Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerima kunjungan hormat daripada delegasi Bangladesh Jamaat Islami (BJI) dalam satu pertemuan yang berlangsung penuh mesra dan ukhuwah.
Pertemuan ini dilihat sebagai langkah signifikan dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara gerakan Islam di peringkat antarabangsa.
Menurut Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, pertemuan tersebut memberi harapan besar kepada kedua-dua pihak dalam perjuangan membela kepentingan umat Islam di seluruh dunia.
“Pertemuan berlangsung dalam suasana ukhuwah yang erat, memperlihatkan keakraban antara dua gerakan Islam yang berkongsi matlamat perjuangan sama, iaitu menegakkan keadilan dan membawa kesejahteraan kepada umat Islam,” ujar beliau dalam satu kenyataan di laman Facebook pada Ahad.
Delegasi BJI yang diketuai Presidennya, Dr Shafiqur Rahman turut disertai dua Penolong Setiausaha Agung, Maulana Rafiqul Islam dan Hamidur Rahman.
Mereka menyatakan hasrat untuk mendapatkan pandangan dan nasihat daripada Abdul Hadi berhubung perubahan politik semasa yang sedang berlaku di Bangladesh.
Dalam pertemuan tersebut, Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang berkongsi pandangan mendalam berkaitan strategi perjuangan politik berteraskan Islam yang matang dan sejahtera.
Beliau menekankan kepentingan prinsip sabar, hikmah, serta menjaga hubungan erat dengan rakyat dalam mendepani cabaran politik semasa.
“Perjuangan politik Islam harus sentiasa berlandaskan kesabaran dan kebijaksanaan.
“Hubungan erat dengan rakyat adalah asas utama dalam membawa mesej Islam serta menegakkan keadilan,” tegas Abdul Hadi kepada delegasi tersebut.
Menurut Dr Muhammad Khalil, nasihat dan pandangan Abdul Hadi diterima baik oleh delegasi BJI, yang menyifatkannya sebagai pedoman penting dalam usaha memperjuangkan keadilan dan kestabilan politik di Bangladesh.
“Delegasi BJI menzahirkan rasa syukur dan penghargaan terhadap pandangan bernas Presiden PAS yang dianggap sebagai bimbingan penting dalam mendepani cabaran politik semasa di Bangladesh,” katanya lagi.
Pertemuan antara PAS dan BJI ini bukan sahaja menjadi medan untuk bertukar-tukar pandangan, malah ia mencerminkan solidariti antara gerakan Islam yang berkongsi visi dan misi serupa.
Kerjasama sebegini penting dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks, khususnya berkaitan isu-isu umat Islam sejagat.
Langkah memperkukuhkan hubungan antara PAS dan BJI dilihat berpotensi membina rangkaian yang lebih kuat dalam kalangan gerakan Islam di peringkat antarabangsa.
Ini sekali gus memperlihatkan usaha bersama dalam memperjuangkan keadilan, kesejahteraan, dan kemuliaan umat Islam di arena politik global.
Pertemuan ini turut memberi isyarat jelas bahawa gerakan Islam perlu sentiasa bersatu dan memperkukuhkan kerjasama strategik dalam menghadapi tekanan dan cabaran semasa, sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.