Perang Gaza: Episod Berikutnya

Perang Gaza: Episod Berikutnya

Walaupun ketika ini “genocide” yang berlaku ke atas penduduk Semenanjung Gaza terhenti buat sementara waktu ekoran perjanjian gencatan senjata antara regim penjajah Zionis Israel dan HAMAS, namun persoalannya apakah senario yang bakal berlaku selepas ini.

Adakah perang ini akan berhenti atau episodnya seperti sebelum ini iaitu perang akan bersambung? 

Bagi menjawab persoalan di atas, perlu dilihat beberapa perubahan drastik yang berlaku dalam tempoh beberapa minggu yang lalu:

Pertama: Kemenangan Donald Trump
Kedua: Kejatuhan rejim Basyar al-Asad
Ketiga: Gencatan senjata antara rejim penjajah Zionis Israel dan HAMAS

Tiga faktor di atas memainkan peranan penting apakah senario berikutnya perang Gaza bahkan politik Timur Tengah secara umumnya dalam masa terdekat.

Benar sebagaimana yang dinyatakan oleh bekas pemimpin utama HAMAS, al-Syahid Yahya Sinwar bahawa Perang 7 Oktober ( Taufan al-Aqsa) akan merubah segala-galanya. 

Kemenangan Donald Trump sangat diimpikan oleh Benjamin Netanyahu kerana ia bakal menjayakan agendanya iaitu peluasan negara haram Israel.

Justeru tidak mengejutkan apabila Donald Trump tanpa berselindung mengeluarkan beberapa kenyataan antara lain; bumi yang dimiliki oleh rejim penjajah Zionis Israel ketika ini tidak mencukupi bahkan hendaklah diperluaskan lagi. 

Kejatuhan rejim Basyar al-Asad mengejutkan banyak pihak kerana ia berlaku dengan begitu drastik dan dramatik.

Perubahan ini mengembirakan Barat serta rejim penjajah Zionis Israel ekoran sokongan rejim ini kepada ‘mihwar al-Muqasamah’ yang diketuai Iran.

Namun perubahan ini tidaklah dijamin seratus peratus menguntungkan Barat dan Zionis Israel.

Buktinya, Barat masih teragak-agak untuk mengiktiraf kerajaan Syria pimpinan Ahmad al-Syara’ kerana rata-rata kumpulan yang mengetuai kerajaan Syria ketika ini disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh Barat.

Sebagaimana yang pernah saya sebut sebelum ini, saya meyakini perubahan ini satu kebaikan kepada rakyat Syria dan akan membawa kepada penyatuan ummah satu masa nanti insya Allah. 

Regim penjajah Zionis Israel adalah pihak yang paling tertekan kerana reputasinya telah musnah walaupun berjaya membunuh hampir 50,000 warga Semenanjung Gaza serta memusnahkan keseluruhan infrastruktur di Semenanjung Gaza.

Namun dalam peperangan apa yang penting adalah siapa yang menang dalam pertempuran bukan siapa yang menang di medan perang.

Mengosongkan Semenanjung Gaza, membebaskan tawanan serta menghapuskan HAMAS adalah tiga objektif utama yang ditetapkan oleh regim penjajah Zionis Isarel, namun kesemuanya gagal dicapai walaupun hampir keseluruhan Semenanjung Gaza dimusnahkan.

Apa yang mengejutkan Benjamin Netanyahu dan pimpinan Zionis Israel adalah sokongan rakyat Palestin kepada HAMAS semakin meningkat bukan sahaja di Semenanjung Gaza bahkan juga di Tebing Barat.

Ini dapat dilihat apabila ribuan rakyat Palestin berarak pulang ke kediaman masing-masing di utara Semenanjung Gaza setelah gencatan senjata diisytiharkan dan juga perarakan menyambut tahanan Palestin yang dibebaskan di Tebing Barat. 

Jurucakap HAMAS, Abu Ubaidah baru sahaja mengeluarkan kenyataan bahawa HAMAS telah menghentikan pertukaran tahanan dan perbincangan gencatan senjata kerana pihak regim penjajah Zionis Israel melanggar perjanjian yang disepakati.

Perkembangan semasa yang berlaku ini dijangka akan membawa kepada episod kedua perang Gaza yang bakal meletus pada bila-bila masa. 

Donald Trump baru sahaja memberi amaran kepada HAMAS, jika sekiranya semua tawanan tidak dibebaskan pada hari Sabtu 15/02 nanti, maka Semenanjung Gaza akan berubah menjadi ‘neraka’.

Episod kedua perang ini dijangka akan lebih meluas dan tidak mustahil medan perang baharu yang paling diimpikan oleh Benjamin Netanyahu bakal meletus iaitu serangan ke atas loji nuklear Iran seterusnya operasi menumbangkan kerajaan Republik Islam Iran bakal dilaksanakan.

Inilah cita-cita bersama Trump-Netanyahu yang gagal dilaksanakan pada penggal pertama pemerintahan Donald Trump dahulu.

Sekarang ini peluang ini terbuka luas khususnya tamparan hebat ke atas Iran ekoran kejatuhan kerajaan Basyar al-Asad dan kelemahan Hizbullah di Lubnan, lebih merangsang Amerika Syarikat dan regim penjajah Zionis Israel membuka medan pertempuran dengan Iran.

Sedar atau tidak agenda pemetaan baharu Timur Tengah sedang berlangsung dengan begitu rancak.

Semenanjung Gaza akan dikosongkan dan penduduk Palestin akan dihalau keluar secara paksa.

Manakala di Tebing Barat pula, regim penjajah Zionis Israel sedang melaksanakan pelan menghalau penduduk Palestin secara sistematik .

Adapun di Selatan Lubnan dan Bukit Golan pula, tentera Israel terus mengukuhkan kedudukan. 

Persoalannya, adakah pemimpin-pemimpin Dunia Islam khususnya negara-negara Arab mahu terus berpeluk tubuh dan leka dengan kemewahan masing-masing.

Sedarlah kemulian umat ini adalah dengan jihad dan tidak ada jalan lain bagi membebaskan Baitul Maqdis dari cengkaman Zionis-Impirealis Barat melainkan dengan berjihad pada jalan Allah. 

Sama-sama kita doakan agar impian Zionis dan Impirealis Barat digagalkan oleh Allah SWT dan mudah-mudahan Allah menyatukan umat Islam di atas jalan-Nya yang benar.

“Bebaskan Masjid Al-Aqsa, Merdekakan Palestin”

YB Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat.

Dunia Islam