Enggan Terpalit Jenayah Israel, Dana Pencen Terbesar Norway Lepaskan Saham Dalam Caterpillar

Enggan Terpalit Jenayah Israel, Dana Pencen Terbesar Norway Lepaskan Saham Dalam Caterpillar

Dana pencen terbesar di Norway mengambil keputusan melepaskan pegangan hampir AS$70 juta dalam Caterpillar, syarikat Amerika Syarikat yang dituduh membantu regim Israel melalui pembekalan peralatan jentera untuk merobohkan perumahan rakyat Palestin.

Kommunal Landspensjonskasse Gjensidig Forsikringsselskap (KLP) dalam kenyataannya berkata pengeluar jentolak dan jentera berat itu “menyumbang kepada pelanggaran hak asasi manusia dan pelanggaran undang-undang antarabangsa di Tebing Barat dan Gaza”.

KLP, yang menguruskan dana AS$90 bilion, memegang saham dalam Caterpillar bernilai AS$69 juta.

Menurutnya, perbincangan dengan syarikat itu gagal mendapatkan jaminan yang memuaskan supaya pelanggaran hak tidak berlaku.

“Sejak sekian lama, Caterpillar telah membekalkan jentolak dan peralatan lain yang digunakan untuk merobohkan rumah dan infrastruktur rakyat Palestin bagi membuka jalan membina penempatan Israel,” kata Kiran Aziz, ketua pelaburan di KLP.

Peralatan Caterpillar turut digunakan tentera Israel di Gaza, di mana serangan berlarutan ke atas wilayah itu mengorbankan lebih 35,000 orang awam setakat ini.

Syarikat itu sebelum ini didakwa pelbagai pihak membantu regim Israel, termasuk pergerakan global Boycott, Divestment, Sanctions (BDS).

Caterpillar pertama kali menjadi sasaran boikot susulan kematian aktivis muda AS Rachel Corrie pada 2003, yang terbunuh digilis jentolak Caterpillar D9R dilengkapkan perisai selepas enggan berganjak untuk menghalang cubaan tentera Israel merobohkan perumahan rakyat Palestin.

Sebelum ini, pelbagai syarikat dan dana pelaburan diberi amaran untuk memastikan mereka tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel.

Amaran itu dikeluarkan sekumpulan pakar dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kepada puluhan syarikat, pengeluar senjata dan institusi kewangan, termasuk BlackRock, yang kini menjadi sasaran bantahan di Malaysia berikutan keputusan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim untuk membawa masuk sebuah syarikat milik dana gergasi itu menjadi rakan kongsi konsortium menguruskan lapangan terbang.

“Syarikat-syarikat ini, dengan menghantar senjata, alat ganti, komponen dan peluru kepada tentera Israel, berisiko terlibat dalam pelanggaran serius hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” menurut kenyataan dikeluarkan lebih 30 pakar dan pegawai PBB diketuai Robert McCorquodale, ahli Kumpulan Kerja PBB mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia.

Norway