Perjuangan Meminggirkan Islam

Perjuangan Meminggirkan Islam

Allah berfirman banyak perkara yang benar-benar berlaku terhadap Islam sepanjang zaman, sejak Iblis menentang Allah yang mencipta Adam AS iaitu manusia pertama diperintahkan supaya membawa Islam di alam dunia, beribadat hanya kepada Allah, mentadbir urusan dunia berpandukan agama Allah, dan berlaku adil kepada semua.

Seterusnya, Islam diperjuangkan oleh semua anbiya’ dan kumpulan Islam yang bertali arus.

Islam ditentang dan dimusuhi kerana keadilannya, sehingga kedatangannya dianggap sebagai penyelamat, bukan pengganas seperti yang disalah lapor oleh musuhnya yang hasad dengki terhadap Islam.

Penentangan terhadap Islam tidak berprinsipkan kebenaran.

Perjuangannya bukan kerana benar, tetapi kerana sikap kufur dan ingkar akan Allah serta hasad dengki terhadap kejayaan Islam, tanpa peduli akan kenyataan Allah SWT:

أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُونَ ٨٣ قُلۡ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَمَآ أُنزِلَ عَلَيۡنَا وَمَآ أُنزِلَ عَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِيمَ وَإِسۡمَٰعِيلَ وَإِسۡحَٰقَ وَيَعۡقُوبَ وَٱلۡأَسۡبَاطِ وَمَآ أُوتِيَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَٱلنَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمۡ لَا نُفَرِّقُ بَيۡنَ أَحَدٖ مِّنۡهُمۡ وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ ٨٤ وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ ٨٥

“Maka, adakah mereka mencari agama yang lain daripada agama Allah, padahal kepada-Nya jua segala yang di langit dan di bumi menyerahkan diri, baik secara sukarela mahupun terpaksa, dan hanya kepada Allah sahaja mereka dikembalikan. (83)

Katakanlah, ‘Kami beriman kepada Allah dan kepada apa-apa yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepada Ibrahim, Isma‘il, Ishaq, Ya‘qub, dan anak-anak mereka, dan apa-apa yang diberikan kepada Musa, ‘Isa, dan para nabi daripada Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun antara mereka dan hanya kepada-Nyalah kami menyerahkan diri.’ (84)

Sesiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi. (85)” [Surah Ali ‘Imran: 83–85]

Sang Iblis itu dengan angkuh mencabar Allah. Firman Allah SWT:

قَالَ فَبِعِزَّتِكَ لَأُغۡوِيَنَّهُمۡ أَجۡمَعِينَ ٨٢ إِلَّا عِبَادَكَ مِنۡهُمُ ٱلۡمُخۡلَصِينَ ٨٣

“Iblis menjawab, ‘Demi kekuasaan Engkau, aku akan menyesatkan mereka (manusia) semuanya. (82)

Kecuali hamba-hamba-Mu yang mukhlis (dibersihkan daripada sebarang penderhakaan dan penyelewengan) antara mereka.’ (83)” [Surah Sad: 82–83]

Firman Allah SWT:

… وَلَا يَزَالُونَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمۡ عَن دِينِكُمۡ إِنِ ٱسۡتَطَٰعُواْۚ وَمَن يَرۡتَدِدۡ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَيَمُتۡ وَهُوَ كَافِرٞ فَأُوْلَـٰٓئِكَ حَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۖ وَأُوْلَـٰٓئِكَ أَصۡحَٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِيهَا خَٰلِدُونَ ٢١٧

“…Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) memesongkan kamu daripada agamamu (Islam kepada kekafiran), seandainya mereka mampu melakukannya. Sesiapa yang murtad antara kamu daripada agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni Neraka, mereka kekal di dalamnya.” [Surah al-Baqarah: 217]

Malangnya, termasuk yang menentang Islam itu daripada kalangan yang beragama Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian), yang dinyatakan dalam kitab suci mereka akan berita kelahiran nabi akhir zaman yang membawa Islam, agama asal para anbiya’.

Terkini, seorang diplomat Arab membuat kenyataan kepada media Barat supaya perubahan yang berlaku di Syria wajib berkonsepkan sekular dan jangan disertai oleh semua kumpulan Islam.

