PAS menggesa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggugurkan pembabitan syarikat yang menyumbang kepada pembuatan senjata Israel dalam acara rasmi Kementerian Pertahanan.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, acara besar peringkat antarabangsa yang dianjurkan Defense Service Asia (DSA) dengan kerjasama Kementerian Pertahanan itu amat mendukacitakan rakyat Malaysia.
Ini selepas, program yang berlangsung hari ini hingga Khamis di Pusat Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), dikhabarkan terpalit dengan entiti yang menjadi antara penyumbang utama terhadap jenayah perang di Palestin dan Semenanjung Gaza, katanya.
“Hasil dapatan oleh gerakan Gegar Amerika mendapati syarikat yang turut menyumbang kepada pembuatan senjata Zionis Israel seperti Lockheed Martin, MBDA (BAE Systems), Aim Point, Colt, L3Harris, Leupold, Shield Al dan Leonardo turut hadir sebagai pempamer dalam program ini.
“Apa yang lebih mengecewakan, syarikat seperti Lockheed Martin dan MBDA (BAE Systems) yang menjadi penyumbang platinum kepada acara ini adalah merupakan pembuat kepada jet tempur yang saban hari mengebom rakyat Gaza dan Palestin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Fadhli menegaskan, perkembangan itu tidak wajar dibiarkan, apatah lagi tatkala rakyat Malaysia masih kekal bersama perjuangan Palestin menerusi usaha boikot dan demontrasi, selain dunia turut bangkit menolak Zionis.
“Apakah wajar kerajaan Madani berdiam diri sahaja? Apakah patut Malaysia yang selama ini menjadi pendukung perjuangan Palestin membuka ruang entiti yang menumpahkan darah ratusan ribu umat Islam dalam negara kita?
“Sepatutnya sebarang perkaitan antara Malaysia dengan entiti Zionis Israel ini diputuskan secara jelas,” katanya.
Justeru, beliau menuntut kerajaan dan Anwar yang terkenal tegas menolak agenda pembantaian Zionis supaya memastikan syarikat-syarikat terbabit digugurkan daripada acara berkaitan Kementerian Pertahanan.
“Perkara ini amat penting sekali kerana menerusi acara ini beberapa MoU turut dijangka akan ditandatangani melibatkan jumlah yang besar.
“Oleh sebab itu, inilah masanya untuk kita benar-benar menzahirkan ketegasan pendirian Malaysia. Ayuh kita hantar mereka pulang ke negara asal mereka!,” katanya.