Walaupun Syria telah dibebaskan daripada cengkaman rejim Assad yang mencengkamnya dengan zalim dan kejam selama beberapa dekad, wajah negara dan pemetaannya masih samar disebabkan pertembungan agama dan ideologi serta banyak kumpulan yang terlibat untuk menguasainya.
Tidak mudah bagi kumpulan Islam yang berjaya menjatuhkan rejim Assad dengan segera untuk menguasai Syria dalam keadaan berkhilaf dan berfirqah, sama ada khilaf mazhab mahupun perpecahan firqah pelbagai ideologi yang belum diselesaikan.
Kumpulan Sunni yang terbesar juga berkhilaf mazhab dalamannya, di samping menganut pelbagai ideologi.
Terdapat juga kumpulan Druze yang sesat, kumpulan pelampau Syiah Nusairi Alawi, dan lain-lain, di samping kaum Kurdi yang berjuang dengan semangat kebangsaan untuk negaranya (Kurdistan); menjadikan semuanya mudah menjadi perang proksi yang berpanjangan.
Di belakang mereka pula ialah negara kuasa besar yang mengambil kedudukan di kawasan yang kaya sumber hasilnya, berusaha menubuhkan negara-negara baharu yang dipecah-pecahkan demi kepentingan masing-masing.
Walaupun majoriti paling besar mengaku Islam, kepelbagaian kumpulan dan kefahaman menjadikan mereka berbeza pendekatan.
Ada kumpulan yang melampau seperti Khawarij yang paling keras menghukum Islam dan mentakfirkan yang lain.
Ada pula yang liberal hanyut pegangan Islam dan jahil agamanya.
Benarlah pembahagian Allah SWT dengan firman-Nya:
ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٞ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡهُم مُّقۡتَصِدٞ وَمِنۡهُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٰتِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡكَبِيرُ ٣٢
“Kemudian, Kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih antara hamba-hamba Kami, lalu antara mereka ada yang menganiaya diri mereka sendiri, antara mereka ada yang pertengahan, dan antara mereka ada (pula) yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah kurnia yang amat besar.” [Surah Fatir: 32]
Namun, mengapa jalan mudah diberikan kepada semua kumpulan Islam dan sekular bagi menawan seluruh Syria dengan bantuan Turkiye dan negara bersekutu Barat?
Pasti ada sesuatu tujuan di sebaliknya.
Bashar al-Assad melepaskan diri dengan mudah dan aman.
Negara yang selama ini melindunginya berundur dan berlepas tangan tanpa tentangan.
Syria juga termasuk dalam peta negara Israel Raya (Greater Israel) yang menjadi perjuangan kaum Zionis yang meletakkan tapaknya di Golan dan Jabal al-Shaikh serta terus mengasak lebih luas wilayahnya.
Zionis berjaya buat sementara waktu dalam mencetuskan huru-hara Arab Spring, bagi menghalang bantuan senjata kepada kumpulan Islam di Palestin dan bagi menyelamatkan Israel secara adu domba perang proksi di semua negara yang menjadi pangkalan bantuan kepada Palestin.
Kini, Israel diberikan laluan mudah untuk memusnahkan senjata berat dan sistem pertahanan yang membahayakan keselamatan negaranya.
Kita menyaksikan perlumbaan pelbagai pihak untuk mengadakan hubungan dengan kerajaan sementara di Syria yang melaksanakan tugas dan cuba mempengaruhinya, termasuk dalam kalangan negara Arab yang berbagai-bagai ideologi dan kalangan yang rapat dengan kuasa besar serta melakukan normalisasi dengan Israel.
Ada yang membuat kenyataan terbuka mahu menubuhkan negara sekular bagi Syria dan tidak mengizinkan mana-mana kumpulan Islam berkuasa.
Maka, besar cabaran yang dihadapi oleh kumpulan Islam yang sentiasa dihalang daripada berkuasa.
Keadaan ini sangat mudah mengulangi sejarah kumpulan Islam yang hanya menang sorak menghalau penjajah dan melakukan reformasi menjatuhkan kerajaan yang gagal, namun akhirnya dipinggirkan daripada mengambil arus perdana kemenangan yang dicita-citakan demi mengembalikan kuasa Islam berdaulat yang pernah menegakkan negaranya.
