Terengganu rancang wujudkan Baitul Ummi berkonsep nurseri

Terengganu rancang wujudkan Baitul Ummi berkonsep nurseri

Kerajaan negeri sedang dalam perancangan ke arah merealisasi Baitul Ummi iaitu pusat jagaan harian untuk warga emas.

Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Zuraida Md. Noor, projek berkenaan sudah dirancang sejak tiga tahun lepas yang belum sempat dilaksanakan disebabkan penularan Covid-19 pada ketika itu.

“Kita berhasrat membuka satu pusat jagaan harian yang berkonsep nurseri. Kita hantar mak ayah pagi, balik petang, dalam tu ada pengisian seperti boleh belajar mengaji, kalau dia profesional ada ilmu dia boleh berkongsi ilmu kepada orang lain.

“Kalau dia cikgu dia boleh ajar matematik, bahasa Melayu kepada warga emas di situ, dan kalau dia berminat untuk berkebun kita ada ruang untuk dia bercucuk tanam.

“Kita nak lahirkan warga emas yang berbudi maksudnya di akhir umurnya banyak perkara bermanfaat diberi untuk diri dia dan masyarakat, itu matlamat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman Tahun 2023 di Dewan Kompleks Ibu Tunggal, Chendering, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Adun Ladang berkata, penubuhan pusat berkenaan berkemungkinan sebahagiannya daripada peruntukan kerajaan namun yang melaksanakannya adalah NGO.

“Ini kerana kita bukan nak berniaga ia lebih kepada perkhidmatan. Mungkin kita akan sedia dari segi prasarana infra rumah, tempat-tempat yang sesuai tetapi yang menjalankan organisasi pengurusan adalah pihak NGO,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, pihaknya bercadang untuk mengadakan pusat jagaan itu kepada golongan lelaki.

“Asal cadangan kami untuk wanita sahaja sebab tu dinamakan Baitul Ummi tapi bila kami perhalusi baru-baru ini, bincang dengan exco kena buat untuk lelaki dan juga wanita, tapi kita tidak campur, sebab aktiviti berlainan antara lelaki dan wanita itu,” katanya.

Menurut beliau, pusat jagaan harian warga emas ini akan dimulakan di Kuala Terengganu sebelum dibuka ke daerah-daerah lain.

“Pilot projek kami nak buka satu dulu di Kuala Terengganu. Baik juga kalau kita dapat buat di sebelah Pusat Aktivit Warga Emas (PAWE), boleh bekerjasama sebab konsepnya tidak jauh beza.

“Baitul Ummi pusat jagaan, dan buat aktiviti pergi ke PAWE tidak sama tapi boleh manfaat PAWE di daerah-daerah,” katanya.

Ketika ditanya di mana pusat itu bakal dibina, kata beliau, ia masih dalam perbincangan.

“Proposal kita sudah ada, lengkap kita nak lawat tempat tapi pending sebab pendemik dua tahun, jadi pada sesi kali ini kita akan ke arah untuk merealisasi Baitul Ummi itu,” katanya.

Menurut beliau, kemasukan untuk warga emas ke pusat jagaan berkenaan berdasarkan syarat yang ditetapkan.

Terengganu