Kes Nik Elin: Keengganan Kerajaan Madani Menyertai Prosiding Mahkamah Persekutuan – Kebisuan Dan Kesipulan Yang Memalukan Umat Islam

Kes Nik Elin: Keengganan Kerajaan Madani Menyertai Prosiding Mahkamah Persekutuan – Kebisuan Dan Kesipulan Yang Memalukan Umat Islam

Lujnah Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) mengalu-alukan Penghakiman Menentang (Dissenting Judgement) oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, YAA Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Alasan Penghakiman Menentang sepanjang 72 mukasurat itu sangat berfokus, menyeluruh dan menggambarkan watak kehakiman yang sangat teliti dan bertanggungjawab, khususnya dalam menghakimi isu perlembagaan/kenegaraan yang sangat penting dan bersejarah, agar tidak sewenang-wenangnya disalah-gunakan oleh “phantom busy-bodies (hantu-hantu penyibuk), “crank”, “ghostly intermeddlers” dan “mishief-makers (pembuat masalah).

Isu Locus Standi (hak untuk menyaman) khususnya dalam kes-kes yang melibatkan tafsiran perlembagaan yang melibatkan asas kepada sistem demokrasi, pemisahan bidangkuasa negeri dan persekutuan serta pemisahan cabang legislatif, eksekutif dan kehakiman, sebagaimana yang dihakimi secara panjang lebar dan sangat komprehensif dalam Penghakiman Menentang oleh YAA Tan Sri Abdul Rahman Sebli sewajarnya diangkat dan dijadikan panduan kehakiman pada masa hadapan.

Platform kehakiman tidak sewajarnya digunakan untuk melontarkan cabaran perlembagaan berasaskan fantasi yang bersifat hipotetikal (hypotethical fantasy) oleh mana-mana pihak, apatah lagi untuk menjayakan agenda kolateral yang lebih besar.

Justeru LUHAM ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan syabas kepada YAA Tan Sri Abdul Rahman Sebli atas keberanian (courage) dan kebijaksanaan (wisdom) yang dipertontonkan melalui Penghakiman Menentang tersebut.

LUHAM percaya majoriti umat Islam di Malaysia dan hampir seluruh rakyat Kelantan mendokong dan menyambut baik kebijaksanaan penghakiman tersebut.

Sehubungan dengan itu juga, LUHAM merakamkan kekesalan dan kekecewaan atas sikap Kerajaan Madani yang berpeluk tubuh dan enggan menyertai prosiding penting bagi isu perlembagaan yang melibatkan bidangkuasa negeri dan persekutuan.

Tidak pernah ada dalam sejarah Malaysia yang merdeka, Kerajaan Persekutuan dan Peguam Negara Malaysia menikus apabila doktrin asas Perlembagaan dan kenegaraan dicabar oleh individu warganegara atau mana-mana pihak yang lain.

Sejarah merakamkan bahawa dalam kesemua kes-kes yang berkepentingan awam apatah lagi yang melibatkan isu-isu perlembagaan, Peguam Negara dan Kerajaan Persekutuan akan tangkas bangun mempertahankan atau sekurang-kurangnya menyertai prosiding sedemikian bagi menyatakan pendirian Kerajaan Persekutuan.

Tetapi ini tidak berlaku di zaman Kerajaan Madani. Memalukan!

Kesipuan ini adalah malapetaka besar bagi ummat Islam di Malaysia.

Peguam Negara memilih untuk membisu seribu bahasa. Memualkan!

Justeru teguran dan pandangan Penghakiman Menentang boleh difahami dan tidak sewajarnya dipandang enteng oleh Kerajaan Madani dan Peguam Negara Malaysia – sebagai Pemegang Amanah kepada kepentingan awam (a guardian of public interest):-

“[147] I must highlight in passing that by virtue of Article 4(4) above, the Federal Government shall be entitled to be a party to any such proceedings but for some unexplained reasons it was not made a party to the present proceedings, nor did it apply to intervene in the action. At the hearing, the State Legal Advisor who represented the State Government of Kelantan but who is also an officer of the Federal Government was asked if the Federal Government takes the same stand as the stand taken by the State Government of Kelantan. His reply was that it does not take the same stand.”

