Lim Kit Siang Dinasihati Agar Berhenti Membakar Api Perkauman

Lim Kit Siang Dinasihati Agar Berhenti Membakar Api Perkauman

Negara kita sekali lagi dikeruhkan dengan kenyataan kontroversi veteran DAP, Lim Kit Siang berkenaan perlantikan Perdana Menteri Malaysia daripada bukan Melayu.

Ingin saya tekankan bahawa ia merupakan suatu kenyataan yang bersifat ekstrimis dan kontroversi dan berpotensi menggugat keharmonian negara.

Memetik kenyataan asal beliau yang menyatakan bahawa Perlembagaan Malaysia tidak menyekat mana-mana orang bukan Melayu dari menjadi seorang Perdana Menteri, suka saya nasihatkan beliau agar mempelajari semula sejarah Malaysia di mana Kontrak Sosial menjadi asas dan elemen tradisional penubuhan Perlembagaan Persekutuan.

Kontrak Sosial ialah persetujuan bersama antara kaum Melayu, Cina dan India untuk sama-sama mengiktiraf kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi, kedaulatan Raja-Raja, hak keistimewaan orang Melayu, bumiputera sebagai tuan rumah bagi Tanah Melayu dan memelihara kepentingan kaum-kaum lain di negara ini.

Kedudukan Perdana Menteri sebagai pemimpin nombor satu bagi sebuah negara yang mempunyai populasi penduduk Melayu sebanyak 69.3% adalah suatu yang sangat sensitif jika mengaitkannya dengan orang bukan Melayu dengan komposisinya adalah 22.8% bagi kaum Cina, 6.9% bagi kaum India dan selebihnya adalah daripada lain-lain kaum.

Cubaan mencetuskan api perkauman melalui kenyataan sedemikian dan mengaitkannya dengan situasi di negara Amerika Syarikat yang sudah pasti berbeza struktur dan populasinya adalah satu falasi yang jauh daripada realiti sebenar di negara kita.

Jarum halus seumpama ini perlu ditangani dan dibanteras sebaik mungkin demi mengekalkan kesejahteraan hidup bermasyarakat darsawarsa ini.

Perlu diakui, umat Islam yang majoritinya berbangsa Melayu di Malaysia ini adalah rakyat yang bersopan santun dan tinggi kesabarannya yang terhasil daripada penggabungan nilai-nilai Islam dan budaya kemelayuan di dalam jati diri mereka.

Namun, jika maruah dan kedudukan mereka dicabar, implikasinya sering kali di luar jangkaan pihak yang mencabar mereka.

Selain itu, konsep pemilihan ketua di dalam Islam adalah dengan memilih daripada kalangan yang paling berpengaruh dan paling teguh bersama Islam.

Dalam konteks Malaysia, dengan majoriti populasi rakyat adalah daripada bangsa Melayu dan sinonimnya Melayu dengan Islam, maka selayaknya Perdana Menteri itu mestilah daripada kaum Melayu selain ianya mesti beragama Islam.

Bukan sahaja bagi menjamin kedudukan agama Islam itu terus terbela seiring dengan peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan, bahkan urusan dan kebajikan majoriti rakyat juga diharap akan terus terjaga tanpa meminggir dan menyisihkan kaum-kaum lain.

Akhirnya, mari lah sama-sama kita mengambil iktibar daripada firman ALLAH SWT melalui Surah Al-Mumtahanah, ayat 9 yang berbunyi:

إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ

“Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

Mari lah kita bekerjasama dan saling memperingati sesama kita agar sentiasa menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara tercinta daripada segala elemen provokatif yang boleh mencetuskan api perkauman dan pergaduhan yang tidak diingini.

Sekian.

YB DR. MUHAMMAD KHALIL BIN ABDUL HADI

Ketua Penerangan PAS Terengganu

Politik