Islam terus digagalkan, sementara kerajaan yang gagal terus mengambil alih.
Israel pula terus memalu gendang perang bagi meluaskan wilayah negara agung Yahudi yang bersempadan dengan Sungai Nil di Mesir dan Sungai Furat di Iraq, termasuk sehingga Laut Merah dan Laut Mediterranean.
Mereka terus membina kekuatan ketenteraan dengan bantuan ahli Zionis Amerika Syarikat dan Eropah yang terus bersama Israel, berserta negara Arab yang melakukan normalisasi dengan mereka.
Pada masa yang sama, Gaza dan Tebing Barat diserang dan diganyang habis-habisan.
Negara Turkiye yang masih berada dalam kepompong sekularnya dan berpayungkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tetap menentang penubuhan negara Kurdistan yang ditaja oleh kuasa besar yang bertapak di sempadan Syria, Iraq, dan Iran kerana ingin merampas hasil kekayaan buminya.
Turkiye bersilap mata bersama Islam dan sekular yang ditanam oleh Kamal Ataturk.
Adapun negara-negara Arab yang mengenang jasa menerima pusaka Sykes–Picot warisan Kerajaan ‘Uthmaniyyah terus mengecewakan Palestin dan Gaza yang dibelasah pembunuhan dan kehancuran oleh Israel.
Begitulah, Afghanistan yang berjaya menghalau tentera Soviet dahulu serta tentera Amerika Syarikat dan sekutunya terpaksa memakan masa 20 tahun, dengan kumpulan Taliban yang menang masih terkepung.
Kemudian, Bosnia yang berjaya memperoleh kemerdekaan pula diberikan syarat tidak dibenarkan penubuhan negara Islam, dengan paksaan sementara waktu yang memakan masa yang telah panjang.
Demikian juga, Hamas yang memenangi pilihan raya umum Palestin tidak diizinkan membentuk kerajaannya yang berwajah Islam dan terpaksa bertahan di Gaza menghadapi bala tentera Ahzab yang dibentuk oleh Zionis.
Namun begitu, Rasulullah SAW bersabda:
الْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنَ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ، وَفِي كُلٍّ خَيْرٌ احْرِصْ عَلَى مَا يَنْفَعُكَ، وَاسْتَعِنْ بِاللهِ وَلَا تَعْجِزْ، وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ فَلَا تَقُلْ: لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا، وَلَكِنْ قُلْ: قَدَرُ اللَّهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ.
“Orang beriman yang kuat lebih baik dan dikasihi Allah daripada orang beriman yang lemah. Pada setiap orang yang beriman itu tetap baik. Berikanlah perhatian kepada apa-apa yang memberikan manfaat kepadamu, mintalah pertolongan Allah, dan janganlah bersikap lemah. Jika kamu ditimpa musibah, janganlah berkata, ‘Kalau aku buat begini, pasti jadi begitu.’ Akan tetapi, katakanlah, ‘Bahawa semuanya ketentuan Allah. Apa-apa yang dikehendaki Allah pasti berlaku,’ kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka kerja syaitan.” [Riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Qadr, No. 2664, daripada Abu Hurairah]
Allah SWT membawa teladan perjuangan para anbiya’ dalam al-Quran, antaranya Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS. Firman-Nya:
وَقَالَ مُوسَىٰ رَبَّنَآ إِنَّكَ ءَاتَيۡتَ فِرۡعَوۡنَ وَمَلَأَهُۥ زِينَةٗ وَأَمۡوَٰلٗا فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا رَبَّنَا لِيُضِلُّواْ عَن سَبِيلِكَۖ رَبَّنَا ٱطۡمِسۡ عَلَىٰٓ أَمۡوَٰلِهِمۡ وَٱشۡدُدۡ عَلَىٰ قُلُوبِهِمۡ فَلَا يُؤۡمِنُواْ حَتَّىٰ يَرَوُاْ ٱلۡعَذَابَ ٱلۡأَلِيمَ ٨٨ قَالَ قَدۡ أُجِيبَت دَّعۡوَتُكُمَا فَٱسۡتَقِيمَا وَلَا تَتَّبِعَآنِّ سَبِيلَ ٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَ ٨٩
“Musa berkata, ‘Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau telah memberi Firaun dan pemuka-pemuka kaumnya perhiasan dan harta kekayaan dalam kehidupan dunia! Wahai Tuhan Kami — akibatnya mereka menyesatkan (manusia) dari jalan Engkau! Wahai Tuhan kami, binasakanlah harta benda mereka dan kunci matilah hati mereka, maka mereka tidak beriman hingga mereka melihat seksaan yang pedih!’ (88)
“Allah berfirman, ‘Sesungguhnya, telah diperkenankan permohonan kamu berdua. Oleh sebab itu, tetaplah kamu berdua di jalan yang lurus (beristiqamah) dan janganlah sekali-kali kamu mengikuti jalan orang-orang yang tidak mengetahui.’ (89)” [Surah Yunus: 88–89]
Para ulama’ menyatakan, janji kemenangan kepada Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS dikotakan Allah selepas 40 tahun apabila bala tentera Firaun ditenggelamkan.
