lagi kerjasama parti itu dengan DAP sukar diterima oleh akar umbi dan pengundi Melayu yang masih terluka dengan sikap pemimpin DAP sejak sekian lama.

“Isu kegagalan kerajaan dewasa ini menangani isu kos sara hidup bukan sesuatu yang terbatas di sempadan negeri tetapi ia mencakupi ke seluruh negara.

“Faktor tersebut menyebabkan para pengundi tawar hati untuk mengundi kerajaan, kerana berpendapat selain mereka tidak memilih kerajaan hari ini, tetapi terbentuk atas pelbagai muslihat dan ia terbukti gagal secara total,” katanya.

UMNO