Anwar Digesa Batal Penyertaan Malaysia Dalam Latihan Ketenteraan Melibatkan Israel

Anwar Digesa Batal Penyertaan Malaysia Dalam Latihan Ketenteraan Melibatkan Israel

Putrajaya telah diminta membatalkan penyertaan Malaysia dalam sebuah latihan ketenteraan dipimpin Amerika Syarikat, yang juga menyaksikan penglibatan tentera Israel, menjadikannya gesaan terbaru ke atas Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membuktikan solidariti kerajaan terhadap perjuangan Palestin.

Dalam satu kenyataan bersama diketuai cawangan tempatan gerakan global anti-Israel BDS Malaysia, 15 kumpulan menuntut Malaysia segera menarik diri daripada Latihan Lingkaran Pasifik (Rimpac) yang akan berlangsung mulai 26 Jun hingga 2 Ogos.

“Kami menyeru kerajaan Malaysia untuk menarik diri serta merta daripada latihan ketenteraan Rimpac 2024 sebagai membantah penyertaan tentera Israel dalam latihan itu.

“Israel adalah negara penyangak. Tindakannya terhadap rakyat Palestin selama lebih 70 tahun dan pembunuhan beramai-ramai ketika ini di Gaza jelas menunjukkan ia tidak peduli undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia,” kata kenyataan itu yang ditandatangani pelbagai NGO Islam tempatan, termasuk beberapa pertubuhan dilihat sebagai sekutu Anwar.

Dianggap sebagai latihan antarabangsa yang terbesar di dunia, Rimpac tahun ini akan menyaksikan penyertaan lebih 30 negara, melibatkan 40 kapal, empat kapal selam, dan 170 pesawat.

Semalam, Tentera Laut Diraja Malaysia merasmikan pelepasan kapal KD Lekiu menuju latihan itu.

Gesaan agar Malaysia menarik balik penyertaannya berlaku di tengah-tengah kontroversi kemasukan sebuah syarikat milik BlackRock ke dalam konsortium untuk menguruskan lapangan terbang di seluruh negara.

Di bawah rancangan yang diumumkan bulan ini, Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki BlackRock, akan memiliki 30% kepentingan dalam konsortium itu, langkah yang mencetuskan protes disebabkan hubungan rapat BlackRock dengan ekonomi dan industri pertahanan Israel.

Bagaimanapun, Anwar menolak bantahan itu, sebaliknya menuduh pihak pembangkang “menghasut” terhadap kerajaan.

Anwar sebelum itu turut menolak bantahan terhadap keputusan kerajaan membenarkan syarikat pertahanan AS yang dituduh bersubahat dalam jenayah perang Israel untuk menyertai pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara Asia (Natsec) di Kuala Lumpur.

Antara peserta pameran ialah Lockheed Martin, kontraktor pertahanan di mana BlackRock memegang 7.4% kepentingan.

Kumpulan yang menandatangani kenyataan bersama hari ini turut menyenaraikan statistik korban awam Palestin sejak Israel memulakan pengeboman besar-besaran ke atas Gaza, yang setakat ini membunuh sekurang-kurangnya 36,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Rejim Zionis bagaimanapun terus mengabaikan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Pada Selasa, tentera Israel menyerang bandar Rafah, sempadan utama yang menjadi nadi penting untuk penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza, hanya dua hari selepas ICJ mengarahkan Israel menghentikan serangannya.

“Dunia harus berhenti melayan (Israel) seperti negara biasa yang mematuhi undang-undang jika mahu jenayah Israel di Gaza dan Tebing Barat dihentikan,” kata kenyataan itu.

“Kami mengulangi gesaan kami kepada kerajaan Malaysia untuk segera menarik diri daripada latihan ketenteraan Rimpac sekaligus menghantar mesej tersebut.”

Isu Semasa