Sanusi Dedah Rahsia?

Sanusi Dedah Rahsia?

Rahsia yang lebih besar daripada ‘rahsia kerajaan’ yang saya dedahkan di Sidang DUN pada 7 Mac 2024 ialah tidak pernah ada mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri sejak November 2022.

Saya turut memohon YAB Perdana Menteri menukar Menteri lain sebagai Pengerusi Bersama dalam satu mesyuarat di Putrajaya beberapa bulan dulu.

Majlis ini melibatkan semua agensi negeri dan persekutuan di setiap negeri, bertujuan memantau isu-isu berbangkit dan memutuskan langkah segera yang perlu diambil oleh pihak-pihak terbabit berasaskan bidang kuasa masing-masing untuk menyelesaikan masalah berbangkit daripada projek-projek kerajaan persekutuan di setiap negeri.

Ia penting berdasarkan bidang kuasa Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan berasaskan Senarai Persekutuan, Senarai Bersama dan Senarai Negeri yang diperuntukkan dalam Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan.

Isu terpenting dalam sebarang projek kerajaan ialah isu-isu tanah, pewartaan pengambilan balik tanah, pampasan, penguatkuasaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) dan seumpanya.

Isu-isu teknikal projek, prosedur, rekabentuk, kapasiti, proses tander, peruntukan dan pelantikan kontraktor lazimnya di bawah bidang persekutuan.

Ia dipengerusikan bersama oleh seorang Menteri Kerajaan Persekutuan dan Menteri Besar.

Kuasa memanggil mesyuarat itu terletak kepada Menteri Persekutuan.

Selepas mesyuarat itu, YB Setiausaha Kerajaan Negeri akan mempengerusikan Majlis Penyelarasan Negeri untuk menyusun langkah segera untuk menyelaraskan tindakan agensi dan jabatan berkaitan.

Sebelum DS Saifuddin Nasution dilantik sebagai Pengerusi Bersama selepas PRU-15, jawatan itu dipikul oleh YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang dilantik pada Mac 2020.

Beliau telah menyusun dan memanggil mesyuarat berjadual 3 atau 4 kali setahun.

Sejak Mei 2020 hingga Oktober 2022, saya telah hadir bermesyuarat sebagai Pengerusi Bersama dengan semua Pengarah agensi negeri dan persekutuan beberapa kali (sekurang-kurangnya 4 kali).

Tidak ada sebarang kebocoran maklumat sepanjang tempoh itu.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilantik sebagai Pengerusi Bersama mewakili kerajaan persekutuan sejak PH membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU-15 pada November 2022.

Sejak itu, mesyuarat penting ini belum pernah diadakan.

Alasan kononnya Sanusi suka membocorkan maklumat mesyuarat dalam ceramah politik di cawangan adalah alasan yang tidak masuk akal.

Sudah lama sekali ceramah di cawangan tidak diadakan di Kedah ini.

Umum mengetahui bagaimana beliau ‘gedik berlebihan’ bermain politik keterlaluan, mengekploitasi maklumat kerajaan, dan menggunakan kuasa agensi persekutuan untuk memburukkan Kerajaan Negeri Kedah, khususnya mencipta pelbagai isu menekan dan merosakkan reputasi Menteri Besar, Exco dan pegawai kerajaan negeri dalam ceramah-ceramah politik beliau sejak dilantik sebagai menteri.

‘Gedik berlebihan’ itu semakin menjadi-jadi terutama menjelang PRN-15 di Kedah.

Beliau turut disaman atas ‘gedik berlebihan’ itu.

Saya berpendapat beliau tidak ada gambaran sebenar apakah yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri kerana tidak pernah mengadakannya.

Kebimbangan tentang kebocoran maklumat rahsia kerajaan hanyalah alasan ‘mengada-ngada’ kerana semua maklumat kerajaan akan sampai ke pengetahun Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan oleh MB bila tiba masanya.

Belum ada kejadian bocor selama 4 tahun ini.

Lagipun, menunggu peringkat ini akan hanya melambatkan pelaksanaan projek.

Mesyuarat ini penting sebagai punca kuasa sesuatu arahan segera dikeluarkan kepada agensi dan jabatan untuk mempercepat dan melicinkan proses pelaksanaan sesuatu projek.

Jangan-jangan beliau sebetulnya malu mata nak bermesyuarat bersama?

Saya telah hadir bermesyuarat dengan PMX berulang kali tanpa sebarang masalah kerana kita sedar topi apa sedang kita pakai.

Saya telah hadir mesyuarat pada peringkat lebih tinggi dan lebih besar bagi negara seperti Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu, Mesyuarat Majlis Kewangan Negara, Majlis Tanah Negara, Majlis Air Negara, Majlis Kerajaan Tempatan, Majlis Perancangan Fizikal Negara dan seumpamanya tanpa sebarang masalah.

Tidak ada rahsia kerajaan yang bocor pun.

Sebetulnya dia kena mengakui bahawa hal ini masalah diri dia, bukan masalah saya.

Muhammad Sanusi Md Nor

Isu Semasa