Salur Dana Iran: Adakah Dakwaan AS Benar Atau Sekadar Suatu Propaganda?

Salur Dana Iran: Adakah Dakwaan AS Benar Atau Sekadar Suatu Propaganda?

Dakwaan Jabatan Perbendaharaan AS bahawa syarikat pembekal perkhidmatan yang berpangkalan di Malaysia digunakan untuk mengeksport minyak Iran perlu diselidiki dengan teliti.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Penyelidikan Disiplin dan Strategi Antarabangsa (IRIS Institute), Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim menegaskan, persoalan ini penting untuk diambil kira kerana dikhuatiri ianya hanya satu dakwaan tidak berasas atau sekadar suatu propaganda.

Persoalan ini, katanya, perlu dijelaskan kepada rakyat supaya pendirian yang ingin ditentukan oleh kerajaan Malaysia juga adalah berasaskan maklumat yang objektif, dan bukan atas tuduhan liar atau propaganda daripada pihak lain.

“Sebagai sebuah negara berdaulat dan ‘non-aligned’ (berkecuali), Malaysia tidak ada sebarang komitmen untuk memenuhi permintaan negara lain apatah lagi ianya tidak mendatangkan keuntungan kepada kepentingan nasional dan nilai yang dipegang oleh Malaysia.

“Malaysia sepatutnya jelas dalam sokongan kepada mana-mana pihak yang memperjuangkan keadilan dan pembebasan Palestin.

“Dalam konteks ini, Malaysia memang sepatutnya bertegas dan berdaulat dalam menentukan ‘internal affairs’nya mengikut pendirian dan dasar nasional dalam isu Palestin,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail seharusnya memberikan penjelasan yang telus kepada rakyat berkenaan isu itu.

“… misalnya (menjelaskan) dalam Dewan Rakyat mengenai kunjungan dan perbincangan dengan wakil AS kerana ia adalah sesuatu yang mengancam kedaulatan Malaysia sebagai sebuah negara pro-Palestin dan negara berkecuali,” katanya lagi.

Lebih penting lagi, katanya, menteri sebaliknya harus mendesak AS untuk menghentikan sokongan dan bantuan ketenteraan kepada rejim Israel.

Ini kerana, keganasan di Gaza yang disebabkan oleh rejim Zionis masih berterusan dan ‘dibenarkan’ ekoran ‘talian hayat’ daripada AS.

“Desakan Malaysia ini harus dilihat sebagai desakan yang ingin mengekang ‘terrorism’ dengan makna yang sebenar, dan selari dengan keputusan-keputusan di peringkat institusi antarabangsa,” katanya.

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

Ekonomi