Umat Islam Jangan Berdiam Diri Apabila Agama Dihina

Umat Islam Jangan Berdiam Diri Apabila Agama Dihina

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan bahawa umat Islam tidak boleh berdiam diri apabila agama mereka dihina.

Baginda menyeru agar setiap muslim bangkit mempertahankan kesucian Islam dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.

Baginda bertitah demikian sewaktu berkenan memasyhurkan nama Masjid Baharu Kampung Durian Hijau sebagai Masjid Abdul Rahman Ibn Auf dalam satu majlis di Jerantut, semalam.

Dalam titahnya, baginda meluahkan rasa dukacita terhadap sikap segelintir pihak yang berani meremehkan dan mencabar kemuliaan Islam, seolah-olah tiada batasan dalam berbicara dan bertindak.

“Jangan kerana kelembutan dan kesopanan umat Islam, ada pihak yang berani memperlekehkan agama kita sesuka hati,” titah baginda.

Baginda menegaskan bahawa Islam tidak pernah mengajar umatnya tunduk kepada penghinaan dan penindasan.

Oleh itu, sebagai Ketua Agama Islam di Pahang, baginda menyeru setiap muslim agar memainkan peranan dalam mempertahankan agama Islam dengan penuh kebijaksanaan.

Dalam titahnya, baginda turut menekankan prinsip keadilan dalam pemerintahan yang membolehkan agama-agama lain diamalkan dengan aman dan damai, selagi tidak menggugat ketenteraman awam serta keharmonian negeri.

“Ini bukan sekadar lafaz dalam dokumen perundangan. Islam bukan sekadar agama, tetapi suatu amanah yang mesti kita junjung dan warisan suci yang mesti kita pertahankan,” titah baginda lagi.

Baginda mengingatkan bahawa sebagai umat Islam, setiap individu bertanggungjawab dalam memastikan kesucian Islam terpelihara.

Baginda turut mengajak masyarakat Islam untuk bersatu dalam mempertahankan maruah agama, agar ia tidak diperlekehkan oleh mana-mana pihak.

Titah baginda ini mencerminkan kepentingan perpaduan umat Islam dalam menghadapi cabaran semasa dan memastikan Islam terus dihormati serta dijunjung tinggi di negara ini.

Isu Semasa