Firman Allah SWT:

ٱلَّذِينَ ءَاتَيۡنَٰهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ يَعۡرِفُونَهُۥ كَمَا يَعۡرِفُونَ أَبۡنَآءَهُمۡۖ وَإِنَّ فَرِيقٗا مِّنۡهُمۡ لَيَكۡتُمُونَ ٱلۡحَقَّ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ ١٤٦

“Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami berikan al-Kitab (Taurat dan Injil) mengenali Muhammad seperti mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya, sebahagian antara mereka menyembunyikan kebenaran, padahal mereka mengetahui.” [Surah al-Baqarah: 146]

Snouck Hurgronje, seorang orientalis Belanda yang terkenal pernah membuat kenyataan terbuka tentang bahaya politik Islam:

“Tidak berbahaya sekiranya dibiarkan umat Islam beribadat sahaja, namun sangat berbahaya jika mereka berpolitik kembali semula bagi menegakkan kerajaannya. Tidak berbahaya jika ulama’ hanya mengajar agama sahaja tanpa mengajar tentang politik, namun sangat berbahaya jika membawa pendekatan untuk kembali semula kepada pemerintahan khilafah (politik Islam).”

Firman Allah SWT:

وَدَّ كَثِيرٞ مِّنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ لَوۡ يَرُدُّونَكُم مِّنۢ بَعۡدِ إِيمَٰنِكُمۡ كُفَّارًا حَسَدٗا مِّنۡ عِندِ أَنفُسِهِم مِّنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ ٱلۡحَقُّۖ … ١٠٩

“Sebahagian besar Ahli Kitab menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, kerana dengki yang (timbul) daripada diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran…” [Surah al-Baqarah: 109]

Setelah mereka berjaya menjajah bumi Islam pada masa umat mengalami kelemahan akibat meninggalkan ajaran Islam, ketika negeri-negeri Islam berjaya dijajah, musuh Islam merancang melalui undang-undang untuk mengawal pengajian Islam, khutbah Jumaat, pelajaran, pendidikan, pentadbiran, dan media bagi membendung kebangkitan semula umat Islam agar tidak kembali kepada Islam.

Rancangan ini dilakukan sejak zaman penjajahan sehingga selepas kemerdekaan yang juga dirancang oleh penjajah.

Senjata paling berbisa ialah menyebarkan fahaman sekularisme yang memisahkan urusan kehidupan dunia daripada Islam melalui pentadbiran dan jentera kerajaan, di samping mengawal pengajian Islam melalui sijil kebenaran atau lesen mengajar agama, termasuk mengawal khutbah Jumaat, hari raya, dan lain-lain.

Apabila terpaksa memberikan kemerdekaan kerana penentangan umat Islam terhadap penjajah, tiba-tiba semua langkah tersebut diteruskan melalui kepimpinan negara daripada anak negeri yang bernama dan berwajah Islam yang menjadi syarat penyerahan kepimpinan negara dan pentadbirannya mengikut acuan penjajah.

Maka, negara dipimpin oleh kalangan jahil agama yang ditarbiah untuk melaksanakan agenda penjajah.

Dibentuk otak pemikiran mereka sehinggalah bahasa dan budaya kehidupan.

Adapun kumpulan Islam yang sejak awal lagi menentang penjajah pula, disingkirkan dengan kekerasan atau melalui budi bicara yang menggoda dan menipu.

Sehinggakan, kemerdekaan ditangguhkan selagi belum ada para pemimpin yang boleh diperalatkan.

Para penjajah yang menganut pelbagai ideologi, mazhab, dan agama itu bersedia menyerahkan negara yang diberikan kemerdekaan yang boleh melaksanakan apa-apa sahaja, asalkan bukan Islam, sama ada paling ekstrem liberal kapitalisnya mahupun paling ekstrem sosialisnya, walaupun ideologi komunis yang menolak semua agama, beragama apa-apa sahaja yang bukan Islam, atau Islam yang disesatkan.

Contohnya, Yaman Selatan yang dijajah oleh British dan berperang dengan komunis, diserahkan kepada parti komunis yang lebih ekstrem daripada negara asal komunis.

Albania dan Azerbaijan yang dijajah komunis dibentuk kerajaan pro-Barat yang ekstrem.

Negara Barat yang membantu Bosnia ketika perang pula mewajibkan pembentukan kerajaan berkonsepkan sekularisme yang meminggirkan kuasa Islamnya.

Mana-mana negara yang membuat perubahan kepada Islam pasti dijatuhkan kerajaannya, walaupun menggunakan kekerasan.

Contohnya, kemenangan parti Islam Majelis Syuro Muslimin Indonesia (Masyumi) di Indonesia pada tahun 50-an secara demokrasi berakhir dengan parti Islam Masyumi diharamkan, kemenangan Ikhwan al-Muslimin di Mesir diharamkan dan kerajaannya digulingkan, kemenangan parti Islam Barisan Penyelamat Islam (FIS) dalam pilihan raya perbandaran Algeria dibatalkan, dan kerajaan tentera di Sudan digulingkan.

