Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) ditubuhkan di bawah Akta Persatuan Nelayan 1971, 50 tahun lalu.
Ia adalah organisasi yang mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk mewakili dan melindungi hak dan kesejahteraan 6000 nelayan di Pulau Pinang.
Pen Mutiara amat prihatin dengan isu alam sekitar yang melanda masyarakat pesisir pantai kita.
Dengan itu, kami ingin mengeluarkan kenyataan ini untuk menarik perhatian kepada calon-calon pilihan raya negeri Pulau Pinang mengenai isu-isu mendesak dan menuntut tindakan segera daripada mereka.
Pantai dan ekosistem marin Pulau Pinang menghadapi pelbagai cabaran, termasuk projek penambakan yang berleluasa, pencemaran marin, dan perlindungan yang tidak mencukupi untuk nelayan pantai.
Sebagai wakil masyarakat nelayan, kami menyeru calon-calon pilihan raya di Pulau Pinang untuk memberi keutamaan kepada tuntutan berikut untuk kemajuan masyarakat pesisir pantai kita:
- Hentikan projek penambakan di Pulau Pinang: Aktiviti penambakan yang tidak terkawal dan tidak mampan di Pulau Pinang mengancam ekosistem marin dan mata pencarian nelayan pantai kita.
Kami menggesa calon pilihan raya negeri Pulau Pinang menghentikan semua projek penambakan yang dicadangkan dan diluluskan baru-baru ini dan meneroka alternatif ekonomi mampan yang tidak menjejaskan alam sekitar kita.
- Memudahkan pertumbuhan Ekonomi Biru: Kerajaan Pulau Pinang mesti mengguna pakai dan melaksanakan strategi Ekonomi Biru, di mana pertumbuhan ekonomi yang mampan harus sejajar dengan pemuliharaan lautan.
Sebagai contoh, sektor ekopelancongan marin harus dipermudahkan.
Operasi ekopelancongan seperti program homestay, lawatan destinasi flora, fauna dan sumber asli serta aktiviti memancing boleh merangsang ekonomi tempatan dan memperkasakan Persatuan Nelayan Pulau Pinang.
- Pelihara dan memulihara ekosistem marin kita: Calon pilihan raya negeri Pulau Pinang perlu menyertakan komitmen ini dan mengambil langkah segera untuk memulihara dan memelihara sumber marin kita.
Calon mesti berjanji untuk melaksanakan peraturan yang lebih ketat supaya pencemaran marin dikurangkan, habitat penting dilindungi, dan amalan penangkapan ikan yang bertanggungjawab digalakkan.
Semua ini penting untuk kelestarian ekosistem pantai Pulau Pinang.
- Mengiktiraf perkampungan nelayan sebagai Tapak Warisan: Banyak perkampungan nelayan di Pulau Pinang mempunyai kepentingan sejarah dan budaya yang berharga.
Contohnya kawasan Kampung Nelayan Teluk Kumbar yang mempunyai sejarah yang tercatat sejak tahun 1880.
Kita menyeru calon yang menang dalam pilihan raya negeri ini untuk mengesyorkan kepada pihak berkuasa supaya kawasan komuniti nelayan di Pulau Pinang dijadikan tapak warisan.
Ini mampu memastikan perlindungan masyarakat pesisir pantai dan memelihara tradisi dan cara hidup mereka.
- Wujudkan pelan induk daya tahan iklim di Pulau Pinang: Perubahan iklim membawa cabaran besar kepada komuniti pantai Pulau Pinang.
Adalah penting bagi kerajaan negeri untuk membangunkan dan melaksanakan pelan strategik yang membantu komuniti nelayan pantai kita menyesuaikan diri dan berdaya tahan terhadap kesan perubahan iklim.
Ini termasuk menyediakan infrastruktur dan sumber yang diperlukan, latihan, dan sokongan untuk memastikan mata pencarian mereka terpelihara.
Calon yang menang mesti menyokong dan memimpin rancangan ini.
Persatuan Nelayan Pulau Pinang komited untuk bekerjasama dengan calon-calon pilihanraya Negeri Pulau Pinang bagi menangani tuntutan di atas dan membangunkan pelan yang adil dan strategik untuk nelayan pantai yang menekankan matlamat pembangunan mampan.
Dengan mengambil tindakan segera, kita boleh melindungi hak dan mata pencarian nelayan pantai dan memastikan kemampanan jangka panjang komuniti pantai kita.
Persatuan Nelayan Pulau Pinang