Tadabur juz ke 19 bermula pada ayat 21 surah Al-Furqan, keseluruhan surah Al-Syuara’ dan surah Al-Namlu sehingga ayat ke 55.
Di awal juz ini, Allah mengulangi kisah perjuangan Nabi Musa, Harun, Nuh yang berhadapan dengan tentangan kaumnya.
Allah turut menyatakan tentang sifat Ibadurrahman yang perlu dimiliki oleh semua umat Islam sebagai penerus kepada perjuangan para Rasul bagi meraih rahmat dan pertolongan Allah SWT.
Di awal surah AI-Syuara’ Allah menceritakan kembali dialog antara Nabi Musa dan Firaun tentang ketuhanan dan ternyata Nabi Musa diugut akan dipenjarakan sekiranya tetap berkeras untuk menyembah Allah.
Namun dengan hikmah kebijaksanaan Nabi Musa serta nusrah daripada Allah, ramai di kalangan pengikut Firaun yang mendengar dialog tersebut beriman kepada Allah.
Begitulah dengan berkat kesabaran dan usaha para Anbiya’ yang telah dinyatakan tadi termasuklah Nabi Soleh, Nabi Syuaib, kesemua mereka diberi thabat dan nusrah dalam perjuangan menegakkan agama.
Setelah itu, Allah menceritakan kisah perjuangan Nabi Muhammad SAW yang sentiasa menerima kecaman dan tentangan kaumnya dalam menyampaikan tuntutan wahyu yang diturunkan melalui Jibril.
Mukjizat Al-Quran walaupun ditandingi oleh pelbagai sasterawan zaman itu, namun Allah tetap menjaga kehebatan Al-Quran sehingga ke hari ini.
Begitulah juga dengan mukjizat Nabi Musa dengan tongkat menjadi ular, mukjizat Nabi Sulaiman yang boleh mengarahkan angin termasuk mempunyai bala tentera di kalangan jin, manusia dan burung.
Dalam surah Al-Namlu juga, selain diberitakan tentang keislaman Ratu Balqis, dinyatakan juga tentang kehebatan orang yang mempunyai ilmu pengetahuan tinggi berkenaan syariat Allah sehingga mampu mengalahkan Jin Ifrit yang tersangat kuat dan handal.
Di sinilah peranan sangat penting untuk menguasai ilmu agama bagi meninggikan maqam serta mengukuhkan akidah agar istiqamah di atas jalan syariat Islam.
Hidupkanlah malam-malam akhir Ramadhan khasnya apabila masuk sepuluh terakhir.
Rasulullah sendiri menghidupkan malam tersebut dengan beribadah serta mengajak bersama keluarganya turut bangkit beribadah.
Daripada Aisyah R.Anha berkata:
كانَ رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ، إذَا دَخَلَ العَشْرُ، أَحْيَا اللَّيْلَ، وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ، وَجَدَّ وَشَدَّ المِئْزَرَ
“Adalah Rasulullah S.A.W Apabila telah masuk sepuluh terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi menghidupkan malam-malam tersebut. Nabi juga mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya”.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dato’ Ahmad Yakob