Selepas itu, Bani Isra’il pula dihukum sesat di padang pasir Sinai selama 40 tahun lagi apabila mereka tidak mahu berjihad. Firman Allah SWT:
يَٰقَوۡمِ ٱدۡخُلُواْ ٱلۡأَرۡضَ ٱلۡمُقَدَّسَةَ ٱلَّتِي كَتَبَ ٱللَّهُ لَكُمۡ وَلَا تَرۡتَدُّواْ عَلَىٰٓ أَدۡبَارِكُمۡ فَتَنقَلِبُواْ خَٰسِرِينَ ٢١ قَالُواْ يَٰمُوسَىٰٓ إِنَّ فِيهَا قَوۡمٗا جَبَّارِينَ وَإِنَّا لَن نَّدۡخُلَهَا حَتَّىٰ يَخۡرُجُواْ مِنۡهَا فَإِن يَخۡرُجُواْ مِنۡهَا فَإِنَّا دَٰخِلُونَ ٢٢ قَالَ رَجُلَانِ مِنَ ٱلَّذِينَ يَخَافُونَ أَنۡعَمَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِمَا ٱدۡخُلُواْ عَلَيۡهِمُ ٱلۡبَابَ فَإِذَا دَخَلۡتُمُوهُ فَإِنَّكُمۡ غَٰلِبُونَۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَتَوَكَّلُوٓاْ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ ٢٣ قَالُواْ يَٰمُوسَىٰٓ إِنَّا لَن نَّدۡخُلَهَآ أَبَدٗا مَّا دَامُواْ فِيهَا فَٱذۡهَبۡ أَنتَ وَرَبُّكَ فَقَٰتِلَآ إِنَّا هَٰهُنَا قَٰعِدُونَ ٢٤ قَالَ رَبِّ إِنِّي لَآ أَمۡلِكُ إِلَّا نَفۡسِي وَأَخِيۖ فَٱفۡرُقۡ بَيۡنَنَا وَبَيۡنَ ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡفَٰسِقِينَ ٢٥ قَالَ فَإِنَّهَا مُحَرَّمَةٌ عَلَيۡهِمۡۛ أَرۡبَعِينَ سَنَةٗۛ يَتِيهُونَ فِي ٱلۡأَرۡضِۚ فَلَا تَأۡسَ عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡفَٰسِقِينَ ٢٦
“(Musa berkata), ‘Wahai kaumku, masuklah ke tanah suci (Palestin) yang telah ditentukan Allah bagimu, dan janganlah kamu lari ke belakang (kerana takut kepada musuh), maka kamu menjadi orang-orang yang merugi!’ (21)
“Mereka berkata, ‘Wahai Musa, sesungguhnya dalam negeri itu ada orang-orang yang gagah perkasa! Sesungguhnya, kami sekali-kali tidak akan memasukinya sebelum mereka keluar darinya. Jika mereka keluar darinya, pasti kami akan memasukinya.’ (22)
“Berkatalah dua orang antara orang-orang yang takut (kepada Allah) yang Allah telah memberikan ni‘mat ke atas kedua-dua mereka, ‘Serbulah mereka dengan melalui pintu gerbang (kota) itu. Maka, apabila kamu memasukinya, nescaya kamu akan menang. Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman.’ (23)
“Mereka berkata, ‘Wahai Musa, kami sekali-kali tidak akan memasukinya selama-lamanya, selagi mereka ada di dalamnya! Oleh sebab itu, pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua. Sesungguhnya, kami hanya duduk menanti di sini saja.’ (24)
“Berkata Musa, ‘Wahai Tuhanku, aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku! Oleh sebab itu, pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasiq itu.’ (25)
“Allah berfirman, ‘(Jika demikian), maka sesungguhnya, negeri itu diharamkan ke atas mereka selama 40 tahun, (selama itu) mereka akan berputar-putar kebingungan di bumi (padang Tih) itu. Maka, janganlah kamu bersedih hati (memikirkan nasib) orang-orang yang fasiq itu.’ (26)” [Surah al-Ma’idah: 21–26]
