Meskipun hampir 75 tahun merdeka, budaya politik lama masih kekal menjadi modus operandi sebahagian parti politik demi meraih kuasa.
Inilah yang masih berlaku pada siri PRK kali ini, apabila terdapat penyalahgunaan jentera dan agensi kerajaan yang jelas oleh jentera Umno dalam siri kempen yang berjalan.
Datuk Seri Ahmad Said dan Shabery Cheek meskipun tidak menjadi calon, mungkin atas sebab takut kalah.
Namun kedua-dua individu ini masih menjadi harapan besar Umno dalam misi mustahil mereka menawan Kemaman.
Shabery Cheek sebagai Pengerusi FELDA ternyata tidak segan silu menggunakan dana dan platform kerajaan ini untuk mengadakan pertemuan dan sesi ‘penghargaan’ buat pengundi di Kemaman.
Tiba-tiba boleh ada program Lestari Fun Walk di FELDA Neram dekat Kemaman.
Tiba-tiba juga Shabery Cheek buat program kepimpinan dengan peneroka di FELDA Kerteh 5, Kemaman.
Kebetulan boleh diadakan satu makan malam di FELDA Neram 1.
Kebetulan pula program-program rasmi kerajaan boleh berjalan pada musim PRK di Kemaman pula kan?
Berbeza sekali dengan PAS. Jika hendak dibandingkan dengan Umno, PAS Terengganu sebenarnya mempunyai ruang lingkup lebih kuat dan besar untuk menggunakan agensi kerajaan yang ada dalam menarik undi rakyat.
Pelbagai agensi kerajaan negeri yang mempunyai pejabat di setiap daerah di Terengganu sudah pasti boleh dimanfaatkan Dr Samsuri sebagai Menteri Besar Terengganu bagi menarik undi rakyat khususnya kumpulan atas pagar.
Wang agihan bantuan dan bakul makanan boleh secara ‘kebetulan’ diagihkan sendiri oleh Dr Samsuri di Kemaman.
Namun kesemua langkah ‘kotor’ ini tidak pula digunakan jentera PAS dan Dr Samsuri.
Sebaliknya cukup menggunakan jentera parti yang ada bagi menggerakkan kempen-kempen.
Cukuplah menggunakan jentera calon untuk memohon penggunaan premis-premis awam menerusi cakupan undang-undang dan peraturan pilihan raya sebagaimana sedia ada tertulis.
Inilah antara manifestasi sebenar budaya politik baharu yang adil.
Berpencaklah atas medan yang sama, dengan kekuatan yang setara berlandaskan set undang-undang yang piawai.
Barulah anak jantan kita panggil!
Tiada keperluan untuk mengadakan jualan rahmah dan agihan bantuan yang kononnya ikhlas dibuat, sedangkan secara tersirat adalah demi menggula-gulakan rakyat.
Janganlah kita tanya di mana suara PH dan penyokongnya dalam isu penyalahgunaan jentera kerajaan dalan kempen pilihan raya.
Lihat sahaja janji dan manifesto yang pernah PH tabur, langsung mereka tidak hormati.
Kalau manifesto sendiri pun mereka tak hormati inikan janji-janji kecil lain.
Baik Umno mahupun PH, kedua-dua pemimpin parti ini tidak berprinsip.
Hanya PAS kekal konsisten, berpolitik dengan prinsip.
Insya-Allah rakyat akan dapat melihat kebenaran ini.
“Generasi Sejahtera, Mengisi Kemenangan”
“Adil, Prihatin dan Berkebajikan”
UTHMAN CHE AZIZ
Ahli Jawatankuasa Kerja Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia