Saya tulis khusus buat renungan seluruh rakyat dan penduduk Negeri Terengganu Darul Iman yang saya kasihi.
Hari ini sudah lebih 5 tahun 2 bulan saya menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu.
Tidak pernah ada langsung dalam fikiran saya sementelah lagi untuk menjadikan jawatan ini sebagai impian.
Namun, atas amanah yang telah diberikan oleh rakyat dan parti, saya tunaikan juga tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin yang saya mampu.
Saya tidak berseorangan. Kawan-kawan dalam MMKN, para pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri sangat banyak membantu.
Pelbagai pihak sentiasa berikan sokongan dan dukungan dalam bermacam-macam bentuk.
Alhamdulillah, hasil daripada kebersamaan dan kesungguhan ini ditambah pula dengan hala tuju yang jelas dan operasi pentadbiran yang cekap, kita dapat saksikan dan rasai sendiri impaknya kepada rakyat dan negeri yang kita cintai ini.
Ya, saya akui negeri kita masih belum jadi nombor satu dalam banyak aspek.
Tetapi, dalam banyak perkara ini prestasi kita semakin bertambah baik berbanding sebelum ini.
Kemajuan ini kita perlu syukuri dan kita mesti hargai.
Jika momentum ini terus ditingkatkan, insya-Allah kita akan jadi nombor satu dalam banyak bidang suatu hari nanti.
Dalam tempoh 5 tahun ini, ekonomi negeri kita terus berkembang.
Pertumbuhan 5.9% yang kita capai pada tahun lalu adalah antara yang terbaik sementelah pasca pandemik dan krisis perang.
Nilai pelaburan di negeri kita pula hampir mencecah RM12 bilion sepanjang tempoh ini.
Menerusi aktiviti ekonomi dan projek pelaburan yang mampan inilah banyak peluang pekerjaan dan peluang keusahawanan tersedia di negeri kita.
Pada tahun lalu sahaja direkodkan terdapat 41,250 kekosongan jawatan dalam 21 industri dan seramai 20,351 orang telah mendapat penempatan pekerjaan sehingga akhir tahun lalu.
Anak syarikat Kerajaan Negeri banyak yang berjaya dipulihkan.
Jika dulunya tidak beroperasi atau mengalami kerugian, kini sudah bergerak aktif dan menjana pendapatan.
Pendapatan Kumpulan Terengganu Inc. catat peningkatan 33% kepada sekitar RM1.5 bilion pada tahun lalu.
Pada aspek pengurusan kewangan pula, di samping ada pertambahan hasil, perbelanjaan mengurus sebenar juga berjaya dikurangkan antara 6% hingga 8% sekali gus menjadikan defisit sebenar hanya sekitar 2% hingga 5% sahaja berbanding 10% yang dianggarkan.
Baki hutang dengan Kerajaan Persekutuan juga sudah pun dikurangkan sebanyak RM640 juta.
Untuk sektor pertanian termasuk subsektor-subsektor tanaman, ternakan dan perikanan pula kita dah belanjakan lebih RM100 juta.
Berbaloi, sebab pengeluaran makanan utama di negeri kita seperti beras, sayur-sayuran, daging lembu atau daging kerbau dan ayam atau itik semakin meningkat dari tahun ke tahun.
Sektor pelancongan negeri kita pun makin rancak.
Tahun lepas sahaja bilangan pelancong ke negeri kita berjumlah 10.23 juta orang dan dijangka akan beri sumbangan ekonomi bernilai mencecah RM3.9 bilion.
Strategi memperbanyakkan acara ikonik, menyediakan sokongan kepada pemain industri dan memperkenalkan pelbagai produk pelancongan unik nampaknya membuahkan hasil.
Projek-projek pembangunan pun berjalan dengan baik.
Sehingga 2021 sahaja, daripada 15,681 projek yang dirancang, sebanyak 14,934 projek (95.2%) telah pun disiapkan.
Sejak 2018, sejumlah hampir RM4 bilion telah diperuntukkan untuk pembangunan.
Kita juga berjaya pulihkan projek bermasalah tinggalan kerajaan terdahulu antaranya Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Paya Bunga Hotel dan sebagainya.
Untuk pendidikan pula, macam-macam inisiatif telah dilaksanakan untuk pacu kecemerlangan anak-anak kita.
Kerajaan Negeri menubuhkan SRIDI, SMIDI dan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu.
Sedia bantuan perkapita hampir RM20 juta untuk sekolah-sekolah agama.
Beri biasiswa hampir RM50 juta kepada 520 orang pelajar menerusi Skim Pelajar Cemerlang dan Tabung Siswa Pelajar bernilai RM5 juta setahun melibatkan 1,014 penerima sehingga kini.
Sokongan kepada tenaga pengajar juga diberikan melalui Skim Mus’ab bin Umair dan Skim Al-Ghazali.
Di seluruh negeri hidup dengan pelbagai program dakwah, dari peringkat kampung hinggalah yang bertaraf antarabangsa.
Aspek pelaksanaan syariah turut diberikan penekanan termasuklah dengan memperkenalkan garis panduan syariah, menaik taraf infrastruktur Mahkamah Syariah dan menambah baik undang-undang berkaitan.
Kerajaan Negeri juga amat cakna dengan kebajikan rakyat.
Masa pandemik pada tahun 2020 dan 2021 dulu, kita dah belanjakan sekitar RM76 juta untuk sediakan pelbagai bentuk bantuan dan sokongan kepada rakyat.
Sepanjang tahun 2022 sehingga kini pula sejumlah RM160.5 juta lagi dibelanjakan untuk beri bantuan langsung kepada rakyat.
Prestasi sukan kita juga tak kurang hebatnya.
SUKMA tahun lalu kita dinobatkan sebagai naib juara dan berjaya merangkul 64 pingat emas.
Pungutan terbanyak dalam sejarah sukan Terengganu.
Dari negeri kita juga lahir ramai atlet yang bertaraf antarabangsa.
Lebih manis dan melegakan hati, semua 20 janji manifesto yang dijanjikan dalam pilihan raya umum lepas telah diambil tindakan dan dijayakan pelaksanaannya.
Alhamdulillah, berkat doa dan usaha semua kita cipta kejayaan dan pencapaian ini bersama.
Sebenarnya lebih banyak pencapaian yang ada di Terengganu, para pembaca boleh dapatkan maklumat ini di :
Kad Laporan Prestasi Kerajaan Negeri Terengganu : https://bit.ly/3PYvnvC
Buku Kejayaan Kerajaan Negeri Terengganu : http://bitly.ws/PaN9
Saya sertakan juga 10 Tawaran PAS Terengganu sempena pilihan raya ini.
10 Tawaran PAS Terengganu : http://bitly.ws/PaKn
Insya-Allah kesemua 10 Tawaran ini akan ditunaikan sebaiknya di samping 20 Manifesto sedia ada juga akan diteruskan.
Saya amat berharap menerusi pilihan raya yang menjelang tiba ini akan mencetus batu loncatan baharu untuk Negeri Terengganu terus maju, berkat dan sejahtera.
Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar