Negara Haram Israel Di Ambang Kehancuran

Negara Haram Israel Di Ambang Kehancuran

Di sebalik kemusnahan, keperitan dan pengorbanan besar yang dilakukan oleh rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, kemenangan tentera dan politik ke atas regim Zionis Israel pada 7 Oktober lalu menandakan permulaan kehancuran negara haram Israel.

Ia bukan sahaja telah menghancurkan “mitos” bahawa tentera regim Zionis Israel yang tidak dapat dikalahkan, tetapi juga bakal sekaligus melenyapkan perjanjian normalisasi yang telah mengkhianati janji pembebasan Al-Quds dan bumi Palestin.

Sebagai tindak balas, tentera regim Zionis Israel kini sedang cuba menyelamatkan reputasinya dengan menggunakan satu-satunya perkara yang mereka mahir iaitu mengebom dan membunuh ribuan rakyat Palestin khususnya di Semenanjung Gaza.

Kawasan kejiranan, infrastruktur awam, hospital, masjid mahupun gereja telah dibom tanpa henti seperti pengeboman Al-Ahly Al-Mamdani Hospital yang telah mengorbankan lebih 500 orang warga Palestin dengan ratusan lagi mengalami kecederaan.

Kali ini kumpulan pejuang Palestin dilihat berkerjasama sebagai satu organisasi mantap menentang tentera regim Zionis Israel.

Mereka dilihat begitu tersusun, kuat dan berani hingga mencapai sasaran jauh ke dalam negara haram Israel serta membolosi sistem pertahanan udara canggih yang dimilikinya.

Seorang pengulas politik dari negara haram Israel berkata bahawa kumpulan pejuang Palestin telah mencapai kemenangan yang jelas dan ianya menjadi petanda buruk buat negara haram Israel.

Kali ini “peraturan permainan” berada di tangan pejuang Palestin sehingga memberi tekanan dalaman yang begitu hebat dari rakyat regim Zionis Israel sendiri.

Pengeboman berterusan ke atas Semenanjung Gaza akan membawa kepada peningkatan tindak balas kerana terdapat lebih daripada 200 orang tawanan perang dan tebusan yang berada di bawah serangan udara tentera regim Zionis Israel.

Regim Zionis Israel saat ini kelihatan keliru dan takut dengan kekuatan dan penentangan kumpulan pejuang Palestin.

Tidakkah Dunia Islam ketika ini sedar bahawa regim Zionis Israel kini berada pada tahap yang paling lemah sejak “kelahirannya yang tidak sah” dan sedang menuju ke pengakhirannya yang tidak dapat dielakkan berikutan keangkuhannya yang melampau.

Ketika sebahagian besar pendatang haram Yahudi “bersembunyi” di rumah mereka dan di tempat perlindungan, yang lainnya berdemonstrasi menentang kerajaan negara haram Israel dan menganggap Benjamin Netanyahu bertanggungjawab di atas peristiwa pada 7 Oktober lalu.

Terkini, telah bermulanya demonstrasi dan gerakan agar Benjamin Netanyahu dan anggota kabinetnya meletakkan jawatan.

Buat pertama kali sejak Perang Arab-Israel 1973 atau “Perang Yom Kippur”, regim Zionis Israel berhadapan dengan sejumlah besar kematian baik di kalangan anggota tentera, polis mahupun pendatang haram Yahudi dalam masa 15 hari sahaja.

Sementara itu, nyata semangat rakyat Palestin di Semenanjung Gaza tidak mampu ditewaskan walaupun begitu ramai yang terkorban dan kemusnahan harta benda yang besar akibat dibom oleh regim Zionis Israel.

Inilah perbezaan utama antara mereka yang cintakan tanah air dengan perampas yang tahu bahawa mereka tinggal di atas tanah yang dicuri dan dijajah.

Peperangan yang sedang berlangsung mengesahkan bahawa isu Palestin masih menjadi isu utama bagi Dunia Islam.

Solidariti dengan rakyat Palestin khususnya Gaza diperlihatkan dengan demonstrasi dan sokongan besar-besaran termasuk demonstrasi di bandar-bandar utama negara Barat.

Demonstrasi aman di ibu kota London adalah yang terbesar dalam tempoh 20 tahun, dianggarkan lebih 300,000 orang berarak dengan laungan “Bebaskan Palestin” pada hujung minggu lalu.

Demonstrasi tersebut diadakan hanya beberapa meter dari Pejabat Kementerian Luar Negeri Britain di mana Deklarasi Balfour diwartakan pada tahun 1917.

Jelas sekali usaha untuk membunuh kesedaran isu Palestin di hati Dunia Islam telah gagal.

Percubaan untuk menjadikan kumpulan pejuang Palestin sebagai “musuh utama dunia” juga tidak berjaya mengurangkan sokongan kepada Palestin khususnya Semenanjung Gaza ketika ini.

Apa yang berlaku adalah sebaliknya, lebih ramai, teguh dan jitu sokongan yang diterjemahkan untuk pembebasan bumi Palestin di seluruh dunia khususnya Dunia Islam yang sebenarnya telah jelas menunjukkan bahawa Palestin adalah sebahagian dari “darah daging” umat Islam.

“Gaza” kini sebenarnya sedang mempertahankan maruah seluruh Dunia Islam dan membayarnya dengan begitu mahal sekali, melakukan apa yang “tidak berani dilakukan” oleh pemerintah Dunia Islam yang hidup dalam kepura-puraan kecuali mereka yang dipelihara oleh Allah SWT, alangkah sedikit bilangan mereka.

Percayalah, kemenangan pejuang Palestin untuk membebaskan Masjidi al-Aqsa kelak adalah kemenangan Dunia Islam yang akan mengembalikan Islam ke tempatnya yang asal sebagaimana di zaman kegemilangannya.

Selamatkan Masjidil Aqsa, Bebaskan Palestin.

YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.

AJK PAS Pusat.

Dunia Islam