Mengapa Iran Menjadi Sasaran Zionis “Israel”?

Mengapa Iran Menjadi Sasaran Zionis “Israel”?

Regim Israel memberikan bayangan serangan balasnya ke atas Iran adalah maha dahsyat bagi mengembalikan ‘kehebatannya’ ke atas kawan dan lawan.

Namun apa yang berlaku melucukan sehingga menjadi bahan jenaka di media sosial khususnya di Timur Tengah bahkan sebahagian rakyat Israel sendiri menyifatkannya amat memalukan kerana gagal sama sekali untuk melumpuhkan Iran.

Buat pertama kali dalam sejarah sejak penubuhannya, negara haram Israel dilihat amat lemah dan ketakutan dalam melakukan serangan balas terhadap musuh-musuhnya.

Tidak sebagaimana sebelum ini dengan bantuan Amerika Syarikat dan sekutu Barat, negara-negara yang menjadi ancaman terhadap regim Israel dihapuskan sama ada dibunuh pemimpinnya atau diwujudkan konflik agar berlaku kekacauan berterusan sehingga tidak bermaya untuk bangkit kembali.

Pada tahun 2020, pengaruh dan kekuatan negara haram Israel berada di kemuncaknya setelah termenterainya Abraham Accord, iaitu perjanjian dua hala dan normalisasi hubungan antara negara haram Israel dengan negara-negara di Timur Tengah seperti UAE, Bahrain, Maghribi dan Sudan.

Hanya tiga buah negara sahaja yang tidak termasuk dalam “ruang lingkup” cengkaman Zionis Israel iaitu Arab Saudi, Yaman dan Iran.

Yaman dikucar-kacirkan sehingga berlakunya perang saudara serta perpecahan.

Satu kelompok diperintah oleh Ansarullah manakala satu kelompok lagi menjadi proksi kepada kumpulan negara Arab yang mendokong normalisasi.

Arab Saudi pula dilihat sebagai “punca kuasa” bagi memecahkan keengganan negara-negara Dunia Islam untuk menormalisasikan hubungan dengan negara haram Israel kerana ia adalah “penjaga” kepada dua tempat yang paling suci buat umat Islam iaitu Makkah dan Madinah.

Justeru, pelbagai desakan serta rayuan dan tawaran telah diberikan oleh Amerika Syarikat kepada Arab Saudi untuk menormalisasikan hubungan dengan negara haram Israel hingga tercetusnya “khabar angin” yang kuat bahawa normalisasi antara keduanya akan termeterai sebelum berlakunya Taufan Al-Aqsa pada 7 Oktober tahun lalu.

Namun yang menjadi masalah utama kepada negara haram Israel dan Barat adalah Iran.

Iran dilihat sebagai penghalang utama untuk melengkapkan hegemoninya di Timur Tengah.

Iran bukan sahaja tidak tunduk, malah meletakkan agenda utama negara membebaskan Baitulmaqdis serta menggagalkan usaha Barat menguasai Timur Tengah.

Sejak tamatnya perang Iran-Iraq pada tahun 1988, Iran telah mengisytiharkan bahawa Amerika Syarikat adalah musuh utamanya yang menjadi penyebab ketidakstabilan geopolitik di Timur Tengah sehingga berlaku pelbagai konflik yang meragut ratusan ribu nyawa yang tidak berdosa.

Sejak penubuhan Republik Islam Iran pada tahun 1979, Iran berusaha meyakinkan negara-negara Timur Tengah bahawa mereka boleh membina kekuatan sendiri tanpa bergantung kepada Barat.

Kecekalan, kesungguhan dan kesabaran Iran dan warganya tidak boleh dinafikan kerana walaupun ditekan, disekat dan dihalang, Iran berjaya membina kekuatan dari sudut geopolitik, ekonomi dan ketenteraan.

Iran bukan sahaja berjaya melepasi halangan untuk membangunkan kembali ekonominya, malah turut berjaya membangunkan teknologi ketenteraan hingga setara dengan teknologi yang dikuasai oleh Barat ketika ini.

Buktinya, lihat sahaja serangan peluru berpandu balistik Iran ke atas negara haram Israel sebagai balasan terhadap pembunuhan As-syahid Ismail Haniyeh di Tehran.

Iron Dome, David Sling dan Arrow yang dipropagandakan Barat sebagai sistem pertahanan udara terbaik di dunia langsung tidak mampu menangkis serangan peluru berpandu balistik Iran yang mengenai sasaran strategik di sekitar Tel Aviv dan lain-lain tempat lagi di negara haram Israel.

Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ali Khemenei dalam kenyataannya menegaskan agar tidak memandang serangan regim Zionis Israel ke atas negaranya dalam bentuk skala besar atau kecil, akan tetapi keutamaannya ialah penyatuan Dunia Islam bagi menentang kezaliman regim Zionis Israel ke atas rakyat “Palestin” dan Lubnan.

Beliau juga menyatakan bahawa Iran akan bertindakbalas terhadap serangan tersebut walaupun mendapat amaran dari Amerika Syarikat agar tidak melakukannya.

Melihat perkembangan semasa, secara tiba-tiba rundingan gencatan senjata di Semenanjung Gaza diaktifkan semula oleh Barat, di mana ia mengejutkan banyak pihak kerana kegagalan sebelum ini yang menghentikan rundingan tersebut adalah berpunca daripada Benjamin Netanyahu dan negara haram Israel.

Adakah ia berlaku untuk melembutkan Iran agar tidak menyerang balas negara haram Israel?

Adakah semua ini berlaku kerana Barat khususnya Amerika Syarikat sedar bahawa jika sekali lagi Iran menyerang negara haram Israel bermakna akan bermulalah pengakhiran dan legasi regim zionis Israel di Timur Tengah?

Adakah semua ini berlaku kerana Amerika Syarikat sedar bahawa ia sendiri tidak mampu menghalang dan membantu regim zionis Israel jika diserang Iran?

Sama-sama kita doakan agar Allah SWT memelihara orang-orang yang memperjuangkan kebenaran dan membebaskan “Palestin” dan warganya daripada cengkaman penjajahan regim zionis Israel.

Semoga yang khianat ,munafik dan bersekongkol dengan orang-orang zalim dan melakukan jenayah perang diberikan balasan yang setimpal dan maha berat oleh Allah SWT.

“Bebaskan Masjid Al-Aqsa, Merdekakan Palestin”.

YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat.

Dunia Islam