Adaptasi Teknologi Digital Untuk Majukan Perniagaan

Adaptasi Teknologi Digital Untuk Majukan Perniagaan

Kerajaan Negeri Terengganu menggalakkan para peniaga dan usahawan tempatan untuk mengadaptasi teknologi digital bagi memastikan perniagaan mereka terus berkembang dalam era yang semakin dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), robotik dan big data.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi, dan Hal Ehwal Pengguna, Ariffin Deraman berkata, perubahan ini bukan sahaja mendesak tetapi juga peluang untuk meningkatkan daya saing perniagaan tempatan.

Menurutnya, syarikat pembuatan batik terkenal, Noor Arfa, adalah contoh bagaimana perniagaan tradisional boleh berjaya dengan mengintegrasikan teknologi moden.

Beliau berkata, dengan mengadaptasi proses pengeluaran menggunakan teknologi terkini dan memanfaatkan platform digital seperti Facebook dan TikTok untuk promosi, Noor Arfa bukan sahaja mampu menghasilkan produk baru setiap bulan bahkan mungkin tiap minggu.

“Mereka temuduga semalam pun untuk dapatkan belia yang mahir dalam bidang IT untuk promosi secara meluas di medium digital ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu temubual bersama Urustia Penerangan Negeri Darul Iman (UPDI) bertajuk Bicara Isu Semasa di Facebook miliknya, hari ini.

Ariffin juga berkongsi pengalaman ketika melawat Mukah, Sarawak, di mana sebuah kedai makan yang popular bernama Anuar Mee Udang, berjaya menarik ramai pelanggan melalui promosi yang berkesan di media sosial.

“Pertama mereka kata Anuar Mee Udang sedap tapi tak menafikan kedai lain tak sedap, yang kedua dia kata mereka promosi melalui media sosial, jadi orang datang sahaja ke Mukah atau Kuching mereka kata mi udang, pasti datang kedai Anuar, ini sebagai contoh,” katanya.

Terengganu