Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan sudah sampai masanya PAS menjadi parti utama dalam Malaysia.
Beliau berkata, susulan itu ada tanggungjawab yang berat perlu dipikul oleh PAS dan tidak boleh bertindak gopoh sebaliknya perlu merancang untuk jangka masa yang panjang.
Katanya ini kerana PAS bukan hendak menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15, PRU16 atau PRU17 tetapi sampai bila-bila.
“Jauh perjalanan kita jadi perancangan kita mesti jauh. Cara berfikir, bekalan serta pertimbangan kita mengambi kira dengan cabaran yang akan kita terima,” katanya dalam Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden peringkat Negeri Selangor di Ideal Convention Centre Shah Alam (ICCD) di sini, pagi ini.
Katanya kejayaan di negeri Selangor penting kerana negeri maju ini menjadi modal kepada Malaysia.
Menteri Besar Terengganu itu mengucapkan tahniah kepada kepimpinan baharu PAS Selangor dan terima kasih kepada pimpinan lalu di bawah Pesuruhjaya, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi.
Katanya PAS Selangor di bawah kepimpinan Dr Ahmad Yunus dapat mencapai kejayaan dengan kedudukan PAS di negeri ini.
“Satu kerusi Sijangkang (pada PRU14) kini naik 10 kerusi DUN. Kalau kita bekerja secara tersusun dan elok, insya-Allah kita boleh mencapai kejayaan untuk mengemudi negeri Selangor, ” katanya.
Selain itu beliau mengingatkan untuk mengekalkan sokongan pengundi berusia 18 tahun sukar kerana pendirian mereka boleh berubah.
Katanya mereka boleh bertukar fikiran pada bila-bila masa sekiranya PAS tidak menyusun kerja secara berterusan.
“Kita kena peka kiri, kanan, siang dan malam setiap masa dan tidak boleh berharap kepada pihak kawan lain.
“Kita tidak mampu menang di Selangor atau negeri lain jika tidak kuat,” ujarnya.