Berjasa menyeru pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu supaya mengangkat calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut sebagai wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) esok.
Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim berkata, rakyat dan negara menginginkan satu barisan kepimpinan yang berwibawa, mampu melaksanakan kerja serta kurang bercakap.
Katanya, kerajaan ketika ini tidak berjaya memenuhi kemahuan itu, malah rakyat kian terkesan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Justeru, kemenangan calon PN akan memberi isyarat kepada kerajaan campuran bahawa keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin terhakis dan merudum.
“Oleh demikian, diharapkan semua pengundi Kuala Kubu Baharu terutama orang Melayu untuk keluar membuang undi, ini adalah kerana PN telah mencalonkan seorang calon yang mengikut kehendak para pengundi di KKB,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Selaras dengan sokongan Berjasa kepada calon PN, Zamani memaklumkan jentera partinya turut serta membantu kempen PRK Kuala Kubu Baharu.
“Saya merasakan tiada sebab untuk para pengundi di Kuala Kubu Baharu tidak keluar beramai-ramai esok sehingga mencapai lebih 96 peratus,” katanya.
Seramai 39,362 pengundi akan menunaikan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat baharu bagi DUN Kuala Kubu Baharu, esok.
Selasa lepas, 97 peratus atau 769 anggota polis, tentera dan pasangan masing-masing telah menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal.
PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandang kerusi DUN terbabit, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Ia bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru, yang juga membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).