Di Turkiye, ditetapkan dalam perlembagaan yang mewajibkan sekularisme dan diharamkan sifat agama Islamnya.

Parti Keadilan dan Pembangunan (AK PARTİ) yang dikatakan berwajah Islam itu masih dipenjarakan kefahamannya oleh perlembagaan Kamal Ataturk dan tenteranya.

Kemenangan Hamas di Palestin pula tidak dibenarkan.

Dan apabila kerajaannya ditubuhkan di Gaza, tiba-tiba Israel menyerang Gaza dengan bantuan negara Amerika Syarikat dan sekutunya, Eropah, laksana Perang Ahzab pada zaman awal Islam.

PAS menghadapi sedikit pengalaman apabila hanya menang di peringkat kerajaan negeri sahaja, terpaksa juga menghadapi beberapa tindakan yang menyusahkan sejak selepas kemerdekaan apabila menang di negeri bermula tahun 1959 sehingga kini, seperti tekanan politik, ekonomi, pentadbiran, media, dan lain-lain.

Setiap penyumbang kepada PAS dianggap salah atau dipermainkan, sehingga terhadap ahli PAS yang miskin yang menyumbang sedikit duit juga dipermainkan dengan kenyataan lisan, tulisan, atau sindiran karikatur.

Semuanya dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran tentang apa-apa yang pernah berlaku pada awal Islam.

Firman Allah SWT:

هُمُ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ لَا تُنفِقُواْ عَلَىٰ مَنۡ عِندَ رَسُولِ ٱللَّهِ حَتَّىٰ يَنفَضُّواْۗ وَلِلَّهِ خَزَآئِنُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِنَّ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ لَا يَفۡقَهُونَ ٧

“Mereka orang-orang yang mengatakan (kepada orang-orang Ansar), ‘Janganlah kamu memberikan perbelanjaan kepada orang-orang (Muhajirin) yang ada di sisi Rasulullah supaya mereka bubar (meninggalkan Rasulullah).’ Padahal kepunyaan Allah jua perbendaharaan langit dan bumi, tetapi orang-orang munafiq itu tidak memahami.” [Surah al-Munafiqun: 7]

Firman Allah SWT lagi:

ٱلَّذِينَ يَلۡمِزُونَ ٱلۡمُطَّوِّعِينَ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ فِي ٱلصَّدَقَٰتِ وَٱلَّذِينَ لَا يَجِدُونَ إِلَّا جُهۡدَهُمۡ فَيَسۡخَرُونَ مِنۡهُمۡ سَخِرَ ٱللَّهُ مِنۡهُمۡ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ ٧٩

“(Orang-orang munafiq) iaitu orang-orang yang mencela orang-orang Mukmin yang memberikan sedekah dengan sukarela dan (mencela) orang-orang yang tidak memperoleh (untuk disedekahkan) selain sekadar kesanggupan mereka, maka orang-orang munafiq itu menghina mereka. Allah akan membalas penghinaan mereka itu, dan untuk mereka azab yang pedih.” [Surah al-Tawbah: 79]

Mereka mencari setiap titik kecil kesalahan kumpulan Islam, sama ada tuduhan yang salah — termasuk kelemahan yang benar-benar berlaku, nescaya diperbesarkan untuk dimalukan — ataupun dicipta kesalahannya.

Ketegasan kumpulan Islam menentang musuhnya dianggap ganas, padahal tindakan musuh Islam sebenarnya lebih ganas dan melampau, malah dianggap hak mempertahankan diri dan menjaga keamanan, seperti yang terang-terangan berlaku di Afghanistan, Iraq, dan kini di Palestin, walaupun telah disahkan oleh undang-undang antarabangsa dan Mahkamah Dunia di Vatikan oleh negara kuasa besar dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Umat Islam yang memiliki senjata kecil bagi mempertahankan diri dianggap salah dan ganas.

Adapun mereka yang memiliki senjata pemusnah kehidupan manusia dan alam sekitar dianggap berhak, walaupun mengamalkan undang-undang binatang buas di rimba yang dinilai kekuatan keganasannya, bukan keadilannya.

