Sebelum saya kenal PAS, apa yang tidak saya kutuk atau cerca PAS?
Untuk menceritakan balik, saya rasa malu pada diri sendiri.
Kepada yang tahu, mereka akan tahu.
Dulu antara sebab saya tidak menyukai PAS adalah kerana saya tidak menyukai perangai segelintir pemimpin-pemimpin PAS seperti, Mat Sabu, Khalid Samad, Mahfuz Omar dan geng-geng anwarinas.
Saya cukup-cukup benci kepada mereka ini.
Bagaimana saya boleh berubah pandangan terhadap PAS?
Pertamanya selepas geng-geng anwarinas tidak lagi berada dalam PAS.
Selepas itu PAS juga tidak lagi keras terhadap UMNO dan Datuk Seri Najib apabila puak-puak itu tidak ada.
Keduanya selepas BN dan UMNO kalah PRU 2018.
Ketika itu satu demi satu parti-parti komponen meninggalkan BN.
Dari berbelas hingga tinggal beberapa sahaja.
Ketika itu juga Datuk Seri Najib diasak teruk oleh Kerajaan PH.
PAS datang menghulurkan tangan persahabatan kepada UMNO. PAS berkunjung ke PWTC.
PAS juga pergi ke rumah DSNR memberi sokongan moral kepada beliau.
Ketika itu pemimpin-pemimpin UMNO sendiri pun menjauhkan diri dari DSNR.
Malah ada yang meraung-raung meminta DSNR meletak jawatan.
Saya masih ingat lagi, ketika saya dan beberapa teman-teman mengunjungi DSNR di rumah beliau di Jalan Duta pada 12. Sept. 2018, DSNR memberitahu tentang sikap UMNO terhadap beliau.
Ketika itu saya memberitahu DSNR;
“Tak mengapa, DS kuatkan balik diri DS, Insya Allah apabila DS kuat, mereka ini akan datang kembali”.
Akhirnya apa yang saya katakan menjadi kenyataan.
Datang jilat dan melaung-laung BOSSKU…BOSSKU.
Berbalik kepada cerita PAS;
Pada ketika itu PAS mempunyai hubungan yang baik dengan Tun M.
Dan ketika itu juga Tun M agak pening dengan sikap DAP dalam kerajaan.
PAS boleh memilih untuk hulurkan tangan kepada Tun.
Namun tidak, PAS memilih untuk bersama UMNO melalui MN.
Secara logiknya kita fikir, untuk apa PAS hendak berbaik dengan UMNO?
Perjuangan PAS puluhan tahun berlawan dengan UMNO.
Sepatutnya PAS tepuk tangan apabila UMNO kalah.
Begitulah mulia sikap PAS terhadap pihak yang pernah berlawan dengan mereka puluhan tahun.
PAS berlawan dengan UMNO puluhan tahun wahai kawan-kawan ku semua.
Tapi PAS tunjukkan sikap mulia terhadap UMNO.
Yang UMNO pula baru berlawan Bersatu setahun dua sahaja.
Dia punya sifat dendam kesumat dan hati busuknya macam bangkai.
Namun kerana PAS meletakkan agenda agama, bangsa dan negara mengatasi agenda politik.
Maka PAS jalinkan hubungan dengan UMNO.
Diringkas cerita, Kerajaan PH runtuh.
Lalu wujudlah kerajaan gabungan UMNO, PAS dan Bersatu.
Demi untuk mengelak masyarakat Melayu Islam berpecah belah, PAS ajak Bersatu bersama dalam MN.
Bersatu terima, namun UMNO menentangnya.
Maklumlah dah dapat kuasa.
Dah boleh jadi menteri, dah boleh jadi timbalan menteri, dah mula bernafas kembali, dan Tun M sebagai orang yang digeruni pun telah tiada, UMNO mula berkepak.
Waktu jadi pembangkang berpimpin tangan dengan PAS.
PAS datang hulur nyawa mereka terima.
Apabila telah jadi kerajaan dan mereka merasakan kerajaan itu perlukan mereka, maka mereka mula berubah sikap 180 darjah.
Melihat kepada sifat mulia itulah, saya mula mengkaji dengan lebih mendalam mengenai PAS.
Sebelum itu saya akui saya tidak ambil tahu tentang cara PAS menguruskan parti.
Maklumlah apabila saya kenal dunia politik saya terus mengenali UMNO dan BN.
Di rumah kita televisyen dan radio RTM.
Bapa saya baca suratkhabar jawi Utusan Melayu dan Utusan Zaman.
Saya pula baca Utusan Malaysia.
Masa itu harganya 35 sen. Sudah tentu berita-berita mereka semua mengenai UMNO dan BN.
Perlahan-lahan saya ambil masa untuk memahami PAS.
Baru saya tahu bahawa ahli-ahli PAS diberi pembentukan bersifat perkaderan.
PAS bukan sebuah gerakan politik semata-mata.
Ianya juga gerakan dakwah dan tarbiyah.
Yang mana tarbiyah adalah sebuah proses bimbingan yang melibatkan jasad, akal, emosi dan jiwa.
Sebab itulah ahli-ahli PAS setia dan tidak akan melawan pemimpin.
Adalah satu dua kes-kes terpencil yang nakal.
Kemudian saya mendalami pula dasar PAS.
Dasar mereka adalah Islam.
Dan perjuangan mereka adalah mewujudkan sebuah pemerintahan yang ada nilai-nilai Islam, mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.
Apabila bercakap mengenai pemerintahan Islam ianya bukan semata-mata semua kena pakai jubah dan purdah.
Dan menghalang kebebasan penganut lain beragama.
Pemerintahan Islam juga adalah memberi kebebasan kepada penganut lain beragama dan kita harus melindungi mereka dari sebarang pengkhianatan atau kezaliman.
Itulah yang Islam tuntut…
Diringkaskan cerita, perjuangan PAS mencakupi semua perkara.
Memperjuangkan Agama, Bangsa, Tanahair, Keadilan, Kebebasan dan Demokrasi.
Sebab itu PAS tidak hairan dengan kuasa.
Mereka telah lama jadi pembangkang.
Mereka telah merasai pedih dan perih dalam perjuangan.
Namun mereka tidak pernah mengalah.
Saya yakin PAS tidak akan mati.
PAS akan terus hidup.
Kerana badan-badan yang memperjuangkan Islam tidak akan mati.
Jangan pergi jauh, ambil contoh-contoh terdekat dalam negara.
ABIM, JIM, PERKIM, hatta Pergerakan Puteri Islam pun semua masih hidup.
HAMAS yang lebih teruk ditekan oleh zionis pun tidak pernah layu. Sentiasa kuat…
Kepada yang mengharap PAS akan mati, lupakanlah. Kalah itu biasa. Namun mati itu tidak.
Waktu tak ramai ahli pun mereka hidup dan membesar.
Apatah lagi sekarang mempunyai ahli yang ramai, disokong pula oleh orang-orang berduit.
Ditambah pula dengan dunia teknologi di hujung jari sekarang ini.
PAS rileks ja…Presiden mereka pakai jubah dan berjalan pun pakai tongkat.
Tapi boleh menang besar. Tak perlu lakukan pembedahan wajah. Namun tetap menang besar.
Takbirrrrrrrrrr……..
Nota : Saya bukan ahli PAS
Mohd Faisal