Serangan BP Ulu Tiram: Tahap Kesiapsiagaan Pasukan Keselamatan Dipersoal

Serangan BP Ulu Tiram: Tahap Kesiapsiagaan Pasukan Keselamatan Dipersoal

PAS memandang serius kejadian serangan yang mengorbankan tiga orang, termasuk dua anggota polis di Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal subuh tadi.

“Sekali gus mempersoal tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan kita sehingga membolehkan perkara malang ini berlaku,” kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, turut membimbangkan ialah insiden berkenaan disyaki melibatkan kumpulan militan Jemaah Islamiyah (JI) berikutan penahanan lebih 20 orang, termasuk pelajar universiti tempatan bagi membantu siasatan seperti yang disahkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain di tempat kejadian hari ini.

Selain itu, ujarnya tahap kesiapsagaan yang lemah di pintu masuk balai polis sehingga suspek boleh meloloskan diri dengan mudah tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan tindakan segera ke arah penambaikannya.

Katanya, sebagai agensi yang bertanggungjawab langsung ke atas keselamatan dan kesejahteraan negara, kelemahan atau kealpaan yang sedikit boleh diambil kesempatan oleh pihak-pihak yang berniat atau beragenda serong dan mesti dihindari sama sekali kerana kesannya sangat besar.

“Dalam hal ini, PAS percaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu tampil dengan penjelasan yang jujur mengenai kejadian, selain memberi komitmen tegas bahawa ia tidak akan berulang lagi,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Tambahnya, KDN juga perlu memastikan pasukan keselamatan, khasnya PDRM diberi semua sokongan dan ruang untuk menjalankan tugas hakiki mereka dengan berkesan tanpa apa-apa gangguan atau halangan.

“PAS merasa amat sedih dan mengucapkan takziah kepada keluarga anggota polis yang terkorban, selain mendoakan anggota yang cedera dalam kejadian pulih segera,” ujarnya lagi.

Johor