Situasi di Palestin ketika ini masih berada dalam keadaan ngeri dan menyedihkan.
Sehingga kini, lebih 34,000 orang rakyat Palestin di Semenanjung Gaza telah terkorban dengan hampir 80,000 lagi cedera akibat serangan bacul tidak berperikemanusiaan regim Zionis Israel.
Lebih 70 peratus bumi Gaza ketika ini ranap akibat di bom tentera regim Zionis Israel.
Dipercayai ribuan lagi masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan dan ini tidak termasuk ribuan yang ditangkap dan disumbat ke dalam penjara.
Tahanan rakyat Palestin yang dibebaskan mendedahkan kepada media utama dunia bagaimana mereka diseksa dengan ganas dan tidak berperikemanusiaan hampir setiap hari.
Lebih mengejutkan dunia baru-baru ini apabila dijumpai “kubur besar” yang mengandungi lebih 300 mayat rakyat Palestin di Hospital Al-Nassar, Khan Younis selepas pengunduran tentera regim Zionis Israel daripada hospital tersebut setelah menawan dan menjadikannya sebagai pusat operasi tentera dan “penjara sementara” rakyat Palestin.
Ada di antara mayat tersebut yang masih bergari, penuh dengan kesan tembakan, kesan siksaan, tanpa “seurat benang” dan malah dipercayai ada yang ditanam hidup-hidup.
Selepas itu dijumpai pula sejumlah besar mayat rakyat Palestin di perkarangan Hospital Al-Shifa di bandar Gaza dan dipercayai terdapat lagi kubur besar atau “mass grave” di sekitar Semenanjung Gaza.
Perilaku ganas dan tidak berperikemanusiaan regim Zionis Israel ini meningkatkan kebangkitan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin dan sikap anti Zionis di negara-negara Barat khususnya golongan muda di saat propaganda dan sokongan ke atas regim Zionis Israel dan sekutu Baratnya berada pada paling buruk abad ini.
Polisi “double standard” negara-negara Barat ke atas Palestin, sokongan tidak berbelah bahagi ke atas regim Zionis Israel, bantuan kewangan dan ketenteraan tanpa had ke atas regim Zionis Israel dan terbongkarnya penipuan yang mendedahkan manipulasi propanda regim Zionis Israel dan Barat ke atas naratif rakyat Palestin adalah “pengganas”telah menyemarakkan lagi kebangkitan anak muda di Barat.
Protes dan demonstrasi yang bermula di beberapa universiti di Amerika Syarikat kini telah merebak ke seluruh negara “Uncle Sam” tersebut.
Tidak hanya terhenti di situ, gelombang kebangkitan anak muda merebak ke universiti di seluruh dunia dengan demonstrasi anti Zionis dan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Kebangkitan ini mencetuskan kebimbangan pemimpin-pemimpin utama negara Barat khususnya Amerika Syarikat yang bakal berdepan dengan pilihanraya Presiden yang akan berlangsung pada November tahun ini.
Perang proksi Barat yang sedang berlangsung di Ukraine dengan Rusia lebih dua tahun kini tidak memihak kepada mereka dan telah menyebabkan kehilangan sokongan besar ke atas pemimpin negara Barat baik di dunia mahupun di negara mereka sendiri.
Ini telah mencetuskan kebimbangan yang amat tinggi ke atas pemimpin Barat khususnya Amerika Syarikat tambahan lagi setelah Perdana Menteri negara haram Israel Benjamin Netanyahu mengumumkan bahawa tentera regim Zionis Israel akan menyerang Rafah yang berkemungkinan menyebabkan Barat bakal kehilangan sokongan sekutu kuatnya dari kalangan negara-negara Arab.
Oleh disebabkan itu Barat dalam diam melakukan “u-turn” mengejut dengan mendesak negara haram Israel untuk menerima cadangan gencatan senjata walaupun Amerika Syarikat beberapa kali menggunakan undi veto menolak cadangan gencatan senjata yang diusulkan di mesyuarat Majlis Keselamatan PBB.
Pemimpin negara Eropah juga dalam diam turut mendesak dan menekan regim Zionis Israel agar menerima cadangan gencatan senjata tersebut.