[Saya ingin menekankan bahawa berdasarkan Perkara 4(4) di atas, Kerajaan Persekutuan hendaklah dijadikan pihak dalam prosiding yang berkenaan tetapi atas alasan yang tidak dijelaskan ia tidak dijadikan pihak dalam prosiding itu, dan Kerajaan Persekutuan juga tidak memohon untuk mencelah dalam prosiding ini. Sewaktu penghujahan, Penasihat Undang-Undang Negeri yang mewakili Kerajaan Kelantan telah ditanya tentang adakah Kerajaan Persekutuan mengambil pendirian yang sama dengan pendirian Kerajaan Kelantan. Jawapannya bahawa ia (Kerajaan Persekutuan) tidak mengambil pendirian yang sama]

Dalam isu ini, LUHAM kesal kerana Perdana Menteri lebih gemar berdegar-degar membuat ucapan politik di dalam atau di luar Parlimen dengan tuduhan kononnya Kerajaan Perikatan Nasional juga tidak berbuat apa-apa memandangkan Petisyen Nik Elin difailkan pada 2022.

LUHAM ingin menegaskan bahawa dakwaan yang menyalahkan Kerajaan Perikatan Nasional sebagai tidak berbuat apa-apa adalah putar-belit politik murahan yang bercanggah dengan fakta dan kronologi kes.

Hakikatnya, Petisyen rasmi Nik Elin hanya difailkan pada 13.10.2022 selepas mendapat kebenaran (leave) seorang Hakim Mahkamah Persekutuan.

Pada tarikh Petisyen difailkan, Parlimen Malaysia telah dibubarkan pada 10.10.2022 dan Malaysia berada dalam tempoh kempen pilihanraya PRU-16 dan Kerajaan yang wujud pada masa itu hanyalah bersifat Kerajaan Sementara (Caretaker government) semata-mata.

Ringkasnya, Kerajaan Madani yang dibentuk selepas 19.11.2022 adalah bertanggungjawab sepenuhnya atas sikap membisu dan enggan menyertai penghujahan Petisyen Nik Elin ini.

Kerajaan Madani terus membisu, sebagaimana membisunya mereka setelah hampir setahun penarikan balik (secara diam-diam) rayuan kes Kalimah Allah (Jill Ireland) pada 18.4.2023.

Yang didengari hanyalah penubuhan Jawatankusa Khas sahaja.

Sehingga kini umat Islam tidak mendengar apa-apa langkah segera Kerajaan Madani untuk mengkanunkan semula Pekeliling Kementerian Dalam Negeri berkaitan pengharaman kalimah suci Islam: Allah-Kaabah-Baitullah dan Solat!

Apa yang lebih dikesalkan, selepas keputusan Petisyen Nik Elin diisytiharkan pada 9.2.2024, jelas kelihatan jentera-jentera Kerajaan Madani terutama media-media rasmi termasuk Bernama dan RTM, kelihatan tidak cukup tangan menganjur forum dan wacana bagi memberikan justifikasi dan mendokong tindakan Nik Elin.

Nik Elin wajar bergembira kerana pada masa kini seluruh jentera Kerajaan Persekutuan seakan mendokong tindakan dan kemenangannya.

Amatlah malang, ketika Enakmen Syariah negeri-negeri semakin dicabar untuk dibatu-nisankan, Kerajaan Madani dan segala agensi-agensinya tangkas merayakan dan meraikan keputusan yang bakal melenyapkan bidang kuasa mahkamah syariah.

“Malaysia Sejahtera”

WAN ROHIMI BIN WAN DAUD

Pengerusi,

Lujnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM), PAS Pusat.

Isu Semasa