Tuntutan Bermesyuarat Dalam Islam

Tuntutan Bermesyuarat Dalam Islam

Tadabur pada juz ke 25 bermula pada ayat ke 47 surah Fusshilat, keseluruhan surah Al-Syura, Al-Zukhruf, Al-Dukhan dan Al-Jaatsiah.

Di permulaan juz, Allah mengingatkan manusia agar jangan menjadi golongan yang hanya kembali kepada Allah di kala menghadapi kesusahan kerana ia adalah petanda orang-orang yang mudah menuruti jalan sesat.

Seterusnya di awal Al- Syura, Allah membawakan kisah perjuangan Nabi Muhammad SAW yang membawa method perjuangan yang sama seperti para Anbiya’ sebelumnya dan mukjizat Al-Quran yang dikurniakan Allah adalah sebagai panduan peringatan kepada seluruh manusia.

Turut dinyatakan peranan mesyuarat dalam sesebuah organisasi masyarakat yang sejahtera.

Orang-orang yang beriman sentiasa akur kepada segala keputusan mesyuarat khususnya berkaitan dengan persoalan agama dan perjuangan menegakkan agama.

Oleh yang demikian, Allah mengingatkan agar sentiasa berada dalam kelompok yang mematuhi keputusan yang ditetapkan supaya tidak tergelincir daripada jalan yang sebenar.

Manusia tidak akan menemui pemimpin yang baik dan amanah sebaliknya akan seronok dan mencari pemimpin zalim serta khianat apabila tidak mendidik diri berada dalam kelompok yang taat dan berdisiplin.

Dalam surah Al-Zukhruf dinyatakan sikap manusia yang suka mengikut adat dan agama nenek moyang mereka walaupun ianya tidak betul.

Allah telah menghantar para Rasul untuk mengajak manusia hanya mengguna pakai agama benar daripada Allah dan bukannya agama ciptaan yang menyesatkan.

Allah telah menceritakan kisah penentangan Firaun yang berakhir dengan kehancuran setelah bertubi-tubi menyerang kebenaran agama di sisi Allah.

Kisah perjuangan Nabi Musa ini turut dirakamkan Kembali dalam surah Al-Dukhan bagi memperingatkan manusia bahawa tidak akan ada kuasa manusia walau sehebat mana sekalipun dapat menyaingi kuasa dan undang-undang Allah.

Seterusnya dalam surah Al-Jaatsiah dibawakan bukti-bukti kekuasaan Allah supaya manusia mengkaji dan meneliti kuasa Allah dan tunduk kepada-Nya.

Takutilah hukuman di akhirat yang tersangat ngeri, ketika itu semua manusia melutut gerun menanti hukuman daripada Allah setelah catatan amal mereka ditayangkan.

Tiada lagi kekuasaan manusia, kehebatan dan sikap takabur yang pernah menjadi darah daging manusia penentang kebenaran yang berakhir sebagai penghuni neraka.

Pastikan kita sudah mengeluarkan zakat fitrah sebelum berakhirnya bulan Ramadhan ini.

Zakat fitrah itu sendiri merupakan penyuci kepada kesalahan-kesalahan yang kita lakukan di bulan yang mulia ini.

Gembirakanlah hati golongan miskin dengan agihan yang sewajarnya agar mereka juga dapat berhari raya dengan gembira.

عَن ابْنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنهما قَالَ: “فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ، وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ، فَمَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلَاةِ فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ، وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلَاةِ فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنَ الصَّدَقَاتِ

“Daripada Ibnu Abbas R.Anhuma katanya; Rasulullah S.A.W telah mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang yang berpuasa dari perkara lagha, kekotoran dan untuk memberi makan kepada gerangan miskin. Barangsiapa yang menunaikannya sebelum solat (Aidil Fitri) maka itu adalah zakat fitrah yang di terima. Barangsiapa yang menunaikannya setelah solat, maka itu dianggap sedekah biasa”.

(Riwayat Abu Daud)

Dato’ Ahmad Yakob

Minda Pemimpin