Muktamar Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kali ke 71 tahun ini akan diadakan pada bulan September.
Walau lebih enam bulan lagi, namun nampak ia menarik minat ramai kerana muktamar kali ini adalah muktamar pemilihan pucuk pimpinan.
Menariknya ahli dan penyokong PAS kelihatan tenang sahaja tiada pun yang menggelupur menghadapi muktamar ini sebagaimana muktamar yang lain-lain, semua tenteram dan biasa-biasa sahaja, tetapi mereka yang di luar pula nampak terlalu ghiarah dan resah.
Sejak memenangi 43 kerusi Parlimen iaitu blok yang terbesar di Parlimen selain menguasai 4 buah negeri Melayu iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, ternyata apa sahaja melibatkan parti arus pedana ini akan menjadi tumpuan mereka yang di luar.
Parti lain ada yang kedua jawatan tertingi dalam partinya bukan sekadar tidak ditandingi tetapi dibuat usul agar kekal tiada pertandingan, menolak amalan demokrasi yang dibenarkan dalam parti sendiri, mungkin kerana partinya tidak stabil.
Terbaru Presiden PKR sendiri pun menyebut bahawa partinya menyerah pada pucuk pimpinan tertingginya untuk memutuskan apakah akan ada pertandingan untuk dua jawatan tertinggi partinya tahun ini, pelik kenapa pula pucuk pimpinan dan bukannya ahli yang tentukan?
Mungkin PKR pun tidak stabil dalamannya.
Buat PAS sejak dahulu lagi pemilihan untuk pucuk pimpinan tertinggi parti terbuka dan semua jawatan dipertandingkan menepati proses demokrasi yang menjadi amalan dalam negara dan digariskan pula dalam perlembagaan parti.
Seawal zaman Almarhum Dr Burhanuddin al Helmi menjadi Yang Dipertua Agung dahulu (atau Presiden kini) tahun 1956 telah melihat pemilihan serta pertandingan terbuka dalam parti kekal hingga ke hari ini.
Semasa ada pihak yang merancang untuk menjatuhkan kepimpinan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam Muktamar PAS ke 61 tahun 2015 di Kuala Selangor, tiada pun langkah diambil untuk menutup pencalonan atau mengisytiharkan tiada pertandingan tahun itu kerana PAS tidak seperti parti lain.
Hari ini pun contohnya Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Md Nor menegaskan kembali jawatan tertinggi PAS iaitu Presiden dan Timbalan Presiden terbuka untuk pertandingan sebagaimana biasa.
Pertandingan akan melalui proses pencalonan yang ditentukan oleh kawasan-kawasan PAS seluruh negara.
Tiada larangan atau arahan agar hanya nama tertentu sahaja dinaikkan atau dikekalkan kedua penjawat tertinggi tanpa ada pencalonan.
Cumanya berbeza juga dengan parti lain, akar umbi dan perwakilan PAS cukup matang berpolitik dan mengenali rapat pimpinan mereka.
Kerana PAS bukan sekadar parti siyasah dan dakwah, ia juga adalah parti tarbiyah.
Seluruh ahli PAS melalui proses tarbiyah dan faham tugas serta tanggungjawab masing-masing, bukannya memegang jawatan untuk mengejar habuan dunia semata-mata.
Anehnya pihak luar pula kelihatan sibuk mahu tentukan kepimpinan PAS, sedang parti lain termasuk yang duduk dalam Kerajaan campuran yang semakin surut dan kelam masadepannya tidak pula diberi perhatian.
Untuk rekod diwaktu PAS diterajui kedua tokoh kepimpinannya hari ini iaitu Tan Sri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dan Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, PAS mencatatkan pencapaiannya yang terbaik sejak lebih 70 tahun penubuhannya.
PAS hari ini terbit sebagai parti yang mewakili suara umat Melayu Islam dengan 43 kerusi, sudah pun menggantikan peranan Umno dahulu.
Justeru jika pun ada parti yang perlu buat perubahan dalam pucuk pimpinan tertingginya, ia adalah parti yang bermasalah dan semakin surut sokongan rakyat. PAS insyallah semakin naik grafnya.
Roslan SMS