UMNO Tidak Lagi Diterima Rakyat – Penganalisis

UMNO Tidak Lagi Diterima Rakyat – Penganalisis

Sokongan akar umbi terhadap parti keramat orang Melayu iaitu UMNO dilihat semakin merundum disebabkan oleh krisis dalaman yang berlaku di dalam parti tersebut.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, walaupun UMNO mempunyai kepimpinan yang baik, kestabilan UMNO tidak semestinya akan diterima semula oleh pengundi memandangkan prestasi parti tersebut dilihat semakin merosot.

“Kalau dilihat daripada perspektif kepimpinan stabil tetapi dari sudut kepartian tidak bererti bahawa kekuatan UMNO ini boleh dipersepsikan sebagai sesuatu yang positif dan diterima oleh pengundi memandangkan kita melihat kemerosotan persepsi UMNO ini sudah berlaku sejak lama sejak daripada tahun 2008 lagi.

“Kita juga tengok pola sokongan populariti UMNO itu makin merudum”, katanya. 

Mujibu turut berpandangan bahawa bekas ahli UMNO yang keluar dari parti itu akan memberi impak kepada perkembangan UMNO.

Beliau turut mengambil contoh bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berjaya mendapat sokongan ahli UMNO yang lain dan seterusnya menjadi lawan kepada UMNO melalui Bersatu.

“Kita boleh nampak bagaimana pembuangan Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Datuk Seri Shafie Apdal jelas memberi impak yang besar kepada UMNO sampai ke tahap mereka itu mampu untuk mengalahkan UMNO seperti mana Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bersatu dan juga Datuk Seri Shafie Apdal di Warisan,” katanya semasa dihubungi TV Pertiwi hari ini. 

Terdahulu,bekas Timbalan Ketua UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan mantan Ahli Dewan Negara, Datuk Ras Adiba Radzi mengesahkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Perkara itu diumumkan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam semasa Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan di Seremban.

Tindakan kedua-dua figura ni menampakkan bahawa akar umbi UMNO tidak lagi bersama parti itu selepas UMNO bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan. 

UMNO