Ketiadakhadiran Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dalam majlis ceramah malam ini mencetuskan spekulasi pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang lantang itu mungkin ditangkap buat kali kedua susulan siri serangan terhadapnya oleh pemimpin tertinggi kerajaan.
Sanusi bagaimanapun menafikan khabar angin itu, meskipun seorang individu dipercayai ahli PAS sebelum ini memaklumkan kepada hadirin program ceramah di Padang Serai, bahawa pengarah pilihan raya PN itu tidak dapat menghadirkan diri atas faktor keselamatan.
Terdahulu, Astro Awani memetik sumber sebagai berkata bahawa Sanusi ditahan oleh polis Bukit Aman, walaupun tiada sebab dinyatakan.
Bagaimanapun, Sanusi sebaliknya dilihat muncul dalam sesi yang dihoskan oleh pengulas politik Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Sir Azri, dalam siaran langsung yang disiarkan di TikTok dan YouTube.
“Tak betul itu,” kata Sanusi ketika ditanya mengenai khabar angin penahanannya.
Ahli politik popular itu menjadi tajuk utama berita dalam beberapa hari kebelakangan ini berhubung ucapannya yang membidas Anwar Ibrahim serta tuduhan yang mengaitkannya dengan kecurian sumber nadir bumi di Kedah, dakwaan yang disangkalnya dengan beberapa siri pendedahan yang menyasarkan perdana menteri.
Bulan lalu, Sanusi ditangkap secara kontroversi oleh puluhan anggota polis selepas menyerbu masuk sebuah hotel yang didiaminya sekembalinya dari mesyuarat dengan pemimpin PN di Kuala Lumpur, sebelum didakwa menghasut berhubung ucapannya yang mempersendakan pelantikan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
Sanusi sejak itu meningkatkan serangannya terhadap perikatan PH-BN, dengan ucapannya menarik jutaan tontonan setiap hari di media sosial dan platform video dalam talian.
Sanusi yang juga penyandang Adun Jeneri dilantik sebagai menteri besar Kedah pada 2020 selepas kejatuhan kerajaan PH sebelum ini di bawah Dr Mahathir Mohamad.
Beliau yang memulakan beberapa projek mega di bawah tema “Greater Kedah”, komited untuk melihat pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kedah terlaksana, di mana kerajaan negeri setakat ini sudah membelanjakan kira-kira RM30 juta.