Namun begitu, Allah SWT tetap menunaikan janji-Nya dengan memberikan kemenangan kepada Islam, apabila adanya kumpulan Islam yang dapat memenuhi syarat-syarat kemenangan:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِي ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ يُحِبُّهُمۡ وَيُحِبُّونَهُۥٓ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ يُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآئِمٖۚ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٥٤ إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَٰكِعُونَ ٥٥ وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَٰلِبُونَ ٥٦
“Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa antara kamu yang murtad daripada agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang-orang Mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela! Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui. (54)
“Sesungguhnya, penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). (55)
“Dan sesiapa yang mengambil Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya, pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang. (56)” [Surah al-Ma’idah: 54–56]
Firman Allah SWT:
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡـٔٗاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٥٥
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh, bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan Dia sungguh-sungguh akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu pun dengan Aku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” [Surah al-Nur: 55]
Itulah janji daripada Allah Yang Maha Benar lagi Maha Mengetahui merentasi ramalan ahli politik dan pengamatnya.
Al-Quran ialah mukjizat ilmu daripada Allah kepada nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW dan kepada seluruh manusia sepanjang zaman sehingga penamatan ajal dunia dan umatnya bagi menguji manusia. Firman Allah SWT:
تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ ٢
“Maha Suci Allah yang dalam Tangan-Nyalah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1)
“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu siapa antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (2)” [Surah al-Mulk: 1–2]
Janji Allah yang benar pasti berlaku dan mustahil dihalang oleh segala perancangan yang ingin menggagalkannya. Firman Allah SWT:
وَقَدۡ مَكَرُواْ مَكۡرَهُمۡ وَعِندَ ٱللَّهِ مَكۡرُهُمۡ وَإِن كَانَ مَكۡرُهُمۡ لِتَزُولَ مِنۡهُ ٱلۡجِبَالُ ٤٦ فَلَا تَحۡسَبَنَّ ٱللَّهَ مُخۡلِفَ وَعۡدِهِۦ رُسُلَهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٞ ذُو ٱنتِقَامٖ ٤٧
“Dan sesungguhnya, mereka telah membuat makar yang besar, padahal di sisi Allahlah (balasan) makar mereka itu. Dan sesungguhnya, makar mereka itu (amat besar) sehingga gunung-gunung dapat lenyap kerananya. (46)
“Oleh sebab itu, janganlah sekali-kali kamu mengira Allah akan menyalahi janji-Nya kepada rasul-rasul-Nya. Sesungguhnya, Allah Maha Perkasa, lagi mempunyai pembalasan. (47)” [Surah Ibrahim: 46–47]
Kesimpulannya, kumpulan Islam hendaklah memenuhi syarat-syarat kemenangan dan mengisi kemenangan dengan istiqamah, beraqidah Islam yang sempurna, berilmu, berakhlak, dan berhikmah sehingga tidak boleh ditipu lagi.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS