Kedah Dipaksa Jadi Miskin?

Kedah Dipaksa Jadi Miskin?

Dato Mael Saleh pertikai kenyataan Sanusi yang kata “Kedah dipaksa untuk miskin” – yang mahu kerajaan pusat membayar ‘pampasan’ atas pengorbanan Kedah menjaga tanah sawah demi kelangsungan keterjaminan makanan negara – sebanyak RM200 juta setahun.

Dato Mael kata, Sanusi tak ada idea jana duit untuk kemajuan negeri.

Katanya Kedah ada tanah yang luas, manakala sawah padi di Kedah hanya 10% sahaja.

Ada lagi 90% tanah yang boleh digunakan untuk fungsi komersil seperti pusat-pusat industri dan perniagaan untuk membangun ekonomi negeri.

Kita tak tahu bagaimana doktor ini mengira peratusan tanah sawah di Kedah.

Kawasan jelapang padi di bawah MADA sahaja pun sudah luas.

Belum campur sawah-sawah padi di luar MADA.

Kita boleh anggar secara kasar jumlah sawah padi dalam negeri Kedah adalah satu pertiga keluasan negeri.

Tanah-tanah pamah yang luas terbentang di Kedah yang sangat strategik untuk Kedah bangunkan industri-industri besar, ada highway melintasi dataran sawah, ada pelabuhan di Yan, ada pelbagai kemudahan akses di kawasan dataran padi tersebut sememangnya tersangat strategik untuk dibina kawasan perindustrian yang lebih luas daripada Kulim dan Pulau Pinang – tetapi Kedah akur dengan arahan supaya kawasan ini kekal sebagai kawasan tanaman padi.

Bayangkan cukai industri Kulim tambah cukai industri Pulau Pinang boleh dikutip oleh Kedah jika kawasan itu menjadi taman industri besar?

Tetapi Kedah terpaksa berkorban mengekalkan tanah yang bercukai rendah demi kelangsungan keterjaminan makananan negara.

Itu baru kurang lebih 30% tanah Kedah dikorbankan untuk sawah padi.

Belum termasuk tanah Kedah yang tidak dibenarkan untuk diusik dan diteroka berupa hutan simpanan dan kawasan tadahan air – untuk keselesaan rakyat negeri Kedah, Pulai Pinang dan utara Perak.

Yang ini pun kena minta juga pampasan sebagai Kedah berkorban tidak tebang balak dan bina kilang-kilang industri di kawasan tadahan ini.

Kawasan tadahan ini juga boleh dianggar satu pertiga juga tanah Kedah yang kerajaan negeri tidak dibenarkan sentuh.

Habis, tinggal berapa banyak lagi tanah Kedah untuk dibangunkan pusat komersial?

Hanya kawasan-kawasan ladang sawit sahaja hari ini yang boleh ditebus guna oleh kerajaan negeri.

Maka Kedah akan terus terpaksa menerima hasil cukai tanah pertanian yang murah sebagai sumber pendapatan negeri.

Padahal jika Kedah belasah guna tanah sawah – boleh jana pendapatan bilion-bilion setahun daripada industri.

Namun Kedah hanya minta pampasan RM200 juta sahaja setahun pun pusat banyak songeh. Kedekut.

Antara tuntutan Kedah yang relevan untuk Kedah tuntut adalah pampasan tanah sawah padi (RM200 juta setahun), pampasan penjagaan tadahan air Ulu Muda (RM100 juta setahun), pampasan air Sungai Muda yang Pulau Pinang belasah percuma (RM100 juta setahun) dan bayaran pajakan Pulau Pinang (RM100 juta setahun).

Setahun, Kedah boleh dapat RM500 juta hasil daripada pampasan-pampasan ini.

Itu pun ia adalah jumlah yang kecil jika dibandingkan Kedah bangunkan taman-taman industri di kawasan dataran sawah dan kawasan hutan tadahan ulu muda – yang boleh jana bilion-bilion hasil cukai.

Inilah maksudnya dipaksa menjadi miskin.

Oleh: Dr Tanaka Mustafa

p/s: Kerajaan pusat bagi RM5 bilion untuk Kedah dalam pertemuan PMX-MB Kedah baru-baru ini? Rupanya kosong jugak, ulang umum benda yang dah diumum dulu-dulu.

Kedah