Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengangkat Dato’ Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon PRK P.040 Kemaman menunjukkan parti itu menampilkan kepimpinan terbaik untuk kepentingan rakyat seluruhnya.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, pemilihan Dr Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu bukan sahaja akan memenuhi keperluan untuk menyelaraskan perjuangan di peringkat negeri ke Persekutuan.
Tetapi juga menurutnya, bagi mencetuskan gelombang baharu terhadap banyak isu-isu mutakhir dan perkembangan politik semasa negara di mana Dr Samsuri adalah antara pimpinan terkanan dalam PAS.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu menegaskan, bukan tindakan yang pelik untuk PAS menampilkan pencalonan tersebut kerana isu-isu negeri akan dapat dibawa secara langsung ke Dewan Rakyat.
Beliau memberikan contoh isu pembayaran royalti petroleum yang tidak dijawab dengan fakta sebetulnya oleh Menteri bertanggungjawab, sudah pasti Dr Samsuri dapat mengemukakan keabsahan sebenar.
Malah sanggahnya, pencalonan tokoh itu tidak perlu dipertikaikan dengan isu bebanan jawatan kerana kapasiti seumpama juga dipegang oleh Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan serta Ketua Negeri Pulau Pinang.
“Lebih-lebih lagi Dr Ahmad Samsuri masih muda. Dia masih mempunyai kekuatan dan energi yang mana gaya kepimpinan serta kejayaan beliau yang dibuat di peringkat negeri belum diketahui oleh di peringkat nasional.
“Kerana itu ada keperluan untuk supaya beliau berada di peringkat Persekutuan,” ujarnya dalam Wacana Sinar Harian yang membincangkan tajuk ‘Kemaman: Kubu Kuat Siapa’, di sini baru-baru ini.
Ahmad Amzad turut mendedahkan mengenai pengabaian mesyuarat Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sejak setahun berlalu oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku pengerusinya.
Kegagalan sama sebelum ini turut pernah didedahkan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengenai Menteri Dalam Negeri, Senator Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beritahu Sanusi, Saifuddin selaku Menteri Penyelaras dan Pengerusi Majlis Pembangunan Negeri Kedah telah gagal mengadakan mesyuarat tersebut sejak hampir setahun berlalu.
Tambah Amzad, Dr Samsuri selama lebih sepenggal selaku Menteri Besar bukan sahaja telah terbukti membawa kejayaan dan kebaikan untuk negeri Terengganu amnya, tetapi juga ke Parlimen Kemaman khususnya.
“Kalau saya boleh ulas tentang bagaimana komitmen yang telah diberikan sehingga pelabuhan Kemaman yang sebelum ini muram, sekarang ini cergas sehingga mengendalikan kalau sebelum ini dengan kapasiti tujuh juta tan metrik setahun maksimum.
“(Kini) Kita perlu laksanakan segera program pembesaran pelabuhan secepat yang mungkin dikeranakan oleh pelaburan masuk yang begitu banyak sekali. Jadi Kemaman memerlukan sebelum tahun 2026, kita perlu tingkatkan sehingga 12 juta tan kapasiti (setahun).
“Kalau ingat dulu, orang Kemaman tahu di pelabuhan itu dia ada dua kren besar untuk pengangkutan kargo yang menjadi simbol perdagangan di pelabuhan Kemaman yang lama tersadai, tak digunakan.
“Di bawah kepimpinan Dr Ahmad Samsuri sekarang ini kita merancang empat (kren). Dan sekarang ini dirancakkan lagi dengan fasa kedua pembesaran kilang besi di Kemaman melibatkan pelaburan lebih RM5 bilion,” maklumnya.
Semua kapasiti besar pelaburan tersebut katanya, akan menyediakan peluang pekerjaan untuk rakyat, selain Terengganu turut meneroka antaranya bidang tenaga boleh diperbaharui dan perlombongan mineral.
Beliau memberitahu mengenai ladang tenaga solar dan pemprosesan mineral yang menjadi nilai tambah ekonomi negeri serta peluang pekerjaan kepada rakyat sebelum ia dieksport ke luar negara.
Jelas beliau, ketetapan dilakukan Dr Samsuri itu menjadi pendahulu yang diikuti oleh pentadbiran kerajaan diterajui Anwar yang menetapkan unsur nadir bumi diproses terlebih dahulu dalam negara sebelum dieksport.
Kepimpinan Menteri Besar itu juga kata Amzad, adalah berlandaskan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) di mana tidak berlaku sebarang diskriminasi ke atas rakyat Terengganu biarpun berbeza pegangan politik.
Tambah beliau, keberadaan Naib Presiden PAS itu di Parlimen juga amat penting berikutan kegelisahan negara terhadap prestasi Kerajaan Madani, kos sara hidup dihadapi rakyat dan terbaharu cabaran terhadap Syariah.
“Menyebabkan ada gelombang di bawah sana yang mahu melihat sesuatu gelombang baharu di peringkat Persekutuan. Yang mana kita yakin dengan kemaraan YAB Dr Ahmad Samsuri ke dalam Parlimen akan membantu mencetuskan gelombang tersebut,” hujahnya.