Satu usaha menekan NGO Palestin terbukti telah dilakukan Amerika Syarikat bagi mengekang pendanaan Hamas.
Setakat ini, sejak 7 Oktober 2023, hanya satu NGO Palestin di Malaysia yang mengalami tekanan seperti disiasat, dibekukan akaun dan aset serta didakwa di mahkamah oleh SPRM.
Berdasarkan laporan Malaysiakini pada Jumaat, organisasi yang dimaksudkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkemungkinan merujuk kepada Aman Palestin.
Usaha-usaha AS mengekang pendanaan Hamas itu juga sudah dilakukan sejak Oktober 2023 seperti menganjurkan persidangan Anti Pengubahan Wang Haram (AMLA) Tahunan ke-15 Deloitte, mengeluarkan amaran atau “red flag” kepada institusi-institusi kewangan AS dan bukan AS menerusi Financial Crime Enforcement Network (FinCEN) dan mengadakan pertemuan Financial Action Task Force (FATF) di Paris yang mana ahli-ahlinya termasuk dari Malaysia.
The Star, dalam laporannya berhubung pertemuan di antara Saifuddin dengan Setiausaha Jabatan Perbendaharaan AS untuk keganasan dan risikan kewangan, Brian Nelson, pula menyebut organisasi bukan berdasarkan keuntungan di Malaysia.
Brian secara spesifik, menyatakan identiti NGO Palestin itu yang menyalur dana kepada Hamas.
Saifuddin pula kemudian tanpa menyebut nama organisasi itu mengesahkan NGO terbabit sudah disiasat, dibeku aset dan didakwa di mahkamah.
Portal Fokus pada 7 Mei, turut menyiarkan Amerika Syarikat dilihat terdesak untuk menyekat sumber pembiayaan Hamas melalui kerjasama yang menyeluruh dengan negara-negara dan agensi perisikan kewangan berdasarkan pola pergerakan AS terkini.