Kerajaan PH Tak Penuhi Semangat Kerajaan Perpaduan, Tak Perlu Sokong: MCA Selangor

Kerajaan PH Tak Penuhi Semangat Kerajaan Perpaduan, Tak Perlu Sokong: MCA Selangor

MCA Selangor tidak akan menyokong calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos depan nanti.

Pengerusi MCA Selangor, Datuk Ng Chok Sin menyifatkan gabungan PH-UMNO sekarang tidak mempunyai ciri-ciri sebuah kerajaan perpaduan kerana tidak mempunyai pertimbangan yang adil kepada rakan parti lain.

“Isu asasnya kerana PH tidak memenuhi ‘semangat kerajaan perpaduan.

“Justeru, tiada keperluan bagi MCA menyokong calon mereka,” katanya semasa Konvensyen MCA Selangor menurut laporan FMT.

Katanya, komponen parti dalam kerajaan perpaduan sepatutnya melayan antara satu sama lain dengan “ihsan dan timbang rasa” untuk memastikan survival sebagai parti politik.

“Kita sudah melaluinya dalam Barisan Nasional (BN) dan kerajaan perpaduan perlu mengikuti prinsip itu juga,” katanya.

Chok Sin bagaimanapun menekankan MCA hanya akan membantu calon Barisan Nasional (BN) dalam kempen PRN nanti.

Pada 5 Julai, MCA mengumumkan tidak bertanding pada PRN enam negeri selepas mengambil kira “situasi politik semasa” menerusi perbincangan mendalam dan analisis.

Dalam pada itu, Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata parti memutuskan tidak bertanding pada PRN kerana menyedari risiko tumpas daripada menang di enam negeri berkenaan, sejak 2008.

Katanya, MCA akan berdepan laluan sangat sukar dalam rundingan kerusi memandangkan parti tidak mempunyai kuasa perundingan.

Dalam ucapannya, Ka Siong juga berkata, lebih baik MCA menuruti “gabungan besar” selepas PH dan BN memutus bertanding sebagai satu pasukan, berbanding membenar rundingan agihan kerusi dibuat secara bersendirian oleh komponen parti.

Beliau berkata, parti enggan dilihat sekadar “hiasan” semata-mata.

“Bagaimanapun, bukan bermakna kita akan menyerah kerusi itu selamanya. Cita-cita kita untuk mengambil bahagian pada PRU,” katanya.

Enam negeri – Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, dan Kelantan — akan mengadakan PRN serentak, pada 12 Ogos.

MCA