Perikatan Nasional (PN)-PAS perlu memberikan laluan kepada Tan Sri Annuar Musa bertanding di Parlimen Kuala Terengganu demi kelangsungan misi menawan Putrajaya.
Jika diberikan peluang, Parlimen Kuala Terengganu pasti akan mendapat majoriti undi lebih besar.
Persoalannya, bagaimana dengan bekas Ahli Parlimen sebelum ini, Ahmad Amzad?
Laluan boleh diberikan bertanding kerusi DUN sebagai latihan menjadi MB Terengganu pada masa akan datang, jika bukan pun selepas PRN ini.
Kenapa laluan perlu diberikan kepada Annuar Musa untuk bertanding di Parlimen Kuala Terengganu?
Pertama, Annuar Musa telah memilih wadah Islam iaitu PAS untuk meneruskan perjuangan politiknya.
Semua orang tahu orang yang berada dalam parti PAS berprinsip dan istiqamah amat tinggi.
PAS perlu berbesar hati dan memberikan penghargaan ini kepada Annuar Musa.
Kedua, pengalaman politik (kepartian), Annuar Musa amat mahal harganya.
Pengalaman memimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN), sukar untuk dijual beli.
Ketiga, pengalaman menerajui beberapa Kementerian.
Ini juga pengalaman yang teramat mahal harganya.
Keempat, wibawa dan kepetahan Annuar Musa dalam seni bercakap, sukar untuk dibandingkan.
PAS perlu orang seperti Annuar Musa untuk mengukuhkan lagi parti.
Kelima, sesiapa yang mendapat tarbiyah PAS tidak mudah untuk digula-gulakan dengan wang ringgit dan jawatan.
Apatah untuk melompat parti kerana adanya baiah.
Annuar Musa tidak pernah meminta semua itu, tetapi wajar difikirkan oleh pucuk pimpinan PAS.
Keenam, Parlimen pasti akan bergegar dalam sidang yang akan datang jika Annuar Musa ada bersama.
Sudah tentu kehadiran Annuar Musa akan menjadikan ultra kiasu kecut telurnya.
Ketujuh, ketika menjadi menteri, gerak kerja Annuar Musa beliau berstrategi, menyeluruh, berkualiti dan memainkan peranan yang begitu besar alam menyantuni rakyat dan keperluan negara.
Dalam tempoh sepenggal beliau menerajui dua kementerian iaitu Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Kementerian Multimedia dan Komunikasi (K-KOMM), terbukti kejayaan Annuar Musa, sehingga indeks pencapaian beliau ketika menerajui kementerian berkenaan secara langsung telah menarik dan menanamkan kembali sokongan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Kelapan, ketika menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan, nasib peniaga kecil terpelihara dengan pengurangan karenah birokrasi dan sebagainya, nasib gelandangan terbela, malah mereka disediakan semula untuk mampu berdiri sendiri, indeks kebahagiaan rakyat di Labuan dan Kuala Lumpur adalah yang tertinggi mengikut laporan Jabatan Perangkaan (DOSM), kadar vaksinasi di wilayah adalah yang tercepat dan tertinggi serta beberapa pencapaian besar lainnya.
Kesembilan, menerajui K-KOMM, Annuar Musa telah membuktikan kejayaan dalam kelas yang tersendiri.
Malaysia berjaya meraih kemenangan semula sebagai Ahli Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) untuk penggal 2023-2026.
Ketika menjadi Menteri K-KOMM, perkara pertama yang dilakukannya ialah menjenamakan semula kementerian selaras dengan peranannya yang cukup penting dalam mendepani era digital masa kini.
Kesepuluh, PAS (PN) perlukan pemimpin yang kuat jati diri Islam dan Melayu.
Kuat Islam sahaja tidak cukup, tanpa Melayunya, sebab ini negara asal usul Tanah Melayu.
Ia perlu dipertahankan. Kuat Melayu pun tidak cukup tanpa Islamnya.
Dua ciri ini ada pada Annuar Musa.
Negara ini perlu dipimpin oleh mereka yang kuat jiwa Melayu Islamnya.
Kesebelas, mengenai Annuar Musa sekian lama, pernah sepentas berforum, berada dalam NGO Muafakat Nasional (MN), saya turut berani mengatakan, jika berlaku kekosongan jawatan Perdana Menteri (PM) selepas PRN enam negeri ini, pemimpin yang paling layak untuk mengisinya adalah Annuar Musa.
Bukan menafikan yang lain, tetapi dari segi pengalaman dan umur, Annuar Musa, ada kelebihan.
Keduabelas, begitu juga, pengalaman luas menerajui beberapa kementerian sejak tahun 1990-an serta penglibatan dalam agensi serta jabatan kerajaan sebelum berkecimpung sepenuhnya dalam politik, pun tidak kurang mahalnya.
Menerajui Persatuan Bola Sepak Kelantan sebagai presiden dan membawa pasukan itu ke mercu kejayaan persada bola sepak tanah air.
Annuar Musa juga lantang dan berprinsip terutama dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan parti, Annuar Musa adalah individu penting yang memainkan peranan khususnya dalam membawa ke arah penyatuan parti Melayu, UMNO dan PAS sehingga wujudnya Muafakat Nasional.
Sebenarnya, banyak lagi berkaitan dengan Annuar Musa yang boleh diketengahkan, walaupun tidak dinafikan setiap manusia ada kelemahannya, cukuplah sekadar ini untuk dilontarkan.
Apapun kita serahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya.
Sebagai penulis kerdil bidang politik, inilah strategi terbaik untuk PAS dan PN.
Tulisan ini jauh sekali untuk membodek, apatah untuk mendapat habuan.
Bukan mengenepikan calon sedia ada, sekadar lontaran untuk difikirkan.
PN perlu merancang untuk menang besar, bukan merancang sekadar untuk menang.
Sekadar pandangan peribadi, seorang anak Cina kerdil, tanpa pengaruh sesiapa pun.
Mohd Ridhuan Tee Abdullah