Maka pada Sabtu lalu berlangsunglah rundingan gencatan senjata yang dimediasi oleh Mesir dan Qatar yang dihadiri oleh wakil Hamas, sehari selepas dilaporkan hadirnya Pengarah CIA Willam Burns di Mesir.
Dilaporkan juga bahawa Mesir dan Qatar menekan Hamas agar menerima cadangan gencatan senjata tersebut walaupun Hamas sejak awal-awal lagi menyatakan bahawa mereka akan menerima cadangan gencatan senjata sekiranya syarat utama mereka iaitu menamatkan perang, pengunduran sepenuhnya tentera regim Zionis Israel dan gencatan senjata kekal dimenterai di Gaza.
Sebagaimana yang dijangka, regim Zionis Israel menolak syarat Hamas.
Benjamin Netanyahu beberapa hari sebelum berlangsungnya rundingan gencatan senjata telah menyatakan bahawa beliau tidak akan menamatkan perang dan akan meneruskan rancangannya untuk menyerang Rafah dalam usaha untuk menghapuskan Hamas serta kebangkitan perjuangan rakyat Palestin.
Benjamin Netanyahu sedar dengan penolakan cadangan gencatan senjata tersebut akan membawa malapetaka besar kepada beliau dan kerajaannya.
Beliau kini berhadapan dengan kebangkitan besar-besaran majoriti pendatang haram Yahudi yang hampir setiap hari mengadakan demonstrasi besar-besaran mendesak beliau menerima cadangan gencatan senjata atau beliau dan kerajaannya meletakkan jawatan.
Namun apa yang paling menakutkan Benjamin Netanyahu adalah kehilangan sokongan daripada parti ekstrimis Zionis Israel yang dipimpin oleh Itamar Ben-Gvir, Menteri Keselamatan Nasional dan Bezalel Smotrich, Menteri Kewangan negara haram Israel.
Dua pemimpin utama regim Zionis Israel inilah yang menjadi dalang utama segala kerakusan, pencerobohan, keganasan dan pembunuhan yang berlaku di Palestin khususnya di Semenanjung Gaza ketika ini.
Kehilangan sokongan daripada dua pemimpin ini dan parti politik ekstrimis Zionis Israel bakal menyebabkan Benjamin Netanyahu dan kerajaan pimpinannnya jatuh tersungkur.
Kehilangan jawatan Perdana Menteri buat Benjamin Netanyahu akan membawa malapetaka buat beliau kerana beliau berhadapan dengan kes rasuah yang dilaporkan bakal menamatkan karier politik dan kehidupannya.
Pemimpin-pemimpin Barat juga sebenarnya tidak menyukai Benjamin Netanyhu kerana sikap ekstrimisnya apatah lagi keakraban dan sokongan tidak berbelah bahaginya terhadap bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Maka tidak hairanlah apabila Benjamin Netanyahu dan pemimpin-pemimpin ekstrimis Zionis Israel menuduh Barat adalah kuasa di sebalik demonstrasi besar-besaran yang sedang berlaku di negara haram Israel untuk menumbangkan beliau dan kerajaannya.
Apa yang pasti kini regim Israel berada di ambang pengakhirannya.
Jika berakhirnya penjajahan regim Zionis Israel bermakna akan bebas dan merdekalah bumi Palestin dan Masjid Al-Aqsa.
Bukan sekadar itu sahaja, pengakhirannya juga bermakna akan terhapuslah satu-satunya “ibu pejabat” Barat sejak 75 tahun lalu yang mendominasi geopolitik, tamadun dan idealisme yang selama ini mencengkam bumi Asia Barat.
Sama-sama kita doakan agar Palestin dan rakyatnya bakal menikmati kebebasan dan kemerdekaan tidak lama lagi serta doakan agar mereka selamat dan dilindungi Allah SWT daripada keganasan regim Zionis Israel dan sekutunya.
Semoga doa kita semua diangkat dan dimakbulkan Allah SWT Insya-Allah.
Selamatkan Masjil Al-Aqsa, Merdekakan Bumi Palestin.
Adil, Prihatin dan Berkebajikan.
YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.