Setiap Amalan Menerima Balasan

Setiap Amalan Menerima Balasan

Tadabur seterusnya bermula pada ayat 46 surah AI-Ankabut sehingga akhir surah, keseluruhan surah Al-Rum, Lokman, Sajadah manakala surah Al-Ahzab sehingga ke ayat 30.

Allah menegaskan bahawa semua manusia akan menghadapi kematian dan sangat beruntung bagi orang yang beriman kerana akan disediakan syurga yang dipenuhi pelbagai nikmat.

Di awal surah Al-Rum, Allah turut mengingatkan bahawa Dialah yang memulakan kehidupan maka Dialah juga yang mengakhiri serta membalas perbuatan manusia.

Allah turut menempelak manusia yang seringkali mencari-Nya di kala susah dan apabila mendapat nikmat, dilupai-Nya bahkan ada yang menjadi penentang kebenaran.

Allah memberi ingatan kepada manusia agar berwaspada daripada melakukan kezaliman, kerana di akhirat kelak tiada lagi kemaafan, oleh itu manusia wajib perlu kembali kepada suruhan Allah dalam semua aspek dan tidak bertindak melulu.

Allah turut menceritakan kisah tentera Rom yang akan bangkit dan menang suatu masa kelak setelah dikalahkan oleh kerajaan Parsi.

Apa yang menarik dan ajaib, Allah telah nyatakan bahawa mereka ditewaskan di adna Al-Ardh iaitu kawasan paling rendah atas muka bumi.

Ternyata Rom dikalahkan di Kawasan Teluk Mati iaitu kawasan paling rendah atas muka bumi yang terletak di titik persilangan antara tanah Syria, Palestin dan Jordan.

Sementara dalam surah Lokman, Allah memberitakan kisah Wasiat Lokman kepada anaknya agar sentiasa menjaga hubungan ubudiyah dengan Allah supaya tidak terlibat dengan perkara syirik, menghormati dan berbuat baik terhadap kedua ibubapa, mendirikan solat, menjalankan agenda amar makruf nahi mungkar dan tidak boleh sama sekali berkelakuan sombong.

Wasiat ini mestilah dijadikan panduan umat Islam dalam mengharungi kehidupan sementara di dunia yang penuh dengan pelbagai permainan yang menggodakan.

Allah juga membawakan kisah penjenayah dan pelaku kezaliman ketika berhadapan dengan-Nya kelak.

Ternyata mereka kecut perut dan mula insaf untuk kembali melakukan amal kebaikan.

Namun, sudah terlambat dan Allah hanya menyediakan azab neraka yang pedih ke atas mereka.

Pengajaran ini sangat perlu dihayati dalam kehidupan manusia hari ini bagi mendatangkan keinsafan di dunia sebelum sampai ke akhirat.

Sejarah perang Ahzab yang diceritakan di awal surah Al-Ahzab adalah panduan kepada penegak kebenaran sepanjang zaman agar membina kekuatan akidah dan pergantungan hanya kepada Allah.

Allah telah membuka pintu kemenangan apabila Nu’eim bin Mas’ud memeluk Islam dan menjadi asbab kepada musnahnya pakatan Ahzab.

Begitulah rancangan Allah yang mengatasi rancangan manusia.

Buatlah persediaan setiap malam untuk mendapatkan Lailatul Qadar yang terlebih baik daripada 1000 bulan.

Malaikat memenuhi ruang bumi menyampaikan keberkatan sehinggakan di paginya kelihatan matahari tidak mengeluarkan cahaya kepanasannya.

Rasulullah bersabda:

ليلةُ القدْرِ ليلةٌ سمِحَةٌ ، طَلِقَةٌ ، لا حارَّةٌ ولا بارِدَةٌ ، تُصبِحُ الشمسُ صبيحتَها ضَعيفةً حمْراءَ

“Lailatul qadar adalah malam yang penuh ketenangan dan kebaikan, tidak begitu panas dan tidak juga begitu dingin. Sebelah paginya matahari tidak begitu cerah dan nampak kemerah-merahan”.

(Riwayat Baihaqi)

Dato’ Ahmad Yakob

Minda Pemimpin