Notis Kosongkan Kerusi 7 Wakil Rakyat Bersatu Dihantar Serentak Minggu Depan

Notis Kosongkan Kerusi 7 Wakil Rakyat Bersatu Dihantar Serentak Minggu Depan

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, surat berkaitan status keahlian enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu akan dihantar serentak minggu hadapan.

Tindakan itu susulan pengisytiharan wakil-wakil rakyat berkenaan yang mahu menyokong pentadbiran Perdana Menteri dan Menteri Besar Selangor.

Hamzah berkata, surat akan dihantar sejurus Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu selesai.

Selain itu, katanya, semua wakil rakyat terbabit perlu mengosongkan kerusi masing-masing bagi memberi laluan kepada PRK untuk diadakan selepas keahlian mereka dalam Bersatu terhenti kelak.

“Mereka terhenti menjadi ahli, maka dalam akta (lompat parti) sudah diluluskan.

“Maknanya kawasan mereka juga terpaksa mereka lepaskan kerusi,” katanya seperti dilapor BH.

Enam Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Seorang lagi yang terbabit adalah ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Terdahulu, Abdul Rashid menyatakan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

PPBM