Anugerah Bagi Orang Beriman

Anugerah Bagi Orang Beriman

Juz ke 22 dimulakan dengan tadabur ayat 31 sehingga akhir surah Al-Ahzab seterusnya surah Saba’ dan Al-Fathir kemudian berakhir dengan surah Yaasin sehingga ayat 27.

Awal juz ini, Allah menyatakan tentang peranan golongan muslimat dalam mempertahankan perjuangan Islam.

Muslimat adalah penguat semangat kepada golongan lelaki dalam mengemudi rumah tangga, masyarakat, negeri dan negara.

Allah turut menegaskan bahawa dalam meneruskan kehidupan dunia sementara ini, setiap orang yang beriman wajib akur dan tunduk semua arahan Allah tanpa sebarang alasan dan mencari alternatif lain.

Turut ditekankan asas dalam pemilihan pemimpin agar hanya pemimpin yang beriman sahaja diangkat mengetuai masyarakat bagi mengelakkan huru-hara dan penindasan dalam sesebuah pentadbiran negara.

Seterusnya Allah telah memberitakan tentang negeri Saba’ yang diberi anugerah dengan kepelbagaian nikmat dengan memiliki syurga buah-buahan, namun setelah mereka ingkar perintah Allah, negeri tadi telah musnah akibat banjir besar.

Kebanyakan ayat dalam surah Saba’ ini mengajak manusia agar gerun kepada siksaan Allah dan jangan ada sikap membelakangi seruan Allah ketika mana berada di dunia.

Sementara dalam surah Fathir turut diberi peringatan agar manusia jangan tertipu dengan hasutan syaitan.

Allah telah menyediakan segala kelengkapan di dunia dengan binatang ternak, kayu-kayan, bukit-bukau demi untuk memberi kenikmatan hidup kepada manusia, baki lagi mereka perlu menyerahkan diri mereka sepenuhnya untuk menjadi pengikut para Anbiya’ yang membawa suruhan Allah melalui wahyu yang diturunkan.

Di awal surah Yaasin, dikisahkan sebuah memoir perjuangan Rasulullah yang sangat tragis ketika berhadapan dengan kuffar yang ingin membunuhnya.

Ternyata dengan kepungan oleh para pemuda yang perkasa sangat sukar untuk Rasulullah melepasi kepungan tersebut.

Namun, Allah dengan kasih-sayang-Nya telah menyelamatkan Baginda SAW melalui nusrah-Nya yang tidak diduga oleh musuh.

Akhir juz ini, Allah membawakan kisah tiga orang utusan yang berdakwah ke sebuah negeri Antakiyyah sebagaimana pandangan sesetengah mufassirin akan tetapi mereka didustai dan diancam untuk dibunuh.

Keluarlah Habib AI-Najjar yang tinggal di pinggir bandar itu dan melarang penduduk berbuat jahat terhadap utusan tersebut lalu akhirnya beliau dipijak sehingga mati.

Begitulah cabaran menegakkan kebenaran yang perlu dihayati oleh seluruh pejuang Islam di zaman kini.

Binalah kesatuan hati di antara sanak-saudara dan rakan taulan.

Segala bentuk perdebatan sia-sia dan permusuhan hendaklah dijauhi kerana Allah akan mengangkat tanda-tanda Lailatul Qadar sehingga sukar dikenali.

Hal ini sebagaimana sabdaan Rasulullah S.A.W:

إنِّي خَرَجْتُ لِأُخْبِرَكُمْ بلَيْلَةِ القَدْرِ، وإنَّه تَلَاحَى فُلَانٌ وفُلَانٌ، فَرُفِعَتْ، وعَسَى أنْ يَكونَ خَيْرًا لَكُمْ، التَمِسُوهَا في السَّبْعِ والتِّسْعِ والخَمْسِ

“Sesungguhnya aku keluar untuk memberitahu kamu sekalian tentang petanda Lailatul Qadar dan kemudian berlaku pertikaman lidah di antara fulan dan fulan maka (tanda Lailatul Qadar) diangkat. Mudah-mudahan ianya kebaikan buat kamu, carilah ia pada malam 27, 29 dan 25”.

(Riwayat Bukhari)

Dato’ Ahmad Yakob

Minda Pemimpin