Idola Di Bibir, Bukan Di Hati: Umar Al-Khattab Dan Isu Penjualan Arak

Idola Di Bibir, Bukan Di Hati: Umar Al-Khattab Dan Isu Penjualan Arak

Kononnya dia menjadikan Umar Al-Khattab RA sebagai idola.

Maka bersoraklah sekalian para pemuja kononnya inilah bukti hebat era Madani, Menteri boleh jadikan Umar Al-Khattab sebagai idola. Ya, baguslah jika benar begitu.

Namun, ironinya, tindakannya jelas bertentangan dengan nilai-nilai yang ditegakkan oleh Umar.

Salah satu isu yang nyata ialah apabila dia mendesak agar status quo berhubung penjualan arak di lokasi-lokasi yang majoritinya didiami oleh umat Islam, malah mempertahankannya atas nama “hak asasi” atau “kebebasan ekonomi.”

Jika Umar Al-Khattab masih hidup hari ini, apakah beliau akan tertawa pahit mendengar hujah tersebut?

Bagaimana mungkin seseorang mengidolakan Umar tetapi pada masa yang sama menolak prinsip-prinsip Islam yang beliau perjuangkan?

Sikap ini tidak lebih daripada “idola kosmetik” – sekadar menempelkan nama Umar untuk menaikkan imej, tetapi tanpa sedikit pun keinginan untuk mencontohi akhlak dan prinsipnya.

Sebagai seorang pemimpin yang tegas dalam menegakkan syariat Islam, Umar Al-Khattab dikenali kerana mengambil langkah berani dan tegas dalam menangani masalah arak.

Berikut adalah beberapa fakta yang menyokong sikap beliau:

1. Peningkatan Hukuman Peminum Arak

Umar Al-Khattab menetapkan hukuman 80 sebatan kepada peminum arak, berbanding 40 sebatan yang dilaksanakan sebelumnya.

Beliau melihat bahawa hukuman yang lebih keras adalah perlu bagi membendung penyalahgunaan arak yang merosakkan akhlak masyarakat. Ibn Kathir menulis:

“وكان عمر بن الخطاب رضي الله عنه قد جعل حد شارب الخمر ثمانين جلدة، وكان قبله أربعين، فزاد فيه عمر رضي الله عنه لما رأى من المصلحة في ذلك.”

“Umar bin al-Khattab r.a. telah menetapkan hukuman bagi peminum arak sebanyak 80 sebatan, sebelumnya adalah 40, maka Umar menambahnya kerana melihat kemaslahatan dalam hal itu.” (Al-Bidayah wa al-Nihayah, Jilid 7, hlm. 70, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Beirut, 2001)

2. Arahan kepada Gabenor-Gabenor

Dalam kitab “Tarikh al-Tabari”, Umar dilaporkan memberikan arahan tegas kepada para gabenornya:

“كتب عمر إلى عماله: ‘أن يجلدوا في الخمر ثمانين، فإنها أم الخبائث.’”

“Umar menulis kepada para gabenornya: ‘Sebatlah peminum arak sebanyak 80 kali, kerana ia adalah ibu segala kejahatan.’” (Tarikh al-Tabari, Jilid 3, hlm. 608, Dar al-Turath, Beirut, 1967)

3. Penghapusan Sumber Masalah

Umar tidak hanya menghukum peminum arak tetapi juga mereka yang terlibat dalam pengedaran dan penghasilannya. Ibn al-Jawzi menukilkan dalam “Sirah Umar Ibn al-Khattab”:

“وكان عمر رضي الله عنه إذا نزل به أمر جمع له الصحابة واستشارهم، وكان يشدد في أمر الخمر، ويأمر بكسر الدنان.”

“Umar r.a. apabila menghadapi sesuatu perkara, beliau mengumpulkan para sahabat dan bermesyuarat dengan mereka. Beliau sangat tegas dalam urusan arak, dan memerintahkan untuk memecahkan bejana-bejana arak.” (Sirah Umar Ibn al-Khattab, hlm. 112, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Beirut, 1998)

4. Larangan Jualan di Kawasan Umat Islam

Umar memastikan bahawa penjualan arak tidak berlaku di kawasan yang didiami oleh umat Islam. Dalam “Kitab al-Kharaj” oleh Abu Yusuf:

“وكتب عمر بن الخطاب إلى عماله يأمرهم بمنع الخمر عن المسلمين وبكسر أوعيتها، ومن وجد في بيته خمر فعليه العقوبة.”

“Umar bin al-Khattab menulis kepada para gabenornya untuk melarang arak daripada umat Islam, memecahkan bekas-bekas arak, dan menghukum sesiapa yang ditemui memiliki arak di rumah mereka.” (Kitab al-Kharaj, hlm. 141, Dar al-Ma’arif, Kaherah, 1979)

Malangnya, prinsip Umar ini tidak diikuti oleh dia yang berteriak mahu menjadikan beliau sebagai idola.

Sebahagian mereka mempertahankan penjualan arak di lokasi umat Islam atas alasan “ekonomi,” “kebebasan individu,” dan “hak asasi manusia.”

Persoalannya, adakah hak ekonomi lebih utama daripada keharmonian moral masyarakat?

Apatah lagi yang dikatakan hak ekonomi itu pada akhirnya menggugat hak masyarakat!

Adakah Umar Al-Khattab pernah menggadaikan prinsip Islam hanya untuk menjaga hati segelintir pihak?

Berhentilah mempermainkan nama Umar hanya untuk populariti.

Sebaliknya, jadikan ketegasan beliau sebagai inspirasi sebenar, bermula dengan memerangi arak dan segala bentuk kemudaratan sosial yang berkait dengannya.

Berhentilah melaungkan “idola kosmetik.”

Janganlah tertipu dengan serigala yang memakai topeng yang baik dan mesra, hakikatnya menunggu untuk menerkam mangsa yang kelalaian.

Minda Pemimpin