Langkah terbaru kerajaan mengawal kandungan internet terus mendapat kecaman ketika ia bertegas melaksanakan pelesenan platform media sosial di samping mewujudkan “kill switch” yang bakal membolehkan pihak berkuasa menyekat media sosial pada bila-bila masa.
Peguam Ambiga Sreenevasan, satu masa dulu antara penyokong kuat Pakatan Harapan, melancarkan serangan tajam terhadap kerajaan campuran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dengan menyifatkannya “kerajaan bersikap paling diktator yang pernah kita miliki”.
“Tidak pernah terfikir saya akan menyaksikan hari di mana kerajaan pimpinan PH yang berjuang di atas platform memansuhkan PPPA sebaliknya akan mengekalkannya dan mengenakan undang-undang pelesenan baharu,” kata bekas pengerusi gabungan reformasi pilihan raya Bersih, merujuk kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, antara undang-undang yang mahu dimansuhkan PH.
Semalam, Anwar mempertahankan langkah itu, dan bertegas meneruskannya walaupun mengakui ia berdepan bantahan.
“Saya tegaskan bahawa peraturan di media sosial dan perkhidmatan pemesejan internet yang bakal diperkenalkan kerajaan adalah untuk mengatasi penyebaran jenayah dan maklumat berbahaya, sekali gus mewujudkan persekitaran maya yang selamat untuk semua pengguna,” katanya.
“Kerajaan sedar mungkin ada beberapa sekatan atau peraturan yang tidak popular namun ia perlu demi kesejahteraan masyarakat.”
Putrajaya baru-baru ini memberi amaran akan menutup platform media sosial sekiranya gagal memohon lesen sebelum 1 Januari, 2025.
Kerajaan juga bakal memperkenalkan “kill switch” untuk media sosial, membolehkannya menyekat terus akses kepada laman itu, seperti mana dilakukan sebelum ini oleh rejim Hosni Mubarak di Mesir, di samping pihak berkuasa di China, Iran dan India yang menutup sambungan internet dalam usaha mengekang kandungan mengkritik kerajaan.
Pengkritik berkata langkah itu diwujudkan untuk memaksa platform internet popular seperti Facebook, TikTok dan juga aplikasi pesanan seperti WhatsApp dan Telegram untuk mematuhi permintaan kerajaan memadamkan kandungan, atau berdepan risiko lesen mereka dibatalkan.
Ia berlaku di sebalik statistik yang meletakkan Malaysia di tempat teratas senarai kerajaan yang meminta TikTok memadamkan kandungan sepanjang tahun lalu, di samping kejatuhan mendadak negara dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024.
Kementerian Komunikasi di bawah Fahmi Fadzil juga bertanggungjawab menyekat beberapa portal berita dan laman ulasan politik kerana menyiarkan kandungan yang disenangi Anwar.
‘Suis bunuh demokrasi’
Beberapa pengulas politik terkemuka yang akaun TikToknya disekat berkata kerajaan tidak lama lagi akan dengan mudahnya dapat menyekat kandungan dan strim langsung melalui penggunaan “kill switch”.
“Kalau ada ‘kill switch’ itu, jika berlaku proses pilihan raya di mana ketika masa berkempen jika kerajaan tidak gembira dengan mana-mana siaran langsung oleh pro pembangkang atau mereka yang tidak sehaluan dengan kerajaan, mereka boleh masuk dan mereka boleh ‘kill off’ siaran langsung itu,” kata Aidil Yunus, pengulas politik popular lebih dikenali sebagai YB Viral, antara mereka yang kandungannya tertakluk kepada sekatan dan permintaan keluar dari SKMM.
“Ini adalah sangat bahagia untuk memusnahkan demokrasi.”
Menurutnya, langkah terbaharu itu membuktikan kegagalan kerajaan Anwar menangani kritikan walaupun dengan kewujudan kira-kira 2,000 kumpulan propaganda bagi mempromosikan naratif kerajaan.
Pada Mei lalu, Fahmi mengumumkan geran tahunan sebanyak RM10,000 bagi setiap daripada 1,878 “Komuniti Madani” yang diwujudkan di seluruh negara.
“Dalam belanja begitu banyak sekalipun, kerajaan masih tak mampu untuk melawan kritikan yang dibuat oleh pengkritiknya,” kata YB Viral kepada MalaysiaNow.
“Oleh kerana itu, rasanya apa yang terbaik untuk kerajaan adalah kekang sepenuhnya suara-suara di media sosial.”
Seorang lagi pengulas politik, yang akaun TikToknya berulang kali diturunkan atas permintaan kerajaan, mempersoalkan pihak berkuasa kerana lebih berminat mencampuri akaun media sosial orang ramai, sedangkan aktiviti haram seperti perjudian dalam talian dan pornografi semakin meningkat
Na’im Brundage berkata platform media sosial seperti Facebook, Instagram, X dan Youtube selama ini menolak permintaan kerajaan untuk memadamkan kandungan selaras dengan garis panduan mereka mempertahankan kebebasan bersuara.
Menurutnya, kerajaan kini berharap dapat memaksa mereka berbuat demikian melalui pelesenan.
“Selepas lesen media sosial ini berkuatkuasa, platform-platform ini akan
mempunyai pilihan sama ada untuk menggadaikan prinsip mereka ataupun
menghentikan operasi mereka di negara ini,” katanya.
“Mana-mana tindakan yang diambil pun akhirnya hanya akan merugikan rakyat
dan akan mencipta persaingan politik yang tidak adil dan tidak demokratik.”
Na’im mengingatkan kerajaan mengenai tindakan lampau cuba menyekat maklumat ketika skandal 1MDB tidak lama dulu.
Pada 2015, Kementerian Dalam Negeri yang ketika itu diterajui Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, menggantung lesen penerbitan dua akhbar milik The Edge Media Group susulan liputannya mengenai skandal 1MDB.