Tamadun Islam: Sejarah Lalu Dan Kebangkitan Kini

Tamadun Islam: Sejarah Lalu Dan Kebangkitan Kini

Tamadun Islam juga mengalami pasang surut kerana ianya adalah sunnatullah ke atas semua umat manusia sama ada individu mahupun kumpulan di mana sentiasa ada jatuh dan bangun.

Pengerusi Yayasan Permata Ummah, Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kehebatan umat Islam hanya apabila mereka bergantung kuat kepada tiga asas Islam iaitu akidah, syariat dan akhlak.

Jelasnya, kerana pegangan itulah hingga umat Islam berjaya membuka dua pertiga daripada dunia hingga pernah sampai ke Barat di Perancis, Selatan di Afrika, Utara di Rusia dan Timur di kepulauan-kepulauan Melayu.

Beliau berucap pada Syarahan Perdana mengupas tajuk ‘Survival Umat Islam’ sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), di sini kelmarin.

“Jadi survival umat Islam bergantung kepada pegangan Islam dalam konteks akidah syariat dan akhlak. Jadi umat Islam dan tamadun Islam secara fitrah berlaku pasang surut, jatuh bangun,” ujar beliau.

Menurut beliau, terdapat sekurang-kurangnya ada empat peristiwa penting dalam sejarah umat Islam dalam membicarakan mengenai survival umat Islam ini iaitu pertama ialah jatuhnya Al Quds pada tahun 1099 Masihi.

Namun katanya, lebih kurang 100 tahun selepas daripada itu dibebaskan oleh Al-Sultan Salahuddin Al-Ayyubi, diikuti peristiwa kedua iaitu jatuhnya Baghdad ke tangan Tatar pada tahun 1258 Masihi.

Kemudian Islam terangnya, bangkit semula apabila berlakunya perang di mana tentera Tatar berjaya dikalahkan oleh Sultan Qutuz, manakala peristiwa ketiga ialah jatuhnya al-Andalus pada tahun 1492 Masihi.

“Setelah hampir 700 tahun lebih tamadun Islam bertapak di Sepanyol, jatuh Andalus. Beberapa tahun selepas daripada itu jatuhnya Melaka yang mempunyai kaitan rapat sebenarnya.

“Kemudian yang terakhir ialah jatuhnya Kerajaan Islam Uthmaniyah pada tahun 1924 secara rasminya. Namun, kalau kita lihat kepada sejarah ia bermula sejak daripada tahun 1916 Masihi, kalau tak silap saya bermula daripada Revolusi Arab Agong.

“Apabila penjajah British berjaya menipu dan memperdayakan pemimpin-pemimpin Arab pada ketika itu seperti Syarif Husein dan lain-lain lagi,” jelasnya mengenai peranan penting kerajaan dalam menjaga asas Islam.

Menurut beliau, hari ini umat Islam masih lagi berada di zaman kegelapan dan kelemahan, namun walaupun tidak mempunyai kerajaan untuk menjaga asas Islam, tetapi Islam tidak berjaya dihapuskan kerana ia adalah cahaya daripada Allah.

Sebaliknya kata Ustaz Khalil, perkembangan masa kini menunjukkan Islam semakin diterima termasuk di penjara-penjara di Amerika Syarikat di mana banduan berkenaan apabila keluar menjadi orang yang baik dan berkhidmat kepada masyarakat.

Juga Islam ujarnya, tersebar sangat cepat dan diterima di Eropah hinggakan jumlah ramai yang memeluk Islam menyebabkan gereja-gereja dibeli dan ditukarkan menjadi masjid termasuk juga di United Kingdom, Perancis dan Jerman.

Tamadun berasas fitrah manusia

Terdahulu beliau mengupas betapa Tamadun Islam sesuai dengan fitrah kejadian manusia dan berbeza dengan tamadun-tamadun lain sama ada zaman sebelum Islam ataupun pada zaman yang dilihat pada hari ini.

Menurut beliau, Islam menjadi agama paling cepat tersebar kerana berdiri dengan tonggak akidah, syariat dan akhlak yang membina diri manusia itu sendiri, tidak sebagaimana tamadun-tamadun lain.

“Contoh fitrah kejadian manusia suka kepada hiburan. Islam tidak mengharamkan hiburan, tetapi Islam memimpin manusia, apakah hiburan yang sesuai,” ujar beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Terengganu.

Fitrah kejadian manusia juga kata beliau, mahukan kepada harta benda, maka Islam tidak mengharamkan atau melarang manusia untuk mencarinya, tetapi ada kewajipan mesti ditunaikan iaitu zakat, infak dan lain-lain.

Sedangkan tamadun Barat ujarnya, tertegak di atas perkara fizikal ataupun lahiriah semata-mata menyebabkan jiwa masyarakatnya kosong, walaupun dilihat maju mencipta pelbagai alat dan teknologi canggih.

Kerana itu menurutnya, banyak berlaku kes-kes bunuh diri di negara Barat termasuk di sebelah Timur iaitu negara seperti Korea dan Jepun yang merekodkan kes paling tinggi disebabkan tekanan jiwa terutama golongan anak muda.

Berbeza Islam jelas Ustaz Khalil, cepat tersebar termasuk dalam kalangan bukan-Islam tanpa terjadi paksaan untuk menganut agama ini, sebaliknya menerima Islam sebagai sistem politik, ekonomi, perundangan dan lain-lain lagi.

Jelas beliau, Nabi Muhammad SAW dan setiap Sahabat RA yang menjadi utusan Baginda membawa seruan ‘Aslim Taslam’ iaitu ‘Islamlah, kamu selamat’ hingga membuka hati manusia dan membuka negara.

“Maksud ‘Aslim Taslam’ di sini ialah menerima sistem Islam. Islam tak paksa masyarakat bukan-Islam untuk memeluk agama Islam. Kalau mereka boleh menerima sistem politik Islam, sistem ekonomi Islam, sistem perundangan Islam.

“Mereka nak kekal agama mereka tak ada masalah. Dan inilah cara Islam masuk ke seluruh negara-negara yang dibuka oleh umat Islam di sepanjang sejarah yang disebut sebagai Futuhatul Islamiyah (atau) pembukaan-pembukaan Islam.

“Tidak disebut dengan empayar Islam. Itu satu istilah yang salah,” jelas Ustaz Khalil yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dalam pembentangannya itu.

Ilmu Politik Islam