Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor terkilan dengan musuh politiknya yang cuba membuat rumusan mengenai ucapannya baru-baru ini di hadapan Anwar Ibrahim, di mana beliau memohon maaf kepada perdana menteri sekiranya ada kata-kata yang mengguris hati sebelum ini.
Pemimpin PAS itu menjelaskan permohonan maaf itu bukan bermaksud beliau sudah mengubah pendirian politiknya.
“Kalau depa (mereka) kata saya akur dan setuju dengan hala tuju PMX (Anwar) macam depa, kenapa saya tak keluar PAS ikut depa tu semua?” tanya ahli politik popular itu yang sebelum ini menjadi sasaran utama Anwar dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) lain.
“Kenapa asal minta maaf saja perbezaan akan hilang begitu saja?”
Sanusi membuat permohonan maaf itu pada Sabtu lalu ketika berucap pada majlis Aidilfitri anjuran kerajaan pusat di Jitra, Kedah, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan menteri lain.
“Sebagai insan yang lemah, keterlanjuran dan kesilapan pastinya ada dalam diri kita masing-masing.
“Semoga pertemuan dalam bulan Syawal yang mulia ini akan menjadi asbab untuk kita mulakan lembaran baharu serta sama-sama melangkah dengan hati yang bersih, ikhlas dan bertanggungjawab,” katanya.
Ucapan itu mendapat pelbagai reaksi, termasuk dari Amanah, parti serpihan PAS pimpinan Mohamad Sabu.
“Selepas tiga tahun (jadi menteri besar) mungkin dia dah sedar sebagai kerajaan negeri mereka tetap perlu bergantung harap pelbagai peruntukan daripada kerajaan persekutuan,” kata Pengerusi Amanah Kedah, Asmirul Anuar Aris, dipetik portal pro-Pakatan Harapan Malaysiakini.
“Permohonan maaf terbuka oleh Sanusi itu rata-rata dipercayai kerana pertuturan dan kelakuan ketika di pentas politik yang amat keterlaluan dan tidak profesional dulu tidak menguntungkan mereka,” katanya.
Sementara Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil mendakwa Sanusi kini mengiktiraf kepimpinan Anwar.
“Sama ada permohonan maaf itu kekal atau tidak, ia menunjukkan agenda dan hala tuju kerajaan pimpinan Anwar atas landasan yang betul,” katanya.
Sanusi berkata beliau tidak semestinya perlu bersetuju dengan Anwar dalam membuat permohonan maaf.
Menurutnya, dalam negara demokrasi, mana-mana individu bebas memberikan pandangan berbeza, bersaing, mengkritik atau berbalas hujah dalam memperjuangkan wadah politik masing-masing.
Dalam keadaan sedemikian, Sanusi berkata banyak pihak tanpa sedar menyakitkan atau melukakan hati pihak lain meskipun berada dalam medan politik yang sama.
“Jadi minta maaf adalah langkah terbaik untuk menjernihkan hubungan kerajaan negeri dan persekutuan.”
Sanusi yang juga pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) berkata ada pihak yang keliru dengan jawatan politiknya dan jawatannya dalam kerajaan negeri, menyebabkan ucapannya tidak difahami atas kapasiti dan konteks yang sesuai.
“Semua benda diletak atas kapasiti saya sebagai MB, sedangkan saya berucap atas kapasiti ketua pengarah pilihan raya. Dalam kapasiti MB, saya sentiasa menjaga etika dan tatasusila sebagai MB dan ketua kerajaan. Sesuatu yang saya perjuangkan dalam kapasiti MB walau dengan apa nada sekalipun adalah untuk kepentingan negeri dan rakyat Kedah,” katanya.
Diminta mengulas tafsiran pemimpin Amanah mengenai ucapannya, ini respons Sanusi:
“Agak-agaklah nak spin pun kan?
“Dalam medan politik kita tetap berbeza dan akan kekal berbeza. Saya PAS dalam PN dan PMX (Anwar) dalam PKR-PH.”