Allah menjanjikan pahala kepada kumpulan Islam dengan kemarahan musuhnya yang salah, zalim, dan melampau. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَكُونُواْ مَعَ ٱلصَّـٰدِقِينَ ١١٩ مَا كَانَ لِأَهۡلِ ٱلۡمَدِينَةِ وَمَنۡ حَوۡلَهُم مِّنَ ٱلۡأَعۡرَابِ أَن يَتَخَلَّفُواْ عَن رَّسُولِ ٱللَّهِ وَلَا يَرۡغَبُواْ بِأَنفُسِهِمۡ عَن نَّفۡسِهِۦۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ لَا يُصِيبُهُمۡ ظَمَأٞ وَلَا نَصَبٞ وَلَا مَخۡمَصَةٞ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَطَـُٔونَ مَوۡطِئٗا يَغِيظُ ٱلۡكُفَّارَ وَلَا يَنَالُونَ مِنۡ عَدُوّٖ نَّيۡلًا إِلَّا كُتِبَ لَهُم بِهِۦ عَمَلٞ صَٰلِحٌۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجۡرَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ ١٢٠ وَلَا يُنفِقُونَ نَفَقَةٗ صَغِيرَةٗ وَلَا كَبِيرَةٗ وَلَا يَقۡطَعُونَ وَادِيًا إِلَّا كُتِبَ لَهُمۡ لِيَجۡزِيَهُمُ ٱللَّهُ أَحۡسَنَ مَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ ١٢١

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar! (119)

Tidaklah sepatutnya bagi penduduk Madinah dan orang-orang Arab Badwi yang berdiam di sekitar mereka, tidak turut menyertai Rasulullah (berperang) dan tidak patut (pula) bagi mereka lebih mencintai diri mereka daripada mencintai diri Rasul. Yang demikian itu ialah kerana mereka tidak ditimpa kehausan, kepayahan, dan kelaparan di jalan Allah, dan tidak (pula) menginjak suatu tempat yang membangkitkan amarah orang-orang kafir, dan tidak menimpakan sesuatu bencana kepada musuh, melainkan dituliskanlah bagi mereka dengan yang demikian itu suatu amal soleh. Sesungguhnya, Allah tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang berbuat baik. (120)

Dan mereka tiada menafkahkan suatu nafkah yang kecil dan tidak (pula) yang besar serta tidak melintasi suatu lembah, melainkan dituliskan bagi mereka (amal soleh pula), kerana Allah akan memberikan balasan kepada mereka yang lebih baik daripada apa-apa yang telah mereka kerjakan. (121)” [Surah al-Tawbah: 119–121]

Allah menyenaraikan kezaliman mereka sejak zaman-berzaman sehingga membunuh para rasul, ulama’, serta pemimpin dan raja yang adil. Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡفُرُونَ بِـَٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ بِغَيۡرِ حَقّٖ وَيَقۡتُلُونَ ٱلَّذِينَ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡقِسۡطِ مِنَ ٱلنَّاسِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ ٢١ أُوْلَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ حَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِ وَمَا لَهُم مِّن نَّـٰصِرِينَ ٢٢

“Sesungguhnya, orang-orang yang kufur kepada ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi yang memang tidak dibenarkan serta membunuh orang-orang yang menyuruh manusia berbuat adil, maka gembirakanlah mereka bahawa mereka akan menerima seksa yang pedih. (21)

Mereka itu ialah orang-orang yang lenyap (pahala) amal-amal mereka di dunia dan akhirat, dan mereka sekali-kali tidak memperoleh penolong. (22)” [Surah Ali ‘Imran: 21–22]

Allah berjanji bahawa cahaya kebenaran Islam itu gagal dipadamkan. Firman Allah SWT:

وَمَنۡ أَظۡلَمُ مِمَّنِ ٱفۡتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ ٱلۡكَذِبَ وَهُوَ يُدۡعَىٰٓ إِلَى ٱلۡإِسۡلَٰمِۚ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٧ يُرِيدُونَ لِيُطۡفِـُٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ ٨ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩

“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah, sedangkan dia diajak kepada Islam? Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang zalim. (7)

“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justeru) menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya. (8)

Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya di atas segala agama dan ideologi, meskipun orang Musyrik membenci. (9)” [Surah al-Saff: 7–9]

Kita menyaksikan keruntuhan tabir besi negara Blok Timur dan tiada lagi Islamofobia di sana, di samping Islam menembusi benteng yang bernama Islamofobia di Blok Barat.

Walaupun ada media upahan di Malaysia seperti yang berjenama Malaysiakini dan sekutunya yang menjadi tentera upahan cuba menutup secara halus, wajahnya yang sebenar tetap terbuka.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Minda Tok Guru