Kebergantungan Materialisme: Punca Kejatuhan UMNO Dan Pengajaran Buat Parti Politik Melayu

Kebergantungan Materialisme: Punca Kejatuhan UMNO Dan Pengajaran Buat Parti Politik Melayu

Kejatuhan UMNO yang berlaku ketika parti itu berada pada tahap tertinggi dari segi kemampuan materialistik perlu dijadikan pengajaran kepada semua parti politik Melayu yang lain.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa, berkata setiap perjuangan yang berlandaskan materialisme pasti akan bertemu penghujungnya, walaupun ketika masih berada pada tahap kemampuan material yang tinggi.

Menurut Annuar, beliau sendiri pernah memberi peringatan kepada UMNO tentang perkara ini sewaktu Perhimpunan Agung pada tahun 1982 ketika beliau hanya seorang Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian.

“Waktu itu, antara perkara yang saya sebutkan – ini sudah lebih 40 tahun dahulu – saya meramalkan bahawa satu hari nanti, UMNO, sebagai sebuah parti yang kuat, yang mempunyai sejarah panjang, yang telah berjasa banyak, yang memiliki ahli dan cawangan yang ramai, akan menjadi lemah sekiranya perjuangan UMNO terus-terusan berlandaskan kebendaan dan materialisme,” ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa pada waktu itu, ramai yang menyertai gagasan UMNO kerana kepentingan peribadi seperti ingin mendapatkan projek, naik pangkat dalam kerajaan, atau takut dikenakan tindakan seperti ditukar kerja kerana menyokong PAS.

Annuar turut mengimbas bagaimana guru-guru yang menyokong PAS pada masa itu akan dipindahkan ke Sabah untuk menakutkan mereka, namun tindakan itu tidak berjaya menghalang perkembangan PAS di wilayah tersebut.

Tambah beliau, salah satu kekurangan perjuangan UMNO yang beliau lihat ialah kurangnya elemen tarbiyah serta penghayatan terhadap falsafah dan dasar perjuangan parti itu sendiri.

“Saya katakan, jika ini berterusan, akan tiba masa UMNO menjadi parti yang lemah kerana kebergantungan kepada materialisme. Kebendaan mempunyai had tertentu. Manusia tidak akan puas selama-lamanya jika kepuasan diukur dengan kebendaan. Dapat satu kontrak, dia gembira, dua kontrak, lagi gembira, tiga kontrak, lebih gembira, tapi tak dapat yang ke-10, dia merajuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dalam program Konvensyen PAS Melaka 2024 yang berlangsung di sebuah hotel di Pantai Puteri, Melaka, semalam.

Annuar juga menyatakan bahawa petugas UMNO lebih bersemangat apabila mendapat ganjaran, tetapi semangat mereka luntur apabila tiada imbuhan. Situasi ini menjadi lebih teruk apabila pertimbangan dasar perjuangan diketepikan dan agenda peribadi didahulukan.

Menurut Annuar, ucapan beliau pada tahun 1982, yang meramalkan bahawa perjuangan berteraskan kebendaan akan menemui penghujungnya, telah dicatatkan dalam teks dan malah pernah dibukukan.

“Takdir Allah SWT, pada waktu itu saya hanya berucap sebagai ahli biasa, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian. Hampir 30 tahun kemudian, saya menjadi Setiausaha Agung parti tersebut dan juga Setiausaha Agung Barisan Nasional. Saya juga menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan. Dan ketika saya menjadi Setiausaha Agung UMNO, saya berdepan dengan situasi yang benar-benar menterjemahkan apa yang saya katakan 40 tahun sebelumnya. Apabila kepentingan individu dan peribadi diutamakan, matlamat dan dasar perjuangan diabaikan, maka waktu tamat tempoh perjuangan mengetuk pintu,” katanya.

Annuar turut mengimbau bagaimana UMNO hilang kuasa sebagai Kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, berpunca daripada skandal 1MDB yang menyebabkan defisit keyakinan rakyat terhadap parti tersebut.

“Skandal 1MDB berlaku kerana terlalu percaya bahawa politik boleh ‘survive’ dengan materialisme, kebendaan, dan ‘cash is king’. Ironinya, UMNO tidak hilang kuasa ketika ia miskin, tetapi ia jatuh ketika parti itu kaya,” ujarnya.

Tambah beliau, ketika UMNO tumbang, ia adalah parti politik dengan bangunan milik parti tertinggi di Malaysia, memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan iaitu Perdana Menteri, mempunyai dana parti terbesar, jumlah cawangan paling banyak (22,000 cawangan di seluruh negara), serta 3.6 juta ahli.

“Bagaimana sebuah parti yang mempunyai bangunan tinggi, jawatan besar, dana banyak, cawangan ramai, ahli ramai, boleh jatuh dalam pilihan raya, ketika masih kaya dan hebat?” soalnya.

Beliau turut menasihatkan PAS agar tidak mengikuti jejak langkah UMNO, walaupun diberi kuasa memerintah di peringkat Persekutuan, kerana ia akan menyebabkan PAS menemui nasib yang sama.

Turut berucap dalam program tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail, yang juga Ahli Parlimen Jasin, dengan ucapan alu-aluan. Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Bakri Jamaluddin, yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu, membentangkan ‘Road Map PAS Melaka Menuju Seri Negeri’, perancangan strategik parti tersebut bagi menawan pentadbiran Negeri Melaka.

Program ini turut dihadiri hampir 300 perwakilan daripada pimpinan PAS peringkat Kawasan dan Cawangan seluruh Melaka, menjadi medan perancangan strategik parti tersebut bagi negeri itu.

Politik