UMNO Selangor Dianak-Tirikan PH

UMNO Selangor Dianak-Tirikan PH

PH Selangor kenalah kurangkan ego dan lagak mereka bagai “abang besar”.

Mereka kan telah berpakat dan berkongsi kuasa dengan BN di Putrajaya.

Bukan ke besar jasa Zahid pada mereka sehingga Datuk Seri Anwar dapat jadi PM lantaran kesanggupan Zahid berkorban membantu Cikgunya.

Kerana itu belas ihsanlah sikit pada Umno di Selangor.

Layanlah tuntutan Umno Kota Raja untuk diberikan kerusi Sg Kandis pada Tengku Zafrul (walau belum tentu boleh menang).

Umno Selangor perlu bernafas kembali setelah ditolak rakyat dalam PRU Parlimen baru-baru ini.

Umno “0” di Selangor apabila gagal pertahankan Parlimen Sabak Bernam dan Tanjong Karang dan gagal menang walau satu kerusi Parlimen.

Nama-nama besar seperti Tengku Zafrul dan KJ pun kalah dan ditolak rakyat Selangor.

Sedih lihat Umno yang satu ketika dahulu gergasi di Selangor, hari ini perlu merayu dan meminta-minta kerusi dari PKR dan DAP.

Tak sangka jadi begini akhirnya.

Teruk Umno memikul beban kesan dari kesilapan ijtihad politik Presidennya.

Umno dianggap tidak penting oleh PH Selangor dan menerima layanan paling dingin sejak Zahid setuju kerjasama dengan PH di Putrajaya.

DAP terang-terang hina dan perli Umno apabila mendakwa BN yang ditunjangi Umno ini satu pakatan korap yang perlu ditolak.

Saya difahamkan DAP Selangor tidak akan korbankan walau satu kerusi pun pada Umno apatah lagi MCA atau MIC.

Kerana itulah berhati-hati ketika memilih kawan.

Saya simpati dan tidak salahkan penyokong-penyokong, ahli-ahli dan pimpinan Umno Selangor.

Mereka sesungguhnya menanggung derita lantaran tindakan Presiden mereka yang mementingkan diri sendiri?

Adakah masa depan buat Umno Selangor di tangan PH?

Jika PRU Parlimen pun ditolak rakyat bagaimana pula dengan PRN nanti?

Bangkit dan bertindak bijaklah sahabat-sahabatku.

Roslan SMS

Selangor